Jumaat, 29 Oktober 2010

Catatan Perjalanan Dari Galas

Sedar tidak sedar, saya sudah sampai di persimpangan masuk Felda Jengka 16 jam 7 pagi tadi. Kabus pagi masih tebal. Bas yang menurunkan saya bergerak laju menuju ke Bandar Jengka yang mengambil masa sekitar 10 minit sahaja. 3 hari saya bertandang ke Negeri Kelantan bersama Akhi Azzar yang sama-sama dalam barisan kepimpinan mahasiswa Malaysia di Aceh tahun lalu, untuk menyelesaikan beberapa urusan berkaitan sijil pengajian dan lain-lain hal disamping mengambil kesempatan bertemu beberapa orang sahabat sepengajian yang berasal dari Kelantan. Senang sekali berkunjung ke mana-mana tempat, jika ada kenalan di lokasi tersebut. Mereka banyak membantu.


Lewat jam 12 malam, hari Selasa kelmarin, kami berkenderaan menuju ke Gua Musang, tepatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di dalam suasana hujan yang turun agak lebat. Sekitar jam 3.13 pagi kami berhenti berehat di Markaz PAS di kawasan Merapoh, Kuala Lipis. Markaz ini memang sering menjadi lokasi persinggahan bagi mereka yang berulang alik dari Kota Bharu – Kuala Lumpur untuk menunaikan solat, mandi dan istirehat. Dihadapannya adalah kawasan gerai-gerai makan yang menjadi tempat perhentian bas yang berulang alik dati KL – KB dan KB – KL. Jarak dari Merapoh masuk ke sempadan Kelantan tidak sampai 30 minit. Kami berehat sebentar di markaz tersebut sementara menunggu waktu Subuh. Bukan kami sahaja, malah petugas-petugas PAS dari Gombak, Shah Alam dan lain-lain tempat juga kelihatan terbaring kepenatan di situ.


Solat Subuh diimamkan oleh Tuan Guru Hj Abu Kasim, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pahang. Seusai mengetuai solat, beliau langsung mengubah posisinya menghadap para jama’ah untuk menyampaikan tazkirah ringkas. Ringkas disudut masa, tetapi padat disudut isinya. Perbicaraannya berkisar mengenai ’orang-orang Munafiq’. Beliau berpesan agar para petugas PAS khasnya anak-anak muda, turun ke Galas dengan penuh semangat, kesungguhan dan keikhlasan kepada Allah. Pimpinan gerakan Islam memang hebat. Setiap detik waktu senantiasa memberi peringatan kepada para pendukungnya mengenai kewajiban dalam perjuangan. Gerakan kebangsaan dan sekular tidak mungkin dan mustahil sama sekali untuk berbicara hal seperti ini kerana mereka dari awal lagi ’bermusuh’ dengan Islam apabila memisahkan urusan politik dari agama.


Jam 7 pagi kami tiba di Masjid Tengku Faiz Petra, bandar Gua Musang setelah melintasi sebuah Unit Peti Undi (UPU) yang betul-betul bersempadan dengan Lipis yang dijaga oleh petugas PAS Pasir Mas. UPU berkenaan juga dijaga oleh UMNO Negeri Selangor. Setiap desa dengan desa dipisahkan dengan hutan dan gua-gua. Ribuan penyokong dan pendukung Pakatan Rakyat sudah mula berhimpun untuk mengiringi calon PAS ke dewan penamaan calon. Seorang demi seorang pimpinan PAS, PKR dan DAP tiba. Setiap kali mereka tiba, laungan takbir bergema. Seorang penyokong DAP memasuki kawasan masjid dengan kain tertulis ’Parti Islam Se-Malaysia PAS’ terikat didahinya dan bendera PAS dijulangnya. Beliau melaung dengan kuat ”hancur UMNO!!!” beberapa kali dengan disambut sorakan dari orang ramai. Ribuan manusia menunggu ketibaan Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Mursyidul ’Am PAS, merangkap MB Kelantan. Beliau dijadualkan mengimami solat sunat hajat dan dhuha pada pagi tersebut sebelum mengiringi calon PAS ke pusat penamaan calon.


Kehadiran pimpinan DAP di perkarangan masjid menjadi sorotan media. Jika pimpinan DAP masuk ke masjid, ia ruang yang terbaik bagi regim Barisan Nasional khasnya UMNO untuk mengulasnya di media massa mengikut versi jahil mereka. Ternyata, pimpinan DAP, Lim Kit Siang, beberapa mantan exco DAP Kerajaan Negeri Perak memasuki masjid serta beberapa pimpinan Kelab Penyokong PAS Kaum India. Tuan Guru baru selesai memimpin solat hajat. Sebelum meneruskan solat Dhuha, beliau menyampaikan tazkirah ringkas. Tokoh-tokoh non-muslim ini mengambil posisi dibahagian belakang yang agak hampir dengan pintu masjid, tetapi masih dalam ruang solat, duduk bersila sebaris. Kelihatan agak lucu seperti P.Ramlee bersila 3 orang di jeti sewaktu membelasah ’orang-orang’ Ahmad Nisfu. Mereka menjadi sorotan media. Namun dengan muka ”selamba”, mereka duduk penuh tertib sambil mendengar tazkirah Tuan Guru.


Anda bayangkan Lim Kit Siang dan beberapa tokoh DAP yang begitu anti terhadap Negara Islam, mula lunak dan sedikit sudah kritikannya terhadap persoalan tersebut. Anda tahu betapa banyaknya persoalan tentang Islam mula dipelajari oleh Balasubramaniam, Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India di Pahang kepada Tuan Guru Dato’ Hj Tuan Ibrahim Tuan Man. Anda tahu betapa jauhnya pemimpin non-muslim dari mengenal Islam setelah berkawan dengan pemimpin UMNO. Jika MCA lawan Islam, puncanya adalah UMNO dan jika pemimpin DAP lawan Islam, puncanya adalah UMNO! Merekalah yang menggambarkan Islam dengan citra yang salah pada mereka. Merekalah yang menakut-nakutkan non-muslim kepada negara dan syariat Islam apabila PAS memerintah. Bahkan imej rosak pemimpin UMNOlah yang menyebabkan non-muslim memperlekeh Islam. Rasuah mendarah daging pada mereka, mendedah aurat budaya pemimpin wanitanya, kelab malam tempat berfoya-foya sebahagian dari mereka, lalu bagaimana non-muslim ingin mengenal Islam yang betul dan benar. UMNO memang bermasalah dengan Islam.


Saya tidak sempat mengikuti penamaan calon sehingga selesai. Sekitar jam 12 lebih, saya bersama Akhi Azzar meneruskan perjalanan ke Kota Bharu menumpang kereta Al-Fadhil Ust Fadhli Shaari. Sekarang beliau adalah SU Akhbar MB Kelatan. Kami rapat dengannya kerana sebelum menjadi SU Akhbar, beliau adalah pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) merangkap Ketua Jabatan Dakwah. Sempat juga kami belajar satu mata kuliah dengannya walaupun kami di jabatan Ushuluddin. Hubungan bertambah erat kerana kami sering mengundangnya menyampaikan pengisian-pengisian didalam program kemahasiswaan yang dianjurkan oleh persatuan mahasiswa di KIAS. Kebetulan, dizamannya diawal tahun 2000, beliau adalah Presiden persatuan mahasiswa di KIAS seangkatan dengan Al-Fadhil Ust Ramadhan Fitri Elias (Pengerusi Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) Dewan Pemuda PAS Pusat) yang menuntut di Akademi Pengajian Islam Univerisiti Malaya (APIUM), Nilam Puri, Kelantan dan menjadi Presiden Mahasiswa saat itu.


Ruang dan peluang bersama ’SU Akhbar’ dari Gua Musang ke Kota Bharu yang mengambil masa 3 jam tersebut kami manfaatkan untuk berdiskusi pelbagai hal dengan beliau menyangkut persoalan perjuangan, ujian-ujian dan masa depan PAS. Beliau tidak kekok atau kedekut dalam memberikan pandangan walaupun beliau mengetahui siapalah kami dalam parti tersebut untuk bertanya pelbagai perkara. Kami baru berstatus ’mantan mahasiswa’. Satu jawatan pun tidak ada dalam parti tersebut. Antara kata-katanya yang masih terngiang-ngiang ditelinga saya adalah ”kalau menang (Galas)...ujian kita makin besar..ujian selepas kemenangan lebih besar.” Kami cuba memahaminya. Ya, benar! Waktu zaman susah, kita hanya bekerja menghadapi UMNO dan Barisan Nasional. Waktu zaman kemenangan, ujian datang dari sesama kita sendiri. Sedikit sebanyak ia telah terlihat sekarang. Di dalam gerakan Islam, tidak terlepas dari wujudnya satu dua manusia yang berkepentingan dan mempunyai agenda tersendiri.


Setelah bertemu dengan beberapa orang para murabbi yang banyak membantu menggerakkan tarbiah di bumi Nilam Puri, kami beristirehat di Pengkalan Chepa, rumah seorang teman. Kelihatan Bandar Baru Tunjung sudah hampir siap dibangunkan. Letaknya antara Nilam Puri ke Kota Bharu di Jalan Kuala Krai. Sekitar 5 minit dari Nilam Puri dan 10 minit dari Kota Bharu.


Pagi Rabu, kami mengelilngi Kota Bharu. Sudah dua tahun saya meninggalkan Kota Bharu. Perubahan terjadi begitu cepat. Bangunan satu persatu berdiri. Dulunya Kelantan Trade Centre masih dalam pembinaan, sekarang sudah siap dipakai. Pasaraya besar Giant sudah beroperasi, diantara Pasar Siti Khadijah, The Store dan terminal bas tempatan. Pasar Siti Khadijah sudah ada penambahan, tandas awamnya agak lebih strategik. Bangunan-bangunan kedai 3 tingkat penuh mengelilingi Pasar Raya Tesco yang menghadap ke jambatan Sultan Yahya Petra menuju Pasir Mas. Ertinya, isu kemunduran, pembangunan Kelantan adalah isu basi dan tidak relevan lagi untuk dipakai oleh UMNO. Jika ada yang mengatakan PAS memerintah Kelantan, tiada pembangunan, hanya ada 3 kemungkinan. 1) Tidak pernah masuk ke Kelantan 2) Masuk ke Kelantan berjalan lenggok (dongak) ke langit atau tunduk ke tanah (meminjam ayat Ust Nasharuddin Daud (speaker DUN Kelantan) 3) Matanya buta.


Islam tidak pernah menolak pembangunan material (kebendaan). Namun, Islam mengajar agar menyeimbangkan sebaik mungkin antara pembangunan kebendaan dan ruh. Bangunan dibangun, manusia tidak dibangunkan, maka terlihatlah seperti apa yang sering dilaporkan oleh media hari ini hampir setiap hari yang sangat menakutkan dan membimbangkan kita. Inilah yang pemimpin UMNO yang berbangsa Melayu dan mengaku Muslim tidak faham-faham. Mereka lupa bagaimana nasib kaum Tsamud, kaum ’Add, kaum Madyan, kaum Saddum, Fir’aun, Namrud dan Qarun dibinasakan oleh Allah. Padahal mereka adalah ’arkitek-arkitek’ hebat dizaman mereka sampai mampu membelah gunung dan menjadikannya kediaman, tempat bermain, tempat bermesyuarat didalamnya.


