Khamis, 11 Disember 2008

Tabur Bakti di Acheh: Tahniah Pelajar UTHM (kuitho)

Alhamdulillah, jam 01.45 tengah hari semalam, kelihatan 17 orang mahasiswa dari Universiti Tun Husein Onn Malaysia yang terdiri daripada 9 lelaki dan 8 perempuan mula menaiki tangga pesawat Fire Fly yang akan berlepas ke Airport Penang dari lapangan terbang Sultan Iskandar Muda, Bandaraya Blang Bintang, Nanggroe Acheh Darussalam. Walaupun tidak menitiskan air mata saat meninggalkan bumi Acheh, namun kegembiraan dan kepuasan terlihat diwajah-wajah mereka yang telah menabur bakti selama 10 hari di beberapa kawasan di Acheh.

Program kemanusiaan yang diberi nama Sinar D’Acheh (II) 2008 ini merupakan program kali ke dua yang dianjurkan oleh Sekretariat Sinar D’Acheh 2008. Ianya adalah gabungan dari Kelab Iqra’ (KI), Jawatankuasa Teman Pusat Islam (JTPI) dan Kelab Kaunseling & Kerjaya (KKDK) Universiti Tun Husein Onn Malaysia. Untuk kali ke dua program ini, Sdr Zulkharnain b.Mustapa ditaklifkan sebagai pengarah program. Setibanya di Banda Acheh, mereka menginap semalaman di Sulthan Hotel yang berdekatan dengan Masjid Raya Baiturrahman dan mengambil kesempatan berjalan-jalan sekitar Banda Acheh. Bersama mereka, 3 orang guru pengiring.

Keesokannya harinya, Selasa (02 Dis), kami dimaklumkan oleh salah seorang wakil mahasiwa UTHM, mereka sempat mengunjungi Makam Syiah Kuala ( Sheikh Abdul Rauf As-Singkeli) yang terletak sekitar 10 minit dari Banda Acheh. Tengah harinya, mereka mengadakan kunjung hormat kepada Badan Eksekutif Mahasiswa (BEMA) Universitas Syiah Kuala dan jam 03.00 petang BEMA Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniry yang jarak antara kedua institut pengajian tinggi ini hanya sekitar 500 meter.

Dalam kunjungan kepada kepimpinan mahasiwa IAIN Ar-Raniry, kami beberapa orang pelajar Malaysia yang menuntut di sini dijemput oleh BEMA untuk turut serta.Alhamdulillah,disini aktivis-aktivis dakwah kampus masih mendominasi Bema. Antara yang menyampaikan ucapan adalah Presiden BEMA, guru pengiring mahasiwa UTHM dan pengarah program Sinar D’Acheh 08, Sdr Zulkharnain. Beliau turut mengendalikan tayangan ‘slide show’ yang memaparkan aktiviti-aktiviti Sekretariat Sinar D’Acheh 08 beberapa bulan sebelum bertolak ke Acheh yang meliputi aktiviti mencari dana di sekitar Negeri Johor. Antaranya ialah mereka mengadakan kuitipan derma di beberapa pasar raya besar sekitar kampus UTHM, mengadakan jualan amal dengan cara menerima pakaian-pakaian terpakai dan menjualnya di pasar, mengambil upah mencuci kereta dan motosikal dan bermacam-macam lagi. Semuanya dilakukan semata-mata untuk mencari sebanyak mungkin dana bagi menyumbangkan kepada anak-anak yatim dan faqir miskin di Acheh. Subhanallah..

Pada hari Rabu (03 Dis), semua peserta program seramai 17 orang ini bertolak ke Uleem, Pidie Jaya sebagai tapak utama program kemanusiaan mereka. Masa untuk sampai ke Pidie Jaya lebih kurang 2 jam lebih. Di situ, mereka menginap sehingga Hari Raya ‘Idul Adha ditemani oleh beberapa orang teman-teman dari UNSYIAH. Pelbagai agenda disusun disitu seperti program-program motivasi untuk anak-anak masyarakat setempat, ramah mesra dibeberapa rumah anak yatim dan menyampaikan sumbangan kepada mereka. Anak-anak yatim disini terdiri dikalangan mereka yang kehilangan ibu dan ayah kerana korban Tsunami, konflik GAM dengan pemerintah Republik Indonesia dan kematian biasa.

‘Idul Adha tanggal 10 Dzulhijjah 1429 / 08 Dis 2008 dimanfaatkan oleh mereka untuk mengadakan aktiviti korban perdana. Sebanyak 6 ekor lembu ditumbangkan dan dagingnya diagihkan kepada masyarakat setempat yang terdiri dikalangan orang-orang tua, anak yatim dan lain-lain di Pidie Jaya.

Setelah beberapa hari menabur bakti di Pidie Jaya, mahasiswa dari UTHM ini terus bertolak semula ke Banda Acheh pada Hari Selasa dan menginap sekali lagi di Sulthan Hotel semalaman. Setelah bersiar-siar buat kali terakhir di Banda Acheh, Rabu tengah hari mereka berangkat ke Airport Sultan Iskandar Muda untuk pulang ke Malaysia melalui Airport Penang. Mereka juga merakamkan jutaan terima kasih kepada syarikat penerbangan Fire Fly yang sudi menjadi penaja menanggung perbelanjaan tiket mereka pergi dan pulang. Barakallahu fi kum..

Sekalung Tahniah dan Penghargaan

Kepada :

Teman-teman UTHM

atas sumbangan bakti antum semua

daripada:

Pelajar-pelajar Malaysia di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniry, Acheh Darussalam.

Catatan: Gambar kecil- dari kanan berkot hitam (Sdr Zulkharnain), berkopiah putih (guru pengiring/imam masjid UTHM) dan Presiden.Bema Ar-Raniry.