Dol Said ( Penghulu Naning )
Beliau berjihad menentang tentera kuffar British di kawasan Naning , Negeri Sembilan berikutan tindakan pihak kuffar mengambil alih kawasan Naning pada tahun 1832 dan memasukkannya ke dalam jajahan Melaka. Kebangkitan penghulu Dol Said dan ummat Islam berlaku pada tahun tersebut.
Dato' Maharaja Lela
Sekitar tahun 1826 , pihak kuffar British berjaya menguasai Pulau Pinang, Seberang Perai, Singapura dan Melaka. Pada tahun itu juga penjajah kuffar Siam mengambil dan menguasai Negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pattani ( wilayah ummat Islam di Thailand ). Negeri Perak terselamat dari penjajahan Siam ketika itu sebelum dirampas semula beberapa tahun kemudian akibat krisis perebutan kuasa dikalangan raja-raja Melayu.
Akhirnya tercetuslah Perjanjian Pangkor pada 20 Februari 1874 antara pihak kuffar British dengan beberapa Raja Melayu yang merupakan detik permulaan penghakisan kuasa raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu hanya berfungsi dalam urusan agama dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran negeri dibawah pihak British. Bermulalah era penerapan idealisme sekular.Akhirnya J.W.W Birch dilantik menjadi residen Inggeris pertama di Perak.
Gelombang kebangkitan jihad digerakkan oleh ummat Islam dan dibawah kepimpinan Dato’ Maharaja Lela, J.W.W Birch akhirnya berjaya dibunuh di Pasir Salak pada tahun 1876.
Dato' Bahaman ( Orang Kaya Semantan )
Negeri Pahang tidak terkecuali dari penjajahan musuh Islam ini. British memasuki Pahang pada tahun 1888 sehingga menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Pahang termasuk Dato’ Bahaman. Gerakan jihad mula dilancarkan dibawah pimpinan Dato’ Bahaman, Tok Gajah ( Imam Rasu-bapa Mat Kilau ) dan Mat Kilau dengan melancarkan serangan ke atas polis British di Lubuk Terua , Temerloh pada tahun 1891. Serangan berikutnya pada tahun 1892 merebak ke Kuala Lipis, namun gagal mengahalau kuffar British sehingga memaksa mereka berundur dan berlindung di Kelantan dan Terengganu.
Ketika di Terengganu, Sultan Zainal Abidin III memberikan perlindungan kepada mujahid-mujahid dari Pahang ini. Turut memberikan perlindungan ialah Tok Ku Paloh, ulama’ yang menjadi penasihat Sultan Zainal Abidin. Beliau memberi pendidikan agama dan menerapkan kefahaman jihad kepada mereka pada tahun 1894. Ketika di Kelantan, mereka dilindungi oleh Sultan Mansur Syah.
Pada tahun tersebut, mereka pulang ke Pahang dan menggerakkan jihad menggempur Balai Polis British di Kuala Tembeling. Kubu British di Jeram Ampai berjaya ditawan selama 4 bulan. Namun, serangan balas pihak kuffar mengakibatkan mereka kembali semual ke Terengganu dan Kelantan. Tok Gajah akhirnya meninggal dunia di Terengganu.
Pada bulan April 1895, angkatan tentera British di bawah Hugh Clifford menggerakkan seramai 250 orang tentera untuk memburu mereka di Terengganu. Namun, mereka gagal.
Mat Kilau
Anak kelahiran Kg.Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut ini adalah merupakan anak kepada Tok Gajah ( Imam Rasu ) yang dilahirkan pada tahun 1865 / 1866. Ummat Islam di Pahang bangkit dengan ledakan jihad menghadapi British pada tahun 1890 berpunca dari tindakan melampau pihak kuffar yang mengambil alih tugas pembesar-pembesar negeri untuk mengutip cukai dan hasil dari rakyat.
Selepas meninggalkan Pahang dan berlindung di Terengganu dan Kelantan bersama Tok Gajah dan Dato’ Bahaman, akhirnya pada tahun 1895 beliau ditangkap pihak kuffar Siam dalam perjalanan ke Kota Bharu. Mat Kilau melawan dan cedera teruk dipukul sehingga pihak Siam menyangka beliau telah mati dan akhirnya menyerahkan ‘jenazah’ Mat Kilau kepada Sultan Kelantan. Akhirnya Mat Kilau yang masih hidup diarahkan melarikan diri oleh Sultan. Namun upacara gimik pengebumian Mat Kilau tetap dilakukan menggunakan batang pisang sebagai jenazah di Bunut Payung, Kota Bharu.
Berita ‘kematian’ Mat Kilau disiarkan secara meluas di dada akhbar Inggeris di Singapura ( The Straits Times dan Free Press ) pada 22 Oktober 1895 dengan tajuk “ Ketua Penderhaka Jatuh ke Tangan Siam “. Akhbar The Press pula melaporkan : “ Mat Kilau melawan dan dipukul , cedera teruk di muka dan kepala, mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu kerana hilang banyak darah “.
Dalam ‘pelarian’ tersebut, Mat Kilau terpaksa menukar nama beberapa kali dan namanya yang terakhir ialah Mat Siam iaitu sekitar tahun 1930. Beliau pernah beberapa kali singgah di kampung asalnya, Pulau Tawar dengan menyamar sebagai peniaga dan orang luar. Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pada 26 Disember 1969 apabila seorang lelaki tua membuat pengisytiharan sebagai Mat Kilau di Masjid Pulau Tawar, Jerantut pada hari Jumaat.
Akhirnya kerajaan Negeri Pahang terpaksa menubuhkan satu suruhanjaya pada 8 Januari 1970 untuk menyiasat kesahihan dakwaan tersebut. Hasilnya, pada 6 Ogos 1970 Menteri Besar Pahang ketika itu mengisytiharkan bahawa dakwaan tersebut adalah benar. Taqdir Allah, 4 hari selepas itu Mat Kilau meninggal dunia di usia 123 tahun dan sempat memiliki kad pengenalan dengan nama : Mohamad bin Ibrahim – 204 4778. Mat Kilau sempat mengikuti sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di Padang Masjid Negeri , Kuantan.
Masjid Lama Kg Pulau Tawar.
Tok Janggut –
Gerakan jihad di Kelantan bermula ekoran penjajahan kuffar British pada tahun 1903. Kelantan diserahkan kepada British oleh penjajah kuffar Siam melalui perjanjian Bangkok secara sepenuhnya pada tahun 1909. Beberapa tahun kemudian, Tok Janggut atau nama sebenarnya Hj Mat Hasan bin Munas kembali ke tanah air setelah berada di Makkah hampir 10 tahun untuk menuntut ilmu. Beliau dikatakan pernah berhubung dengan mujahid-mujahid di Pahang sebelum berangkat ke Makkah.
Ledakan jihad berlaku pada tahun 29 April 1915 melalui serangan pejuang Islam ke atas British di Pasir Puteh. Tekanan dari pihak kuffar memaksa Sultan Mohammad IV untuk mengisytiharkan Tok Janggut dan pengikutnya sebagai penderhaka. Pada 3 Mei tahun tersebut, seramai 239 tentera British bergerak dari Singapura dan tiba di Kelantan pada 5 Mei.
Serangan pihak British disasarkan ke kawasan Pasir Puteh pada 8 Mei 1915. Tok Janggut dan Engku Jeram Besar telah menyiapkan pasukan jihad untuk menghadapi mereka. Rumah Khatib Abu Bakar yang merupakan teman seperjuangan Tok Janggut digeledah dan beliau gugur sebagai syahid pertama. Pertempuran sengit berlaku di Kg.Dalam Pupoh, Jeram yang mengakibat Tok Janggut, Tok Abbas dan Tok Hussein gugur sebagai syuhada’. Engku Jeram Besar pula berjaya mealarikan diri ke Remand dan 14 lagi pengikut Tok Janggut diburu serta rumah mereka dibakar. Tok Janggut yang pernah menjadi hulubalang di istana Jeram sebelum ke Makkah akhirnya diheret mayatnya dari Pasir Putih ke Kota Bharu dengan disaksikan oleh ummat Islam di sepanjang jalan yang mengalirkan air mata.
Tok Janggut mendapat semangat jihad berikutan fatwa dari Sheikhul Islam Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu yang menyebut “ Jihadi Ekbar Fardi Ayn ke atas British demi mempertahankan setiap inci bumi umat Islam ! “.
Tok Janggut digantung dengan kejam di Kota Bharu.
Sheikhul Islam-Sheikh Mustafa Sabri Afendi ( 1869-1954 )
Mufti Kerajaan Turki Uthmaniyyah
Tok Ku Paloh yang bertugas sebagai penasihat agama kepada Sultan Terengganu meninggal dunia pada tahun 1917 iaitu 2 tahun selepas pembunuhan Tok Janggut di Kelantan. Sultan Terengganu pula meninggal dunia setahun selepas pemergian Tok Ku Paloh.
Ummat Islam Terengganu menunggu ketibaan Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong yang menyerah diri kepada Sultan Sulaiman untuk dihukum buang negeri ke Makkah.
Haji Abdul Rahman Limbong –
Campur tangan pihak British dalam urusan pentadbiran Terengganu pada tahun 1919 khasnya mengenai cukai dan urusan tanah menimbulkan semangat anti penjajah dikalangan ummat Islam. Beberapa orang penduduk tempatan telah disaman kerana dituduh menceroboh tanah kerajaan.
Gelombang kebangkitan ummat Islam berlaku pada tahun 1921 dibawah pimpinan Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong mendesak British supaya mengahpuskan dasar-dasar pentadbiran yang membebankan ummat Islam. Perjuangan yang lebih drastik berlaku pada tahun 1925 dengan dikerahkan sekitar 300 orang para mujahid berkumpul di Kuala Telemong. Mereka bergerak dibawah pimpinan para ulama’ di Terengganu.
Pada 22 April 1928 , pencerobohan tanah rakyat terus berlaku di kawasan Tersat dan Dungun yang mencetuskan kebangkitan rakyat di situ dengan melancarkan jihad. Tanggal 19 Mei 1928, golongan petani berkumpul di rumah Lebai Hasan di Kuala Por seramai 400 orang dan 200 orang berkumpul di rumah Encik Ismail lengkap dengan peralatan untuk berjihad.
Pada 21 Mei 1928, bangunan kerajaan di Kuala Berang ditawan oleh ummat Islam yang sebahagian besar adalah golongan petani. Serangan balas berlaku mengakibatkan 11 orang gugur syahid. Selepas itu Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong ditangkap dan diserahkan kepada Sultan Sulaiman untuk dibuang negeri atas arahan penjajah kuffar kepada pihak istana. Beliau akhirnya dibuang negeri ke Makkah dan meninggal dunia di sana.
Untuk para pejuang kemerdekaan, kalian bangkit bukan sekadar membela bangsa, tetapi menggerakkan jihad untuk masa depan ummat Islam - Al-Fatihah.
1 ulasan:
Rasanya kena ikut Indonesia mengisytiharkan Pahlawan Negara dari masa ke semasa....
Catat Ulasan