Kami memasuki Toko Buku terkenal di Kota Bharu iaitu Jaffar Rawas. Entah sudah berapa puluh tahun syarikat ini beroperasi di tengah Kota Bharu. Kalau tidak salah, pengusaha awalnya iaitu Jaffar Rawas berasal dari Pakistan. Dengan wang RM 100, kadang-kadang terasa tidak padan untuk memasuki ’zon ilmu’ ini. Pelbagai buku-buku dan kitab-kitab baru terbitan pelbagai syarikat terhimpun disini. Saya membeli juga beberapa buah kitab berkaitan ilmu hadith untuk tujuan pengajian di masjid dan sebuah novel berjudul ’GERILA’ karya Lukman Iskandar, bekas tahanan ISA dan bekas SU Agung Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani). Beliau menceritakan kisah benar seorang anggota TUDM iaitu Kapten Raziman, keturunan kesultanan Melayu Pattani yang bergabung bersama Tentera Pembebasan Pattani (TPP) setelah pesawat TUDMnya terhempas di perbatasan Malaysia – Thai sewaktu sesi latihan. Hari ini sudah hampir separuh novel terbitan PTS ini saya habiskan. Saya bukan peminat novel, apatah lagi novel-novel percintaan. Namun, novel ini agak menarik perhatian saya.



Kami berhenti makan tengah hari di restoran Nasi Ulam Cikgu, berhadapan masjid Muhammadi, Kota Bharu. Pelbagai ulam disediakan. Tentunya, budu sebagai pencicah. Beberapa teman sepengajian asal Kelantan juga turut serta. Setelah selesai, kami Solat Zuhur di masjid negeri tersebut. Di papan kenyataannya, masih terdapat senarai pentazkirah didalam bulan Ramadhan baru-baru ini. Dari 30 senarai pentazkirah Ramadhan, terdapat nama Ketua Polis Negeri Kelantan. Saya lupa namanya. Tazkirah beliau bertajuk ”Islam dan Keselamatan”. Untungnya negeri yang polisnya berketuakan seorang yang berlatarbelakangkan pengajian Islam. Khabarnya dari UKM. Bukan sahaja tazkirah, sudah beberapa kali beliau membaca khutbah Jumaat. Papan tanda dari polis Kelantan di beberapa jalan utama Kota Bharu tertera ayat Al-Qur’an iaitu ”walau anna ahlal qura amanu.....” dan hadith ”man ra’a minkum munkaran....”. Bagaimana pula nasib ketua-ketua polis di negeri-negeri yang diperintah oleh regim Barisan Nasional? Mereka benar-benar dipergunakan seenak-enaknya untuk mempertahakan regim yang sedang berkuasa sekarang. ”aktiviti” mereka hanya menggempur ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.


Sekitar jam 3 petang, kami berangkat semula ke KIAS untuk mengambil sijil selama 3 tahun pengajian disitu dan transkrip akademik. Di satu papan kenyataan, terdapat sebuah artikel yang menarik perhatian saya bertajuk ”Awas!!! Fenomena Memuntahkan Ilmu” karya Ust Zulqarnain Hassan, Ketua Jabatan Syariah. Beliau menukilkan kata-kata Sheikh Muhammad Al-Ghazali didalam bahasa Arab yang ertinya ”mahasiswa di akhir zaman, hanya menghafaz maklumat ketika hampir-hampir menghadapi peperiksaan, kemudian mereka memuntahkannya didalam dewan peperiksaan.” Kalimah ’memuntahkan” sengaja di tebalkan tulisannya oleh Ust Zulqarnain bagi tujuan penjelasan. Katanya, jika seseorang muntah, ia tentu tidak akan memakannya semula. Maka samalah halnya dengan mahasiswa yang bertungkus lumus, tidak tidur malam semata-mata untuk membaca atau menghafaz semata-mata untuk ’memuntahkannya’ diatas kertas peperiksaan esok, dan selepas peperiksaan ilmu itu tidak ditelan atau dipakai semula.


