Sabtu, 30 Ogos 2008

26 Disember 2004 : Kiamat Kecil Bagi Warga Acheh !

“ Anak ibu masih berumur 13 tahun ketika dihanyutkan air. Dia seorang perempuan, cantik rupa parasnya. Sampai hari ini tidak diketahui hanyut kemana. Kami tidak ketemu mayatnya ‘’cerita Ibu Sawiyah, pemilik rumah sewa yang kami diami petang Khamis kira-kira selepas waktu Asar dalam keadaan nada yang sangat sebak. Ibu Sawiyah baru sahaja keluar dari rumah yang kami duduk ini sehari sebelum kami memasukinya dan sekarang berada di rumah baru mereka yang merupakan sumbangan pentadbiran pejabat suaminya kepada seluruh pekerja pejabat tersebut yang dilanda Tsunami.

Saat kami tiba dirumah sewa ini, Bapak Dahliar sedang sibuk mengemas, mengelap lantai dan mengecat dinding yang sudah tertanggal sedikit catnya. Bagi kami, rumah ini sudah sangat kemas, bersih dan cantik untuk kami tinggal seramai 17 orang dan beberapa orang sahabat dirumah lain. Tapi, melihat kepada layanan dan kesibukan Bapak Dahliar dan Ibu Sawiyah mengemaskini seluruh persekitaran rumah, sudah cukup untuk kami membuat kesimpulan awal bahawa warga Acheh yang majoriti berbangsa Melayu dan beragama Islam ini amat menitikberatkan soal meraikan tetamu. Jiran-jiran amat mudah melemparkan senyuman tatkala mengetahui kami hadir dari Malaysia. Namun, tidak dinafikan, manusia yang bermasalah ada di mana-mana. Bak kata seorang tetangga kami tika kami tiba “ hati-hati nak, dompet mesti dijaga betul-betul. Ibu hanya maklum saja ‘’.
Air melimpahi paras pagar ini dan Ibu Sawiyah berpaut ditiang tengah rumah tersebut yang berwarna putih.
Penduduk sekitar kebanyakannya bukan penduduk asal disitu. Mereka dari Medan dan lain-lain yang berhijrah ke kampung ini selepas tragedy Tsunami 04. Walaupun Ibu Sawiyah seperti tidak mahu kisah silam ini diingat lagi, namun atas ketekunan kami mendengar, akhirnya dia meneruskan kembali penceritaan bah besar tersebut. “ Anak ibu yang perempuan ini pun hanyut dan tersangkut di pokok dihadapan sana. 1 jam selepas air mengalir tenang, kami jumpa dia dalam keadaan sudah pengsan tertelan air hitam ( belerang ). Beberapa hari dia duduk di rumah sakit ( hospital ) Medan untuk rawatan. Seorang lagi telah meninggal dunia, tidak diketemui ‘’.

Kami cuba ingin mengambil gambar anak perempuan Ibu Sawiyah dengan Bapak Dahliar, tetapi dia tidak mahu. Kata bapanya “ dia malu bergambar ‘’. Rupanya bukan dia seorang sahaja begitu, sekitar jam 8.15 malam , datang seorang tetangga menziarahai kami dan bertanya khabar. Namanya Ibu Siswati. Sengaja dia ziarah untuk menawar perkhidmatan menyediakan makanan berbayar kepada kami sekiranya perlu. Kami hanya bersetuju untuk menerima perkhidmatannya dalam bulan Ramdhan ini dulu. Agak sukar untuk bergerak mencari kedai makan dengan kenderaan yang tidak ada khasnya diwaktu malam. Hampir waktu pulang, kami merakamkan gambar mereka. Kelihatan anak perempuannya yang masih kecil tunduk dan agak malu. Terfikir kami, mungkin inilah didikan ibu bapa mereka kepada anak-anak perempuan. Tapi di Malaysia, anak-anak kecil sudah diajar melompat-lompat, menyanyi dan menari dikaca televisyen tanpa segan silu.

‘’ Kamu lihat pagar rumah ini. Air yang datang tinggi dari pagar itu. Bapak lari keluar rumah dan ibu tidak sempat. Sebaik tiba diluar, seluruh kampung dikelilingi air macam lautan. Ibu lari semual ke dalam dan terpaksa berpaut ditiang rumah yang tengah itu selama 15 minit. Seluruh tubuh tenggelam. Tangan hampir terlepas dari memeluk tiang akibat kaki ibu sangat kesejukan. Alhamdulillah, Allah masih sayang, dia Maha Kaya. Umur ibu masih panjang. Jika 5 minit lagi tenggelam dalam air, mungkin ibu sudah tidak ada. Kamu bayangkan air sangat deras hanya 3 minit sehingga 5 minit boleh meranapkan sebuah kampung. Kampung ini penduduknya mati hampir 300 orang. Di Malaysia, Pulau Pinang hanya 300 orang satu negeri. Ini baru satu kampung. MasyaAllah. Allah masih beri peluang kita bertaubat dari dosa ‘’.

Entah mengapa hati kami terasa begitu kerdil dan ketakutan mendengar pengalaman dahsyat ini. Bayangkan mereka yang mengalaminya. Tidak hairanlah, penduduk Acheh menganggap Tsunami itu umpama kiamat ! Hari ini pembangunan di Acheh sangat pesat. Rumah-rumah, bangunan-bangunan, masjid-masjid masih banyak yang sedang dibangunkan. Kebayakannya rumah-rumah batu yang kelihatan masih baru. “ Ini rahmat dan rezeki dari Allah selepas Tsunami. Ini rumah asal ibu. Tidak runtuh, hanya pagar rumah sahaja yang rosak ‘’ tambah Ibu Sawiyah. Rumah kayu, habis hanyut. Mayat-mayat bergelimpangan dan tersangkut dimerata tempat.

“ Ini bala’ dari Allah, ‘’kata Ibu Sawiyah apabila kami meminta komentar darinya mengenai pelbagai pandangan masyarakat mengenai tragedy ini. “ Acheh sudah tidak seperti dulu. Sekarang ramai orang luar. Mereka ini datang dengan pelbagai budaya dan cara. Jadi pengaruhnya merebak disini ‘’. Tapi, beberapa hari kami disini, kami cukup terpegun dengan penampilan wanitanya baik kecil atau besar. Semua mereka bertudung dengan baik walaupun berseluar jeans dan menaiki motor. Baru kami tahu rupanya memakai tudung telah dikuatkuasakan di wilayah Acheh ini oleh pemerintah Acheh. Sekarang pemerintahnya orang-orang Gerakan Acheh Merdeka ( GAM ). Kerajaan telah berdamai dengan mereka 3 tahun yang lalu dengan disaksikan wakil-wakil antarabangsa.

Alhamdulillah, Ramadhan hampir tiba. Masjid dan surau hanya 3 minit berjalan kaki. Untuk sampai ke kampus mengambil masa sekitar 10-15 minit merentasi rumah-rumah kampung, kebun-kebun nyior dan permatang serta sedikit sawah padi. InsyaAllah, kita bertemu lagi.
Kami melintas permatang yang dipenuhi pokok kelapa yang banyak untuk pergi ke kampus.

Kuburan mangsa Tsunami dimana-mana hatta dihadapan dan belakang rumah sendiri.

Kuburan besar mangsa Tsunami: enam depa panjang dan dua depa lebar. Ibu ini kehilangan beberapa anaknya.

Sekitar 196 orang dikuburkan dalam kuburan besar ini.

Acheh dikelilingi bukit dan gunung ganang.

Indahnya ciptaan Allah bagi yang mengerti.

Gunung Seulawah.

“ SALAM PERJUANGAN. SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN & RAMADHAN
AL-MUBARAK ‘’

2 ulasan:

niar.aj berkata...

Selamat berjuang buat saudara dan kawan-kawan. Semoga dapat menegakkan Islam dan berbakti kepada negara dan bangsa. Berbuat baiklah selama berada di rantau orang.

Tanpa Nama berkata...

cantik rumah korang..kalau datang syria tengok rumah kami, menangislah... daif...tp tulah yang ada... dulu duk rumah sebesar stor sukan sekolah sewa rm435...

nasaie