Sabtu, 20 November 2010

Sekitar Ijtima' Idul Adha 1431 Alumni Badik Ma'ahad Sas 2000-2010

Foto-foto sekitar majlis Ijtima' Idul Adha 1431 H Alumni Badan Dakwah, Ibadah & Kepimpinan (Badik) Ma'ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini, Bandar Jengka (2000-2010) yang dilaksanakan pada 18 Nov 2010 (Khamis) bertempat di Tahfiz Ar-Rahimiyah, Rantau Perintis, Bandar Jengka jam 09.30 pagi - 01.00 tengah hari. Bacaan ayat suci Al-Qur'an oleh Akhi Anwar (mantan tim.Pres.Badik 2009)
Ucapan Pengarah Ijtima' Idul Adha, Akhi Malek Hassan (mantan Pres.Badik 2003). Graduan UPSI.
Lebih 40 sahabat-sahabat seperjuangan dari pelbagai tahun dan pelbagai bidang pengajian serta kerjaya sekarang, hadir memeriahkan ijtima' idul adha. Ya Allah, peliharalah ikatan antara kami!
Ya Allah, Engkau istiqamahkan kami diatas jalan Mu ini sehinggalah kami bertemu denganMu!
Sesi ta'aruf kesemua ahli alumni yang hadir dimulai oleh Ust Anuar bin Hj Daud, ahli Badik tahun 2002 yang merupakan graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir cawangan Shoubra di bidang tahfiz Al-Qur'an. Kini sudah bergelar suami kepada salah seorang ahli alumni iaitu Ustazah Faezah Hj Nazri yang juga penuntut Al-Azhar.
Akhi Hazrul Mohamed Nahar, ahli Badik tahun 2004. Graduan UKM.
Akhi Aizat, mantan Pres.Badik tahun 2006 yang kini berkhidmat sebagai salah seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Pahang dibahagian "halal".
Akhi Zahid, mantan Pres.Badik tahun 2007 yang kini menuntut di Darul Qur'an, Selangor.
Akhi Khairul Nazir, mantan tim.Pres Badik 2007 yang kini menuntut di UKM.
Akhi Hanifuddin, mantan Pres.Badik tahun 2009 yang baru menyelesaikan peperiksaan STAM.
Akhi Syifa, mantan tim.Pres Badik 2010 yang akan menghadapi peperiksaan SPM beberapa hari sahaja lagi.Mudah-mudahan kalian dipermudahkan Allah.
Salah seorang ahli alumni muslimat sedang berta'aruf disisi Ukhti Zuraini (mahasiswa UM), tim.amirah Alumni Badik Ma'ahad Sas bagi sesi 2011.
Ustazah Hairul Azimah, salah seorang guru penasihat Badik yang merupakan mantan tim.Presiden 2 Badik tahun 2003.
Pengerusi majlis sedang menyebut beberapa nombor cabutan bertuah bersama Pengarah Ijtima' (tengah) dan Akhi Zaid Sabran (Amir alumni Badik bagi sesi 2011).
Nikmatnya makan bersama sahabat-sahabat seperjuangan
Suasana ceria bertemu para sahabat mengingat memori silam sewaktu bersama
Peliharalah ukhwah antara kami Ya Allah
Ust Khairi (baju kuning>penceramah undangan: Pengerusi Jabatan Pembangunan Mahasiswa DPP Kuala Krau,Pahang), dikanannya, Ust Zarimi Abu Zih (guru penasihat Badik yang juga graduan Universiti Al-Azhar cawangan Shoubra), Akhi Malek, Ust Anuar dan saya.
JAZAKUMULLAH ATAS KOMITMEN SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN.

Jumaat, 29 Oktober 2010

Catatan Perjalanan Dari Galas

Sedar tidak sedar, saya sudah sampai di persimpangan masuk Felda Jengka 16 jam 7 pagi tadi. Kabus pagi masih tebal. Bas yang menurunkan saya bergerak laju menuju ke Bandar Jengka yang mengambil masa sekitar 10 minit sahaja. 3 hari saya bertandang ke Negeri Kelantan bersama Akhi Azzar yang sama-sama dalam barisan kepimpinan mahasiswa Malaysia di Aceh tahun lalu, untuk menyelesaikan beberapa urusan berkaitan sijil pengajian dan lain-lain hal disamping mengambil kesempatan bertemu beberapa orang sahabat sepengajian yang berasal dari Kelantan. Senang sekali berkunjung ke mana-mana tempat, jika ada kenalan di lokasi tersebut. Mereka banyak membantu.


Lewat jam 12 malam, hari Selasa kelmarin, kami berkenderaan menuju ke Gua Musang, tepatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di dalam suasana hujan yang turun agak lebat. Sekitar jam 3.13 pagi kami berhenti berehat di Markaz PAS di kawasan Merapoh, Kuala Lipis. Markaz ini memang sering menjadi lokasi persinggahan bagi mereka yang berulang alik dari Kota Bharu – Kuala Lumpur untuk menunaikan solat, mandi dan istirehat. Dihadapannya adalah kawasan gerai-gerai makan yang menjadi tempat perhentian bas yang berulang alik dati KL – KB dan KB – KL. Jarak dari Merapoh masuk ke sempadan Kelantan tidak sampai 30 minit. Kami berehat sebentar di markaz tersebut sementara menunggu waktu Subuh. Bukan kami sahaja, malah petugas-petugas PAS dari Gombak, Shah Alam dan lain-lain tempat juga kelihatan terbaring kepenatan di situ.


Solat Subuh diimamkan oleh Tuan Guru Hj Abu Kasim, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pahang. Seusai mengetuai solat, beliau langsung mengubah posisinya menghadap para jama’ah untuk menyampaikan tazkirah ringkas. Ringkas disudut masa, tetapi padat disudut isinya. Perbicaraannya berkisar mengenai ’orang-orang Munafiq’. Beliau berpesan agar para petugas PAS khasnya anak-anak muda, turun ke Galas dengan penuh semangat, kesungguhan dan keikhlasan kepada Allah. Pimpinan gerakan Islam memang hebat. Setiap detik waktu senantiasa memberi peringatan kepada para pendukungnya mengenai kewajiban dalam perjuangan. Gerakan kebangsaan dan sekular tidak mungkin dan mustahil sama sekali untuk berbicara hal seperti ini kerana mereka dari awal lagi ’bermusuh’ dengan Islam apabila memisahkan urusan politik dari agama.


Jam 7 pagi kami tiba di Masjid Tengku Faiz Petra, bandar Gua Musang setelah melintasi sebuah Unit Peti Undi (UPU) yang betul-betul bersempadan dengan Lipis yang dijaga oleh petugas PAS Pasir Mas. UPU berkenaan juga dijaga oleh UMNO Negeri Selangor. Setiap desa dengan desa dipisahkan dengan hutan dan gua-gua. Ribuan penyokong dan pendukung Pakatan Rakyat sudah mula berhimpun untuk mengiringi calon PAS ke dewan penamaan calon. Seorang demi seorang pimpinan PAS, PKR dan DAP tiba. Setiap kali mereka tiba, laungan takbir bergema. Seorang penyokong DAP memasuki kawasan masjid dengan kain tertulis ’Parti Islam Se-Malaysia PAS’ terikat didahinya dan bendera PAS dijulangnya. Beliau melaung dengan kuat ”hancur UMNO!!!” beberapa kali dengan disambut sorakan dari orang ramai. Ribuan manusia menunggu ketibaan Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Mursyidul ’Am PAS, merangkap MB Kelantan. Beliau dijadualkan mengimami solat sunat hajat dan dhuha pada pagi tersebut sebelum mengiringi calon PAS ke pusat penamaan calon.


Kehadiran pimpinan DAP di perkarangan masjid menjadi sorotan media. Jika pimpinan DAP masuk ke masjid, ia ruang yang terbaik bagi regim Barisan Nasional khasnya UMNO untuk mengulasnya di media massa mengikut versi jahil mereka. Ternyata, pimpinan DAP, Lim Kit Siang, beberapa mantan exco DAP Kerajaan Negeri Perak memasuki masjid serta beberapa pimpinan Kelab Penyokong PAS Kaum India. Tuan Guru baru selesai memimpin solat hajat. Sebelum meneruskan solat Dhuha, beliau menyampaikan tazkirah ringkas. Tokoh-tokoh non-muslim ini mengambil posisi dibahagian belakang yang agak hampir dengan pintu masjid, tetapi masih dalam ruang solat, duduk bersila sebaris. Kelihatan agak lucu seperti P.Ramlee bersila 3 orang di jeti sewaktu membelasah ’orang-orang’ Ahmad Nisfu. Mereka menjadi sorotan media. Namun dengan muka ”selamba”, mereka duduk penuh tertib sambil mendengar tazkirah Tuan Guru.


Anda bayangkan Lim Kit Siang dan beberapa tokoh DAP yang begitu anti terhadap Negara Islam, mula lunak dan sedikit sudah kritikannya terhadap persoalan tersebut. Anda tahu betapa banyaknya persoalan tentang Islam mula dipelajari oleh Balasubramaniam, Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India di Pahang kepada Tuan Guru Dato’ Hj Tuan Ibrahim Tuan Man. Anda tahu betapa jauhnya pemimpin non-muslim dari mengenal Islam setelah berkawan dengan pemimpin UMNO. Jika MCA lawan Islam, puncanya adalah UMNO dan jika pemimpin DAP lawan Islam, puncanya adalah UMNO! Merekalah yang menggambarkan Islam dengan citra yang salah pada mereka. Merekalah yang menakut-nakutkan non-muslim kepada negara dan syariat Islam apabila PAS memerintah. Bahkan imej rosak pemimpin UMNOlah yang menyebabkan non-muslim memperlekeh Islam. Rasuah mendarah daging pada mereka, mendedah aurat budaya pemimpin wanitanya, kelab malam tempat berfoya-foya sebahagian dari mereka, lalu bagaimana non-muslim ingin mengenal Islam yang betul dan benar. UMNO memang bermasalah dengan Islam.


Saya tidak sempat mengikuti penamaan calon sehingga selesai. Sekitar jam 12 lebih, saya bersama Akhi Azzar meneruskan perjalanan ke Kota Bharu menumpang kereta Al-Fadhil Ust Fadhli Shaari. Sekarang beliau adalah SU Akhbar MB Kelatan. Kami rapat dengannya kerana sebelum menjadi SU Akhbar, beliau adalah pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) merangkap Ketua Jabatan Dakwah. Sempat juga kami belajar satu mata kuliah dengannya walaupun kami di jabatan Ushuluddin. Hubungan bertambah erat kerana kami sering mengundangnya menyampaikan pengisian-pengisian didalam program kemahasiswaan yang dianjurkan oleh persatuan mahasiswa di KIAS. Kebetulan, dizamannya diawal tahun 2000, beliau adalah Presiden persatuan mahasiswa di KIAS seangkatan dengan Al-Fadhil Ust Ramadhan Fitri Elias (Pengerusi Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) Dewan Pemuda PAS Pusat) yang menuntut di Akademi Pengajian Islam Univerisiti Malaya (APIUM), Nilam Puri, Kelantan dan menjadi Presiden Mahasiswa saat itu.


Ruang dan peluang bersama ’SU Akhbar’ dari Gua Musang ke Kota Bharu yang mengambil masa 3 jam tersebut kami manfaatkan untuk berdiskusi pelbagai hal dengan beliau menyangkut persoalan perjuangan, ujian-ujian dan masa depan PAS. Beliau tidak kekok atau kedekut dalam memberikan pandangan walaupun beliau mengetahui siapalah kami dalam parti tersebut untuk bertanya pelbagai perkara. Kami baru berstatus ’mantan mahasiswa’. Satu jawatan pun tidak ada dalam parti tersebut. Antara kata-katanya yang masih terngiang-ngiang ditelinga saya adalah ”kalau menang (Galas)...ujian kita makin besar..ujian selepas kemenangan lebih besar.” Kami cuba memahaminya. Ya, benar! Waktu zaman susah, kita hanya bekerja menghadapi UMNO dan Barisan Nasional. Waktu zaman kemenangan, ujian datang dari sesama kita sendiri. Sedikit sebanyak ia telah terlihat sekarang. Di dalam gerakan Islam, tidak terlepas dari wujudnya satu dua manusia yang berkepentingan dan mempunyai agenda tersendiri.


Setelah bertemu dengan beberapa orang para murabbi yang banyak membantu menggerakkan tarbiah di bumi Nilam Puri, kami beristirehat di Pengkalan Chepa, rumah seorang teman. Kelihatan Bandar Baru Tunjung sudah hampir siap dibangunkan. Letaknya antara Nilam Puri ke Kota Bharu di Jalan Kuala Krai. Sekitar 5 minit dari Nilam Puri dan 10 minit dari Kota Bharu.


Pagi Rabu, kami mengelilngi Kota Bharu. Sudah dua tahun saya meninggalkan Kota Bharu. Perubahan terjadi begitu cepat. Bangunan satu persatu berdiri. Dulunya Kelantan Trade Centre masih dalam pembinaan, sekarang sudah siap dipakai. Pasaraya besar Giant sudah beroperasi, diantara Pasar Siti Khadijah, The Store dan terminal bas tempatan. Pasar Siti Khadijah sudah ada penambahan, tandas awamnya agak lebih strategik. Bangunan-bangunan kedai 3 tingkat penuh mengelilingi Pasar Raya Tesco yang menghadap ke jambatan Sultan Yahya Petra menuju Pasir Mas. Ertinya, isu kemunduran, pembangunan Kelantan adalah isu basi dan tidak relevan lagi untuk dipakai oleh UMNO. Jika ada yang mengatakan PAS memerintah Kelantan, tiada pembangunan, hanya ada 3 kemungkinan. 1) Tidak pernah masuk ke Kelantan 2) Masuk ke Kelantan berjalan lenggok (dongak) ke langit atau tunduk ke tanah (meminjam ayat Ust Nasharuddin Daud (speaker DUN Kelantan) 3) Matanya buta.


Islam tidak pernah menolak pembangunan material (kebendaan). Namun, Islam mengajar agar menyeimbangkan sebaik mungkin antara pembangunan kebendaan dan ruh. Bangunan dibangun, manusia tidak dibangunkan, maka terlihatlah seperti apa yang sering dilaporkan oleh media hari ini hampir setiap hari yang sangat menakutkan dan membimbangkan kita. Inilah yang pemimpin UMNO yang berbangsa Melayu dan mengaku Muslim tidak faham-faham. Mereka lupa bagaimana nasib kaum Tsamud, kaum ’Add, kaum Madyan, kaum Saddum, Fir’aun, Namrud dan Qarun dibinasakan oleh Allah. Padahal mereka adalah ’arkitek-arkitek’ hebat dizaman mereka sampai mampu membelah gunung dan menjadikannya kediaman, tempat bermain, tempat bermesyuarat didalamnya.


Kami memasuki Toko Buku terkenal di Kota Bharu iaitu Jaffar Rawas. Entah sudah berapa puluh tahun syarikat ini beroperasi di tengah Kota Bharu. Kalau tidak salah, pengusaha awalnya iaitu Jaffar Rawas berasal dari Pakistan. Dengan wang RM 100, kadang-kadang terasa tidak padan untuk memasuki ’zon ilmu’ ini. Pelbagai buku-buku dan kitab-kitab baru terbitan pelbagai syarikat terhimpun disini. Saya membeli juga beberapa buah kitab berkaitan ilmu hadith untuk tujuan pengajian di masjid dan sebuah novel berjudul ’GERILA’ karya Lukman Iskandar, bekas tahanan ISA dan bekas SU Agung Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani). Beliau menceritakan kisah benar seorang anggota TUDM iaitu Kapten Raziman, keturunan kesultanan Melayu Pattani yang bergabung bersama Tentera Pembebasan Pattani (TPP) setelah pesawat TUDMnya terhempas di perbatasan Malaysia – Thai sewaktu sesi latihan. Hari ini sudah hampir separuh novel terbitan PTS ini saya habiskan. Saya bukan peminat novel, apatah lagi novel-novel percintaan. Namun, novel ini agak menarik perhatian saya.



Kami berhenti makan tengah hari di restoran Nasi Ulam Cikgu, berhadapan masjid Muhammadi, Kota Bharu. Pelbagai ulam disediakan. Tentunya, budu sebagai pencicah. Beberapa teman sepengajian asal Kelantan juga turut serta. Setelah selesai, kami Solat Zuhur di masjid negeri tersebut. Di papan kenyataannya, masih terdapat senarai pentazkirah didalam bulan Ramadhan baru-baru ini. Dari 30 senarai pentazkirah Ramadhan, terdapat nama Ketua Polis Negeri Kelantan. Saya lupa namanya. Tazkirah beliau bertajuk ”Islam dan Keselamatan”. Untungnya negeri yang polisnya berketuakan seorang yang berlatarbelakangkan pengajian Islam. Khabarnya dari UKM. Bukan sahaja tazkirah, sudah beberapa kali beliau membaca khutbah Jumaat. Papan tanda dari polis Kelantan di beberapa jalan utama Kota Bharu tertera ayat Al-Qur’an iaitu ”walau anna ahlal qura amanu.....” dan hadith ”man ra’a minkum munkaran....”. Bagaimana pula nasib ketua-ketua polis di negeri-negeri yang diperintah oleh regim Barisan Nasional? Mereka benar-benar dipergunakan seenak-enaknya untuk mempertahakan regim yang sedang berkuasa sekarang. ”aktiviti” mereka hanya menggempur ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.


Sekitar jam 3 petang, kami berangkat semula ke KIAS untuk mengambil sijil selama 3 tahun pengajian disitu dan transkrip akademik. Di satu papan kenyataan, terdapat sebuah artikel yang menarik perhatian saya bertajuk ”Awas!!! Fenomena Memuntahkan Ilmu” karya Ust Zulqarnain Hassan, Ketua Jabatan Syariah. Beliau menukilkan kata-kata Sheikh Muhammad Al-Ghazali didalam bahasa Arab yang ertinya ”mahasiswa di akhir zaman, hanya menghafaz maklumat ketika hampir-hampir menghadapi peperiksaan, kemudian mereka memuntahkannya didalam dewan peperiksaan.” Kalimah ’memuntahkan” sengaja di tebalkan tulisannya oleh Ust Zulqarnain bagi tujuan penjelasan. Katanya, jika seseorang muntah, ia tentu tidak akan memakannya semula. Maka samalah halnya dengan mahasiswa yang bertungkus lumus, tidak tidur malam semata-mata untuk membaca atau menghafaz semata-mata untuk ’memuntahkannya’ diatas kertas peperiksaan esok, dan selepas peperiksaan ilmu itu tidak ditelan atau dipakai semula.


Beliau juga memetik kata-kata Imam Burhanuddin Az-Zarnuji, ”hendaklah setiap penuntut ilmu meniatkan bahawa tujuan sebenarnya ia menuntut ilmu bukanlah untuk mengejar kepentingan dunia, sijil dan pangkat, tetapi hendaklah diniatkan kerana mencari keredhoan Allah dan hari akhirat, menghapuskan kejahilan dalam dirinya, dan menghidupkan agama serta berazam untuk mengembalikan keagungan Islam, sebab kekalnya keagungan Islam hanyalah melalui ilmu pengetahuan. (Lihat: Ta’limul Muta’allim). Imam Syafi’e pula berkata ” sesungguhnya seorang faqih itu ialah yang beramal dengan ilmunya, bukanlah seorang faqih itu hanya pandai berucap dan berkata kosong semata-mata.” (Lihat: Diwan As-Syafi’ie).


Subhanallah! Artikel ringkas satu halaman yang memuat ingatan-ingatan yang memukul para penuntut ilmu agar sedar tujuannya.


Pagi Khamis, sementara menunggu kaunter tiket dibuka di terminal yang sudah dipindahkan dari Jalan Hamzah, KB Mall ke pasar raya Tesco, kami memasuki Pasar Besar Siti Khadijah. Di lantai bawah adalah barang-barang keperluan dapur. Sambil menunggu pelanggan, seorang makcik yang berniaga disitu masih sempat memegang sebuah buku kecil bertulisan jawi dan membacanya. Jika tidak salah saya, ia adalah Al-Ma’thurat. Subhanallah! Rakyat di negeri ini memang dididik sebegini, walaupun tidak dinafikan masih ada segelintir yang bermasalah. Yang penting, penguasa negeri ini sudah melakukan upaya ke arah mendidik rakyatnya dengan agama.


Saya masih teringat beberapa tahun yang lalu sewaktu saya menaiki pasar ini untuk membeli kain batik. Kedai-kedai pakaian dilantai dua (tingkat 1) sangat banyak. Pakaian yang dijual hampir sama disetiap kedai. Saya berhenti dihadapan sebuah kedai kerana tertarik dengan kain dikedai tersebut. Saat itu, makcik tuan kedai tidak ada. Seorang Makcik dikedai lain melihat saya. Anda tahu apa yang ia lakukan? Tarik saya ke kedainya kerana kedai itu tiada tuan? Tidak! Beliau menyebut ”adik nak beli kain gapo? Pilihlah..takpo..bayar ko makcik ja..nanti makcik buwi (bagi) ko tuan dio (tuan kedai)..”.Mengapa tidak tarik sahaja saya ke kedainya? Dia menjawab ”takpolah..rezeki tuan kedai nih..”


Jam 9 malam saya berangkat meninggalkan bumi Kelantan sambil berbual-bual dengan Akhi Azzar. Jauh dihati masih mengharapkan Allah memelihara negeri ini dari jatuh ke tangan manusia yang tidak selayaknya.

Selasa, 5 Oktober 2010

Intima' Bersama Gerakan Islam, Kita Akan Sentiasa Bertemu

Lebih seminggu saya tidak menulis. Ketika berada di bumi Aceh Darussalam (25 Ogos 2008 – 24 Sept 2010), minat menulis berputik dan berkembang mekar dek kerana banyak info-info dari tanah seberang yang boleh dan perlu dikongsi dengan teman-teman pembaca di Malaysia khasnya dan seluruh dunia amnya. Tentunya pembaca inginkan maklumat dari sumber yang pertama. Jika sekarang saya masih menulis berita-berita atau info-info dari Indonesia, pastinya ia bukan lagi dari sumber yang pertama kerana saya bukan lagi berada di lokasi berkenaan.


Ingin mengulas isu-isu di tanah air, kelihatannya sudah kebanjiran blog dan website yang membicarakannya dari pelbagai sisi pandang yang berbeza. Namun, untuk meninggalkan berkarya di alam maya ini, ianya hal yang sangat berat kerana inilah salah satu ruang dan medan dakwah yang bisa saya manfaatkan. Apa sahaja ruang yang bisa digunakan untuk kepentingan ummat ini, wajib kita merangkulnya sebaik mungkin. Dakwah itu kewajipan setiap detik kita bernafas, bukan kewajipan yang berjadual atau pada hari dan waktu yang tertentu.


Saya baru pulang dari Masjid Rusila, Marang, Terengganu. 3 hari kami berkampung di sana. Masjid Rusila adalah antara simbol kebangkitan perjuangan Islam di Malaysia seawall tahun 60-an lagi. Bersebelahan masjid ini adalah rumah Presiden Parti Islam Se-Malaysia (PAS), sebuah gerakan Islam tertua di tanah air, iaitu Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang. Beliau adalah ulama’ul amilin (ulama’ sekaligus pekerja didalam perjuangan: tidak semua ulama’ menjadikan diri mereka sebagai amilin). Begitu juga ayahandanya, Tuan Guru Hj Awang, salah seorang tokoh Hizbul Muslimin (diharamkan oleh British dan dilanjutkan tugasnya oleh PAS) di Terengganu. Masjid ini adalah saksi sejarah, betapa gigihnya mereka menyedarkan dan mentarbiah bangsa Melayu ini agar berpegang kepada Islam dan meninggalkan ideologi nasionalisme dan sekularisme yang sangat jauh dari kebenaran Al-Qur’an.


Jika diteliti, memang kebanyakan ulama’ yang bersama gerakan Islam, masjid dan rumah mereka sangat berdekatan. Rumah beliau bersebelahan masjid ini. Sangat sederhana kediamannya persis orang kampung biasa. Begitulah juga yang diperlihatkan oleh Tuan Guru Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat. Hampir 20 tahun menjadi Menteri Besar, kediamannya yang bersebelahan dengan masjid Pulau Melaka hanya seperti kediaman rakyat biasa. Bahkan rumah rakyat sahaja sudah berkali ganda besar dan mewah dari rumahnya. Masjid adalah penghubung antara pemimpin dan rakyat. Masjid adalah lokasi penting mengukuhkan ikatan antara pimpinan gerakan Islam dengan para pendukungya. Inilah yang difahami oleh mereka.


3 hari dua malam mengikuti Ijtima’ Tarbawi Dewan Pemuda PAS Malaysia yang dihadiri oleh lebih 5000 para pemuda Islam dari seluruh Malaysia bermula selepas solat Asar, hari Jumaat (1 Okt 2010) sehinggalah solat Zohor hari Ahad (3 Okt 2010), ada sebuah hal yang sangat penting yang saya rasai dan perolehi. Hal tersebut adalah ‘ukhwah Islamiyyah’. Saya tidak bermaksud untuk membicarakan bagaimana suasana solat 5 waktu secara berjama’ah, qiamullail berjama;ah, bacaan al-ma’thurat secara berjama’ah, makan menggunakan talam secara berjama’ah, mendengar amanat-amanat dari pimpinan secara berjama’ah dan lain-lain yang dididik dalam program ini. Ini memang sudah diajar sekian lama oleh para pimpinan PAS kepada para pemudanya. Saya yakin dan kita semua yakin, pemimpin UMNO tidak akan mampu mendidik para pemudanya dengan hal semacam ini. Mereka bukan gerakan Islam. Bagaimana mereka ingin membicarakan soal ukhwah Islamiyyah. Mereka hidup diatas perkauman (Melayu). Ingin berbicara soal tabiyyah Islamiyyah, jauh sekali kelayakannya. Mereka adalah gerakan secular yang sengaja dibiarkan hidup oleh para penjajah agar meneruskan kerja-kerja mereka memisahkan umat Islam dari politik dan jihad.


Perbicaraan saya tentang ukhwah Islamiyyah hanya terfokus kepada persoalan ‘pertemuan’. Bertemu setelah berpisah sekian lama, adalah sebuah kenikmatan yang sangat berharga dan sangat menyenangkan. Saya bertemu dengan teman-teman sepengajian ketika sama-sama di sekolah menengah. Saya bertemu dengan teman-teman sepengajian ketika mengambil STAM. Saya bertemu teman-teman sewaktu sama-sama berada di kampus. Saya bertemu teman-teman dari kampus lain yang pernah berprogram bersama dalam persatuan-persatuan Islam di kampus. Mereka bukan sekadar teman sepengajian, tetapi teman seperjuangan. Subhanallah!


Kadang-kadang, terdetik dihati saya, saat kita ingin meninggalkan dan berpisah dengan teman-teman dibangku sekolah atau kuliah (kampus), kita sering mengungkapkan kata-kata “mudah-mudahan ukhwah kita berkekalan..mudah-mudahan kita akan bertemu lagi..” dan seumpamanya. Soalnya, bagaimanakah ukhwah itu akan berkekalan dan pertemuan itu akan berlaku lagi?


Subhanallah! Intima’ (penggabungan) bersama gerakan Islam adalah jawapan kepada pertanyaan ini. Anda terlibat dengan gerakan Islam, yang tentunya PAS sebagai pilihan, anda akan bertemu semula dengan teman-teman anda yang pernah anda bersamanya pada satu waktu dahulu. Mungkin kita akan bertemu dicawangan kita atau di kawasan kita atau dinegeri kita atau di muktamar gerakan kita atau apa-apa program dan aktiviti gerakan Islam kita. Bukan 5 tahun sekali atau satu tahun sekali kita bisa bertemu. Bahkan kadang-kadang berkali-kali dalam setahun kita dipertemukan Allah. Itu pun jika kita istiqamah dan thabat di atas jalan yang pernah sama-sama kita lalui ini. Jika tidak, jangan bermimpi!


Ya, tidak bersama gerakan Islam, gerakan jihad dan dakwah, kita mungkin boleh bertemu juga. Namun, apa ertinya jika bertemu sekadar teman biasa yang tidak ada kaitan langsung dengan perjuangan Islam. Kita akan bertemu ditempat kerja atau dipasar malam atau ditepi jalan atau......InsyaAllah, bersama perjuangan Islam, kita akan sentiasa bertemu dan bertemu. Jika tidak bertemu sekalipun, para pejuang akan sentiasa ’bertemu’ teman-teman mereka didalam doa-doa mereka. Jika merasa tenang dan nyaman tanpa terikat dan mempunyai ikatan dengan gerakan Islam dan perjuangannya atau inginkan kebebasan tanpa memikul beban amanah dakwah, silakan.


Ya Allah! Engkau istiqamahkan kami diatas jalan ini. Jangan Engkau uji kami dengan dunia yang menyebabkan kami lari, kecundang, malu-malu, segan silu, mereka pelbagai alasan dan dalih untuk bersama membantu agama Mu ditanah air ini. Allahu Akbar!

Sabtu, 25 September 2010

Saya Sudah di Malaysia: Terima Kasih Semua

Salam Syawal,
Sahabat-sahabat pembaca yang dirahmati Allah s.w.t sekalian, untuk makluman, penulis telah meninggalkan bumi Aceh Darussalam pada hari semalam tepat jam 12.50 t.hari waktu tempatan. Alhamdulillah, penulis telah selesai mengikuti pengkuliahan peringkat Ijazah di IAIN Ar-Raniry, Darussalam,Banda Aceh setelah mengikuti wisuda (konvokesyen) pada tanggal 16 Sept 2010 yang lalu.

Dikesempatan ini, penulis ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu pengajian penulis sehingga diberi kemudahan oleh Allah berjaya menyelesaikan pengajian dengan baik. Terima kasih buat abah dan mak, abang-abang, kakak-kakak dan adik-adik serta semua ahli keluargaku yang dekat atau yang jauh. Jasa kalian dalam pelbagai bentuk tidak dapat ku lupakan. Dukungan moral dan material kepadaku sangat bererti.

Buat dosen-dosen (pensyarah2) ku di IAIN Ar-Raniry, terima kasih atas segala bimbingan dan tunjuk ajar kalian. Mudah-mudahan Allah memudahkan urusan kalian dalam melaksanakan amanah kepada ummat ini. Banyak hal yang ku perolehi dari kalian.

Buat teman-teman kepimpinan mahasiswa Malaysia di Aceh, terima kasih juga atas dukungan dari kalian. Pahit getir, suka duka bersama kalian adalah kenangan dan pengalaman yang berharga buat kita bersama. Pengalaman adalah ilmu yang tidak bisa kita ketemu atau beli dikedai. Hanya kita yang merasainya. Teruskan langkah dengan penuh gagah. Persiapkan diri selayaknya sebagai pemimpin ummat ini.

Buat teman-teman mahasiswa Malaysia di Aceh, diriku senang bersama kalian walau kadangkala ada sedikit kepahitan yang terpaksa ditelan dengan penuh kesabaran. Teruskan perjuangan dalam menuntut ilmu Allah. Fahami dengan jelas dan benar matlamat kita berada di perantauan. Semoga ukhwah Islamiyyah yang telah kita bangunkan tidak terhenti setakat ini.

Buat para murabbiku di bumi Aceh Darussalam, tarbiyyah kalian sangat ku hargai. Ia adalah bekal buat diriku yang bakal menghadapi medan yang lebih luas. Doakanku terus thabat dan istiqamah di atas jalan ini.

Buat teman-teman seperjuangan dari bumi Aceh Darussalam, dari kalian telah kupelajari dan timba banyak pengalaman-pengalaman berharga. Sabarlah menghadapi ujian, aturlah dengan baik perjalanan dakwah kita. Mudah-mudahan matlamat kita tercapai. Walau hanya seketika ku sempat bersama kalian, tetapi kalian menerima kami dengan baik dan terhormat. Jazakallah.

Buat semua guru-guru atau sesiapa sahaja yang pernah mencurahkan ilmu kepadaku, halalkan ilmu tersebut. Doakanku mampu menyampaikan dan memanfaatkannya pula untuk ummat ini. Ilmu kalian tidak bisa ku bayar dengan wang ringgit. Terima kasih atas pengorbanan tersebut.

Mohon maaf kerana ku tidak mampu menyatakan satu persatu nama kalian disini. Allah mengetahui nama-nama kalian yang telah membantu, mendidik dan membimbingku.

Doakan agar diriku dipermudahkan Allah untuk melanjutkan pengajian diperingkat yang seterusnya dan dipermudahkan dalam segala urusan. Aku juga mengharapkan kalian dipermudahkan oleh Allah dan senantiasa dirahmati dan diberi petunjuk olehNya.

Terima kasih semua. Salam perjuangan.
Muhammad Fadhlullah.

Rabu, 22 September 2010

Poster 'Gerakan Rakyat Anti Malaysia' di Aceh: Mahasiswa Malaysia Jangan Terpancing Dengan Provokasi

Poster ‘Ganyang Malaysia’ ini saya cabut dari sebatang pohon di lapangan Universitas Syiah Kuala (Unsyiah/USK) yang terletak 200 m dari IAIN Ar-Raniry, Darussalam, Banda Aceh sekitar jam 12.45 t.hari tadi (Rabu). Masih banyak yang terpasang. Ia telah terpasang bbrp hari yang lalu.Mohon kpd shbt2 mhswa Malaysia di Aceh “pelihara dn jg hbgn baik dgn msyrkt Aceh sprti biasa sprti yg telah kita bina slama ini.Jangan terpancing dgn provokasi murahan dri bbrp klmpok provokator ini. Mereka bukan mwkili kslruhn rkyt Aceh”. Rata2 rakyat Aceh tidak bersetuju dengan tindakan melampau kelompok2 ini. Ini yang kami ketahui dan tanyakan pada mereka. Terima kasih.



Sabtu, 18 September 2010

Sekitar Majlis Yudisium Fak.Ushuluddin & Wisuda IAIN Ar-Raniry 14 & 16 Sept 2010

Gambar-gambar sekitar majlis Yudisium Fakultas Ushuluddin IAIN Ar-Raniry, Darussalam,Banda Aceh yang dilaksanakan pada 14 Sept 2010 yang lalu. Menurut Kamus Besar Indonesia, 'yudisium' artinya 'penentuan nilai (lulus) suatu ujian sarjana lengkap (di perguruan tinggi). Adapun menurut kefahaman kami, yudisium artinya majlis anugerah nilai yang dilakukan diperingkat fakultas sebelum kita mengikuti wisuda (konvokesyen) peringkat kampus.
Seramai 20 mahasiswa di Fak.Ushuluddin mengikuti yudisium untuk sesi akademik 2009/2010. Semua mereka dari 3 jurusan di fak.ushuluddin iaitu Jurusan Tafsir & Hadith, Aqidah & Filsafah dan Perbandingan Agama. Peserta yudisium disebut 'yudisia'. Jangan sia-sia dah...:)
Al-Akh Azzar (mantan YDP PKPMI-CA 2009/2010) bersalaman dengan Dekan Fak.Ushuluddin,Bapak Syamsul Rizal. Disebelahnya, Bapak Wahid iaitu Ketua Jurusan Tafsir & Hadith.
Bacaan doa penutup majlis yudisium
Bersama Bapak Agusni, pembantu Dekan 1 Fak.Ushuluddin. Beliau antara yang banyak membantu kami.Jazakallah.

Gambar-gambar sekitar majlis Wisuda IAIN Ar-Raniry, Darussalam,Banda Aceh yang dilaksanakan pada 16 Sept 2010 kemarin. Lebih 500 mahasiswa diwisudakan. Menurut Kamus Besar Indonesia, 'wisuda' artinya perasmian atau pelantikan yang dilakukan dengan upacara khidmat. Contoh ayat: Para sarjana yang baru lulus mengahdiri acara wisuda bersama orang tua mereka.
Peserta wisuda disebut 'wisudawan' bagi lelaki dan 'wisudawati' bagi perempuan.
Berbaris panjang mengikut fakultas masing-masing dan berjalan sejauh 1 km dijalan utama kampus sebelum memasuki dewan wisuda.
Dihadapan sekali adalah pasukan paluan kompang,sambil bersalawat.
Untuk wisuda kali ini, 1 orang bergelar Prof.Madya, 20 orang bergelar Magister (Master) dan lebih 500 orang bergelar sarjana.
Terima kasih Ya Allah..terima kasih semua..apa pula amanah baru yang bakal kami tempuhi..