Beliau juga memetik kata-kata Imam Burhanuddin Az-Zarnuji, ”hendaklah setiap penuntut ilmu meniatkan bahawa tujuan sebenarnya ia menuntut ilmu bukanlah untuk mengejar kepentingan dunia, sijil dan pangkat, tetapi hendaklah diniatkan kerana mencari keredhoan Allah dan hari akhirat, menghapuskan kejahilan dalam dirinya, dan menghidupkan agama serta berazam untuk mengembalikan keagungan Islam, sebab kekalnya keagungan Islam hanyalah melalui ilmu pengetahuan. (Lihat: Ta’limul Muta’allim). Imam Syafi’e pula berkata ” sesungguhnya seorang faqih itu ialah yang beramal dengan ilmunya, bukanlah seorang faqih itu hanya pandai berucap dan berkata kosong semata-mata.” (Lihat: Diwan As-Syafi’ie).


Subhanallah! Artikel ringkas satu halaman yang memuat ingatan-ingatan yang memukul para penuntut ilmu agar sedar tujuannya.


Pagi Khamis, sementara menunggu kaunter tiket dibuka di terminal yang sudah dipindahkan dari Jalan Hamzah, KB Mall ke pasar raya Tesco, kami memasuki Pasar Besar Siti Khadijah. Di lantai bawah adalah barang-barang keperluan dapur. Sambil menunggu pelanggan, seorang makcik yang berniaga disitu masih sempat memegang sebuah buku kecil bertulisan jawi dan membacanya. Jika tidak salah saya, ia adalah Al-Ma’thurat. Subhanallah! Rakyat di negeri ini memang dididik sebegini, walaupun tidak dinafikan masih ada segelintir yang bermasalah. Yang penting, penguasa negeri ini sudah melakukan upaya ke arah mendidik rakyatnya dengan agama.


Saya masih teringat beberapa tahun yang lalu sewaktu saya menaiki pasar ini untuk membeli kain batik. Kedai-kedai pakaian dilantai dua (tingkat 1) sangat banyak. Pakaian yang dijual hampir sama disetiap kedai. Saya berhenti dihadapan sebuah kedai kerana tertarik dengan kain dikedai tersebut. Saat itu, makcik tuan kedai tidak ada. Seorang Makcik dikedai lain melihat saya. Anda tahu apa yang ia lakukan? Tarik saya ke kedainya kerana kedai itu tiada tuan? Tidak! Beliau menyebut ”adik nak beli kain gapo? Pilihlah..takpo..bayar ko makcik ja..nanti makcik buwi (bagi) ko tuan dio (tuan kedai)..”.Mengapa tidak tarik sahaja saya ke kedainya? Dia menjawab ”takpolah..rezeki tuan kedai nih..”


Jam 9 malam saya berangkat meninggalkan bumi Kelantan sambil berbual-bual dengan Akhi Azzar. Jauh dihati masih mengharapkan Allah memelihara negeri ini dari jatuh ke tangan manusia yang tidak selayaknya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Adakah simpanan anda selamat di bank?

Kenapa perlu mengeluarkan semua simpanan anda daripada Bank SEKARANG?

"....Pakar Ekonomi, Gerald Celeste mengeluarkan semua simpnanan daripada bank bagi mengelakkan wangnya lebur, pakar tidak lagi percaya kepada bank!!..."

http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&p=378187#378187

Global Revolution 2012!

"...Oleh itu, kalau kamu tidak juga melakukan (larangan riba - Bank? Bank Negara? Sistem Kerajaan Korupsi Pimpinan Dajjal?), maka ketahuilah kamu: akan adanya peperangan dari Allah dan RasulNya (Nabi Isa as?)..."; (2:279)

http://www.tranungkite.net/v11/modules.php?name=Forums&file=viewtopic&p=390697#390697