Sabtu, 15 Mei 2010

Pelihara Kesatuan Kita Di Atas Aqidah Islam

Minggu ini, hati saya agak senang dan gembira bercampur sedikit hiba apabila berdiri di hadapan sebuah bangunan kedai dua tingkat yang kini dijadikan ‘pusat pergerakan’ atau MES Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di Indonesia Cabang Aceh (PKPMI-CA). Sahabat-sahabat lain saya yakin sebahagiannya juga turut merasai sebegitu. Manakan tidak, untuk mendapatkan sebuah tempat bagi kami anak-anak Malaysia di bumi Aceh Darussalam beraktiviti, berprogram dan bersama ini, entah berapa lama masa yang kami perlu ambil dan entah berapa jenis kaedah kami lakukan untuk mengumpul dana.


Ada sahaja, sahabat-sahabat yang ingin pulang ke Malaysia, langsung kami serahkan kertas kerja untuk memohon dana bagi mendapatkan MES PKPMI-CA. Pimpinan hanya berpesan “pandai-pandai antum lah nak bagi kat sape kertas kerja nih..usahalah agar pulang ke Aceh membawa sumbangan dari mana-mana pihak”. Ada sahaja ‘orang-orang besar’ dari Malaysia menziarahi bumi Aceh, langsung kami iringi mereka selama berada di Aceh dan saat itulah pimpinan memaklumkan keperluan anak-anak Malaysia di Aceh untuk mendapatkan pejabat persatuan. Belum lagi dicampur dengan pengorbanan ahli yang sanggup menghulurkan wang-wang mereka. Allah sahaja yang layak menilai sumbangan kalian.


Sebelumnya, untuk bertemu sahaja dengan seluruh ahli PKPMI-CA yang mencecah angka melebihi 200 orang, lokasi kami di masjid-masjid berdekatan. Untuk bermesyuarat, bilik-bilik kuliah di IAIN Ar-Raniry lah yang kami gunakan, untuk menggerakkan kuliah Maghrib mingguan, di rumah-rumah sewa anak-anak Malaysia lah yang kami gunakan dengan ruangan yang terbatas dan jumlah yang terbatas. Di mana rumah sewa yang ada pimpinan, disitulah umpama pejabat persatuan. Penuh dengan fail-fail dan peralatan persatuan. Pokoknya, sangat menyulitkan.


Lebih setahun kami semua bertungkus lumus mencari dana. Akhirnya, bangunan kedai dua tingkat ini mulai kami jejakkan kaki secara rasminya tanggal 6 Mei 2010 baru-baru ini dengan program pertama di situ iaitu majlis Ifthor Jama’ie, bacaan Yasin dan solat hajat. Tanggal 9 Mei 2010, pejabat dan pusat pergerakan kami ini pun dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dr Saharudin Bin Hj. Ismail, Setiausaha Bahagian Sukan Dan Shaksiah, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia selepas Solat Isya’.


Hari ini, 15 Mei 2010, kami sama-sama mengikuti pilihanraya bagi memilih Majlis Tertinggi PKPMI-CA bagi sesi 2010/2011. Semua mahasiswa berhak memilih Ydp, Tim.Ydp, Setiausaha, Bendahari, Peng.Helwani, Tim.Peng.Helwani, Tim.Setiausaha dan Tim.Bendahari.


Esok, 16 Mei 2010, kami akan bermuktamar. Saya dan sahabat-sahabat pimpinan sesi 2009/2010 akan melepaskan jawatan dan menyerahkan kepada bakal kepimpinan yang baru. Khabarnya, esok adalah muktamar kali ke-20 PKPMI-CA. Tidak tahulah kami samada, sistem muktamar ini memang sudah ada sejak dahulu atau hanya mesyuarat pertukaran dan pemilihan begitu sahaja. Jika ini kali pertama dilaksanakan muktamar, mudah-mudahan redho Allah mengiringi kami sebagai pencetus dan jika kami hanya pelanjut muktamar terdahulu, mudah-mudahan kita sama-sama mendapat redho Allah.


Muktamar itu penting. Ia medan muhasabah di dunia kepada barisan kepimpinan terhadap segala gerak kerja mereka selama satu tahun. Teguran, nasihat dan kritikan membina sebuah keperluan. Jika tidak, gagallah sebuah organisasi yang berlagak pandai tanpa bimbingan.


Kami datang ke Aceh pasca Tsunami. Saya dan kawan-kawan tiba pada 25 Ogos 2008. Jadi, bagimana rupa PKPMI-CA sebelumnya benar-benar kami tidak ketahui. Selepas Tsunami 26 Dis 2004, anak-anak Malaysia di Aceh pulang semuanya. Selepas Tsunami, sekitar tahun 2006 atau 2007, anak-anak Malaysia bergerak menggunakan nama MASNA. Saya lupa singkatan dari apa. Akhirnya, tanggal 30 Okt 2008, PKPMI-CA pun dihidupkan kembali dan pada malamnya ia dirasmikan oleh TYT Dato’ Zainal Abdin bin Zain, Duta Besar Malaysia ke Indonesia. Turut bersama beliau pada malam itu di adalah Dr.Junaidi Abu Bakar, Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia di Indonesia.


Maklumat yang kami terima, PKPMI telah ada di bumi Indonesia sejak tahun 1945. Kemudian tumbuhlah cabang-cabangnya bermula dengan:
*Cawangan Jakarta (18 Mei 1968 )
* Cawangan Yogyakarta ( 18 Mei 1968 )
* Cawangan Bogor ( 23 Mei 1968 )
* Cawangan Bandung ( 12 April 1969)
* Cawangan Surabaya (10 November 1972)
* Cawangan Bali (30 September 1986)
* Cawangan Ujung Pandang ( 17 Oktober 1987 )
* Cawangan Medan ( Mei 1982)
* Cawangan Acheh ( 25 Disember 1985)
* Cawangan Padang ( 25 Mac 1986)


PKPMI berada di bawah pihak Kedutaan Malaysia di Indonesia. Ia badan rasmi mahasiswa Malaysia di Indonesia. Adapun, selain daripada PKPMI, seperti Kelab Umno di Indonesia, anda tanyalah pada pimpinan Kelab Umno!


Alhamdulillah, kita hanya mata rantai perjuangan orang-orang terdahulu. Mungkin mereka lebih sulit dan sukar dari kita saat ini. Saya sangat mengimpikan agar dengan adanya pejabat baru ini, ianya dimanfaatkan sebaik mungkin oleh adik-adik kepimpinan akan datang. Jadikanlah ia persis rumah Al-Arqam bin Abi Al-Arqam. Binalah manusia-manusia yang akan pulang sebagai duta penyelamat ummah di sini.


Sekitar Majlis Perasmian MES PKPMI-CA-9 Mei 2010

Sekitar Majlis Ifthor Jama'ie, bacaan Yasin dan Solat Hajat 6 Mei 2010

Tiada ulasan: