Rabu, 15 Julai 2009

Manek Urai yang merosot : Pandanganku...

Selayaknya bagi yang menang atau mendapat bahagia, saya ucapkan tahniah dan bagi yang kalah atau celaka, diucapkan takziah. Maka, ucapan tahniah saya tujukan pada PAS khasnya ‘orang-orang’ Manek Urai yang diberi rahmat oleh Allah melalui kemenangan semalam. Sepertinya, kemenangan itu kemenangan ‘beramaran’. Mungkin ramai yang boleh bersetuju dengan istilah ini. Masakan tidak, beza majoriti dalam PRU 2008 lalu sangat jauh lebih tinggi dari PRK kelmarin.

Ketika membaca berita dari harakahdaily.net yang menyiarkan sebuah artikel bertajuk ‘Pas akan lakukan post-mortem –Dato’ Halim’ , hati saya tergerak untuk berkomentar walaupun saya bukanlah pengamat politik. Maka, jika pandangan kurang tepat atau tidak tepat langsung, maka wajarlah.

Ianya adalah sebuah fenomena sering meletakkan kekalahan atau kemerosotan undi kepada UMNO sebagai factor utama. Umnolah penipu, melakukan manipulasi, memperalatkan SPR dan sebagainya. Ya, itu tidak boleh dinafikan kerana UMNO dan penyakit menipu ibarat aur dengan tebing dan bagikan isi dengan kuku. Namun, dalam PRK Manek Urai sebetulnya ada beberapa hal yang perlu diteliti secara serius. Jadi, menjadikan janji UMNO untuk memberi jambatan baru di Manek Urai yang boleh mengelabui mata pengundi disitu sebagai antara punca kekalahan, sebenarnya agak aneh. Seolah-olah inilah kali pertama UMNO menawarkan ‘mata’uddunia’ kepada para pejuang Islam. Padahal, pada setiap kali pilihanraya baik yang besar atau kecil, tawaran pelbagai janji adalah kebiasaan bagi UMNO. Bukan kata jambatan, kalau boleh Putrajaya pun mereka akan janji untuk dipindahkan ke Kuala Krai.

Amat menarik bagi saya kerana kali ini, sebuah PRK yang ditandingi oleh calon dari PAS berlakunya dalam tempoh atau pasca ‘Tsunami’ sedang melanda PAS. Ianya dilihat oleh pelbagai pihak bakal menjadi boomerang bagi PAS. Maksudnya, ini peluru paling ampuh untuk UMNO gunakan.

Gara-gara itu, sampai-sampai ada yang sanggup mencetuskan idea dan akhirnya idea itu dipakai beberapa waktu agar poster Tuan Guru Presiden tidak dinaikkan di Manek Urai bagi mengelakkan pengundi ‘terkesan’ dengan sedikit ‘konflik’ yang berlaku dalam Pas. Lalu, apabila timbul pelbagai pertanyaan dari pelbagai pihak mengapa gambar Presiden kepada parti sendiri tidak ada, maka keluarlah statement yang sangat melucukan “kita letak gambar Tok Guru sahaja kerana nilai komersialnya sangat tinggi’. Aneh ! Ya, memang aneh. Seolah-olah poster Tok Guru dari Terengganu ini tiada nilai komersial ? Bimbangnya orang-orang tertentu terhadap apa yang berlaku dalam PAS saat itu sehingga poster Presiden ‘dilarang’ dinaikkan di Manek Urai. Strategi politik sampai Amir Jama’ah Islam dilihat seperti itu ? Nasiblah Presidenku….Alhamdulillah, apabila ‘Tsunami’ reda, atas nasihat dari ‘beberapa pihak’ , poster kedua-dua Tuan Guru kelihatan di Manek Urai.

Satu hal juga yang berlaku, apabila konflik melanda PAS. Munculnya lagi idea melampau dan keterlaluan. “Timbalan Presiden tidak perlu datang berkempen di Manek Urai”.Sampai-sampai, Tim.Pers yang sedang sakit dan tidak hadir ke penamaan calon pun disebut 'tidak datang ke Manek Urai kerana malu mata'. Padahal beliau sedang sakit.Bimbangnya PAS bertambah berpecah dan pengundi terkesan lagi dengan masalah dalaman PAS seolah-olah inilah kali pertama PAS ‘diuji’ oleh Allah sebegini. Maka, tidak hairanlah jika ada yang mengeluarkan kenyataan kekecewaan dengan menyatakan akan keluar PAS bila melihat masalah perbalahan ini. Hanya orang yang bersama PAS dengan kefahaman sahaja mampu bertahan saat ujian Allah dihantar kepada PAS. Asasnya, fahami bahawa PAS adalah gerakan Islam bukan sekadar parti politik untuk lawan UMNO dalam pilihanraya !

Tidak cukup dengan hal-hal ini, sepertinya keyakinan melampau juga terserlah. “PAS akan menang dengan majority besar melebihi 2000 undi”. Begitulah nadanya. Manakan tidak, tak kan UMNO boleh menang di Kelantan kan? Inikan kubu PAS puluhan tahun. Maka semua hal-hal diatas tidak perlu diambil kira sangat…

Baiklah, hal ini sahaja yang saya usahakan untuk berkomentar sebagai pandangan ‘budak-budak’. Apa-apa pun, tahniah pada PAS yang berjaya mengekalkan Manek Urai walaupun dengan hanya 65 suara sahaja. Post Mortem nantinya, mudah-mudahan dapat dinilai segala-galanya terhadap kemerosotan ini.

1 ulasan:

Awanama berkata...

Betul muhammad. Saudara masih 'budak-budak'. Byk lagi perlu dipelajari dan pengalaman diperlukan. Jgn terlibat dgn politik dulu. Ceritalah islam dari sudut ilmiah dulu.