Jumaat, 23 Julai 2010

Hijrah ( Vol 1 ): Setiap Muslim Ada Tanggungjawab Untuk Islam dan Ummah

Ketika mengkaji mengenai hijrah Rasulullah SAW bagi tujuan menyiapkan skripsi (karya ilmiah) saya yang berjudul ‘Konsep Hijrah Dalam Perspektif Al-Qur’an’, saya temukan beberapa hal menarik dalam perjalanan hijrah tersebut. Ianya menggambarkan bagaimana Rasulullah SAW ingin mendidik umatnya bahawa kita sangat memerlukan antara satu sama lain dalam melaksanakan urusan atau gerakan kerja dakwah dalam perjuangan Islam. Bahkan sampai kita diberi keizinan oleh Islam untuk memanfaatkan pihak non-Muslim atau pihak musuh dalam beberapa keadaan tertentu yang kita memerlukan mereka.


Di bawah ini adalah nama beberapa individu yang terlibat secara langsung dalam melancarkan proses perjalanan hijrah:


1) Saidina Ali – seorang anak muda yang berusia 32 tahun lebih muda dari Rasulullah dan merupakan sepupu Baginda, anak kepada Abu Talib bin Abdul Mutalib. Tugas yang dibebankan kepadanya adalah menggantikan tempat tidur Rasulullah pada malam hijrah disaat rumah tersebut dikepung oleh 11 pemuka Quraisy termasuk Abu Jahal dan Abu Lahab.


2) Saidina Abu Bakar – beliau lahir dua tahun setelah kelahiran Rasulullah SAW. Beliau terlibat dalam hijrah ke Habsyah (Ethopia) sebelum hijrah ke Madinah. Dalam hijrah ke Madinah, Rasulullah SAW memilih beliau sebagai teman dalam perjalanan.


3) Abdullah bin Abu Bakar – beliau adalah anak Saidina Abu Bakar yang ditugaskan sebagai intel untuk mencari maklumat dan menyampaikan maklumat kepada Rasulullah SAW yang bersembunyi di Gua Thur selama 3 hari sebelum meneruskan perjalanan ke Madinah. Abdullah mendengar apa sahaja perbicaraan penduduk Mekah (tentang mereka) di siang hari dan pada petangnya, menyampaikan info tersebut kepada mereka. Setiap malam (dalam tempoh 3 hari tersebut), Abdullah tidur di gua bersama mereka dan pulang pada waktu Subuh.


4) Asma’ binti Abu Bakar – beliau juga adalah anak kepada Saidina Abu Bakar. Tugasannya adalah menghantar makanan ke Gua Thur setiap hari. Sangat menakjubkan kerana saat itu ia sedang hamil tua, namun mampu mendaki gunung yang tidak mampu didaki oleh semua orang. Asma’ digelar ‘Zatun Nitaqain’ artinya ‘pemilik dua ikat pinggang’ kerana ia memotong kain ikat pinggangnya untuk mengikat mulut kantung makanan tersebut.


5) Amir bin Fuhairah – beliau adalah mantan hamba kepada Abu Bakar. Beliau diberi tugasan supaya membawa kambing-kambing peliharaannya ke padang pasir pada waktu siang bagi menghilangkan jejak kaki Abdullah dan Asma’ dan pada waktu petang membawa kambing ke gua Thur untuk diperah susunya.


6) Abdullah bin Uraiqith – beliau adalah seorang Musyrik yang mempunyai keahlian dalam menunjuk jalan di padang pasir. Sekitar 4 bulan sebelum berangkat berhijrah, Rasulullah dan Abu Bakar menyerahkan dua ekor unta kepadanya untuk dipelihara untuk kegunaan tunggangan berhijrah nanti. Sampai masanya beliau bertemu Rasulullah dan Abu Bakar dengan membawa unta tersebut untuk berhijrah. Artinya, kita dibenarkan meminta bantuan pihak non-Muslim dalam beberapa hal yang mereka ada kepakaran, syaratnya mereka itu boleh dipercayai, tidak akan khianat atau membocor rahsia.


Maka, setiap umat Islam khasnya mereka yang mengintima’kan diri bersama perjuangan Islam berkewajipan memberikan sumbangan, pengorbanan (tenaga, masa dll) serta kepakaran yang kita ada untuk membantu urusan agung ini. Jangan ada yang menyebut, ‘maaf, saya tiada ilmu..maaf, saya tak pandai berceramah’ dan lain-lain. Kerana membantu Islam sangat banyak jalannya.


Gambar: Wajah para syuhada’ Palestin dikalangan pemuda-pemuda yang berada di bidang kejuruteraan (Al-Muhandis). Dari http://www.alqassam.ps/arabic/


Tiada ulasan: