Isnin, 3 Ogos 2009

Buruh Kasar Ini Tahu dan Faham ISA Zalim !

Kali pertama melihat wajahnya terpapar di website malaysiakini dengan tangan terikat di belakang, hati saya terasa begitu kagum bercampur sebak. Di kanannya terdapat 2 lelaki dan di kirinya juga terdapat 2 lelaki yang masing-masing tangan terikat. Sekitar mereka tercegat beberapa anggota polis baik yang lelaki mahupun perempuan. Pemuda berumur 27 tahun ini terlihat dikepalanya ikatan kain berwarna merah yang hanya kelihatan kalimat “Akta Zalim”.


Dia bukan mahasiswa dari mana-mana university. Dia bukan pegawai yang bertugas di mana-mana pejabat berhawa dingin. Dia bukan pekerja di mana-mana kilang. Dia bukan tidak ada apa-apa jawatan di dalam masyarakat. Bahkan rata-rata masyarakat sekeliling mengenal bahawa dia seorang yang tidak pernah merasai duduk dibangku sekolah menengah dan hanya beberapa tahun sahaja merasai menulis di sekolah rendah. Sakit yang dialaminya disaat umur itu membuatkan keinginan untuk terus belajar terhenti.

Sejak kecil kerjanya hanya membantu bapanya di ladang getah sehingga jika bapa tidak ke ladang kerana apa-apa urusan, dialah penggantinya. Seawal pagi lagi sudah keluar dan menjelang waktu Zohor dia pulang dari ladang dengan pakaian seorang penoreh getah. Tentunya tiada yang wangi pada pakaiannya itu.Di waktu petang, kami bermain bola sepak atau badminton bersama-sama. Kadangkala masuk ke mana-mana ladang getah untuk menjalankan hobi memancing ikan. Dia antara ‘guru’ saya dalam hal menangkap ikan dan bersukan.


Dilihat orangnya, kurang bicara dan agak pemalu khasnya kepada teman-teman yang bersekolah atau orang-orang yang berpendidikan.


Entah mengapa, sekitar tahun 2004, setelah menyaksikan kekakalahan PAS dan rakan-rakan didalam pilihanraya tahun tersebut, semangatnya bertambah kencang. Ditambah lagi dengan hubungan antara pimpinan Pemuda PAS dicawangannya yang mudah bergaul dengan sesiapa sahaja, Alhamdulillah, dia tidak kekok lagi untuk bersama. Usrah pemuda diperingkat cawangan dihadirinya setiap minggu. Jika Ust terlupa memaklumkan, dia yang akan bertanya samada usrah pada malam itu ada atau tidak. Bahkan, sering dia yang menjadi ‘pemaklum’ kepada anak muda yang lain.


Dulunya ke masjid agak sulit dan sedikit segan silu. Kuliah-kuliah di masjid tidak kelihatan. Kini saya akui dan berbangga dengannya. Jika tidak penuh 5 waktu di masjid sekali pun, Maghrib dan Isya’ pasti kami dapat bersama. Kuliah di masjid akan dipenuhinya. Kuliah mingguan Ust Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man di Bandar Jengka setiap hari Selasa malam Rabu dihadirinya bersama anak muda lain. Kenalan di dalam pemuda semakin ramai. Komunikasinya dengan sesiapa sahaja tiada malu-malu lagi.


Menjelang pilihanraya Mac 2008, hanya beberapa malam sahaja dia lekat dirumah. Selebihnya tidur di markaz PAS bersama teman-teman lain. 10 hari terakhir tugasannya memasang bendera dan sepanduk PAS sehingga lewat jam 3 pagi. Dia bukan pekerja yang bergaji besar. Hanya pemuda Felda yang membantu bapa menorah getah dengan gaji yang anda fahami berapa banyaknya. Di mana sahaja ada program-program rasmi PAS di sekitar Dun Jengka atau Parlimen Kuala Krau, dia dan teman-teman pemuda akan kelihatan dengan pakaian seragam berwarna merah, Unit Amal. Kawalan lalu lintas sentiasa terjaga. Memegang uncang kutipan derma didalam majlis-majlis ceramah sudah menjadi kebiasaanya. Himpunan besar-besaran di Kuala Lumpur disertainya termasuk Himpunan Bersih.


Disaat kampong memerlukan anak-anak muda untuk berkawal sehingga jam 4 atau 5 pagi bagi membendung kejadian mencuri dan merompak yang kian parah di kawasan Felda, dialah antara yang terkehadapan menghulur tenaga dan masa. Secara rasminya, dia aktivis Unit Amal yang penuh berjasa.


Jika kita yang berpendidikan tanya kepadanya tentang ayat-ayat Al-Qur’an atau Hadith Nabi mengenai larangan melakukan kezaliman, menahan orang tanpa bicara, menyeksa tahanan dan sebagainya, dia tidak akan dapat mengemukakannya. Jika ditanya kepadanya mengenai peringatan dari para Sahabat atau tabi’in atau tabi’ tabi’in atau ulama mengenai larangan melakukan kezaliman, dia juga tidak mampu menjelaskannya. Jika ditanya kepadanya mengenai fatwa kontemporer atau kaedah Fiqh terkini dari Dr.Yusuf Al-Qardhawi mengenai haramnya menahan orang tanpa bicara, dia juga tidak mampu menyatakannya.


Namun, disatu sudut, pemuda penoreh getah yang tidak berpendidikan tinggi dan tidak sempat merasai apa-apa peperiksaan besar samada UPSR, PMR atau SPM ini apatah lagi menjejaki menara gading ini reti bahasa bahawa ‘kezaliman adalah haram dan berdosa’ , ‘doa orang yang dizalimi dimakbulkan Allah’ , ‘menahan orang tanpa bicara terkeluar dari batas kemanusiaan’ dan ‘ISA adalah sebuah kezaliman’.


Maka, pemimpin UMNO dan BN perlu merasa malu dan bersalah kepada anak muda, buruh kasar ini yang mengerti nilai kemanusiaan sedangkan tiada segulung ijazah pun pernah dipegangnya. Profeser dan pensyarah yang bersama UMNO mempertahankan akta kuffar ini perlu segan dan malu pada anak muda yang kerja hariannya memegang pisau toreh getah. Ulama’ yang masih diam dari mengisytiharkan haramnya ISA perlu malu pada anak muda Felda ini. Orang-orang yang terus bersama UMNO mempertahankan akta tinggalan kuffar yang telah merenggut hubungan suami dengan isteri dan anak dengan bapanya ini, malulah kepada anak muda ini.


Hari ini saya ucapkan tahniah kepadanya ! Dialah teman bersebelahan rumah saya yang bernama Rodzi bin Idris. Tahniah ! walaupun sehingga Maghrib , hari Sabtu dia sudah dibebaskan dan hanya beberapa jam sahaja merasai ‘melepak’ di pusat FRU di Cheras, namun cukuplah tangannya yang terikat menjadi inspirasi kepada kita, anak muda. Allahu Akbar !!!

4 ulasan:

sketsa sebuah perjuangan berkata...

anak muda memang sentiasa hebat. Kalau ustaz nak tahu kan, hampir 95 peratus yg dtg demo ari tu rata ratanya dari kalangan anak - anak muda, mereka bersemangat kental dengan tahap juang yg tinggi, hebat kan ustaz?

tukulbesi berkata...

Mlm ini kami akan bagi anugerah kepada Rozi smpena crmh tmbln presiden malam ini di markaz Jengka 16

cucu syiah kuala berkata...

hebat!!!hebat!!!!anak muda memang hebat. Insya Allah PRU 13 orang muda akan memenangkan PR dengan izin-Nya

architecture student berkata...

tahniah abangku...