Sabtu, 20 Februari 2010

Masjid Indrapuri: Dulu Kuil Hindu

Tanggal 16 Feb baru-baru ini, saya bersama Akhi Taufiq, Azzar, Zaim dan Aizam berkunjung ke Masjid Indrapuri. Masjid ini terletak di Desa Indrapuri, Aceh Besar. Dari Banda Aceh ke Indrapuri mengambil masa sekitar 30 minit menggunakan pacuan 4 roda. Apa yang menarik tentang masjid tua ini?


Masjid ini dibina pada masa pemerintahan Sultan Iskandar Muda. Beliau lahir pada tahun 1590 Masihi dan memerintah Kerajaan Aceh Darussalam pada tahun 1607 sehinggalah meninggal dunia pada tahun 1636. Masjid ini dibina di atas sebuah candi (kuil) Hindu yang telah dibina pada masa Kerajaan Indrapuri. Untuk lebih memahami, di sini saya akan catatkan secara ringkas kerajaan-kerajaan yang wujud di kepulauan Sumatera (Aceh juga dalam kepulauan Sumatera) sebelum terbentuknya kerajaan Islam Aceh Raya Darussalam (1514-1903):


Pertama: Kerajaan Sriwijaya (Buddha) – 684 sehingga 1377 Masihi. Terletak di Palembang, Sumatera Selatan.


Kedua: Kerajaan Perlak – 840 sehingga 1263 Masihi. Terletak di Aceh Timur.


Ketiga: Kerajaan Samudera Pasai – 1042 sehingga 1427. Terletak di Aceh Utara.


Keempat: Kerajaan Pidie / Poli. Sekitar tahun 400 Masihi. Terletak di Aceh Pidie.


Kelima: Kerajaan Lingge / Lingga. Tidak pasti tahun sebenar.


Keenam: Kerajaan Tamiang. Tidak pasti tahun sebenar. Terletak di Aceh Tamiang.


Ketujuh: Kerajaan Jaya. Tidak pasti tahun sebenar.


Kelapan: Kerajaan Lamuri. Ada pendapat mengatakan kerajaan ini telah wujud 2000 tahun sebelum Masihi dan ada yang berpendapat pada abad ke 9 Masihi. Mereka adalah kerajaan Hindu. Kerajaan ini di Islamkan oleh Sheikh Abdullah Kan’an pada Jumaat, 1 Ramadhan 601 Hijrah. Kerajaan inilah yang disebut sebagai Kerajaan Indrapuri.


Kesembilan: Kerajaan Darussalam. 1205 sehingga 1511 Masihi. Lanjutan dari Kerajaan Lamuri.


Sebenarnya masih banyak lagi kerajaan-kerajaan kecil yang terdapat di kepulauan Sumatera ini samada Kerajaan Islam, Hindu, Buddha dan sebagainya. Akhirnya, pada tahun 1511 atau 1514, semua kerajaan-kerajaan ini digabungkan bagi menghadapi kekuatan Portugis yang mula merempuh Aceh setelah masuk ke Melaka pada tahun 1511. Semua kerajaan ini disatukan menjadi Kerajaan Islam Aceh Raya Darussalam.


Sultan Iskandar Muda yang masyhur dalam pemerintahan Kerajaan Islam Aceh Raya Darussalam membina masjid di atas candi ini tanpa merosakkan binaan candi tersebut. Hanya binaan masjid yang dibangunkan ditengah-tengahnya. Masih ada singgahsana (tempat duduk) rajanya yang bertingkat-tingkat seperti tangga. Kini dihadapannya dibangunkan minbar Jumaat. Candi ini mempunyai sekitar 4 tembok atau dinding. Di belakangnya mengalir sebatang sungai. Seni bina masjid ini pada bumbungnya bertingkat-tingkat persis Masjid Kampung Laut di Tumpat, Kelantan (dipindahkan ke Nilam Puri, Kota Bharu).


Catatan sejarah menunjukkan candi ini dibina sekitar tahun 1075 – 1206 Masihi bersamaan dengan dibinanya benteng (kota) Indrapurwa, di Masjid Peukan Bada dan Benteng Indrapatra di Desa Ladong, Aceh Besar. Untuk melihat Benteng Indrapatra, pembaca boleh merujuknya disini: http://arruhuljadid86.blogspot.com/2009/07/jaulah-ke-nanggroe-aceh-darussalam-vol_18.html


Tiada ulasan: