Sabtu, 23 Januari 2010

Tahniah Pro-Mahasiswa

Masih tidak terlambat rasanya untuk saya ucapkan tahniah kepada sahabat-sahabat di dalam Pro-Mahasiswa yang telah diberi kemenangan dalam pilihanraya kampus dengan menguasai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) bagi sesi 2009/2010 di beberapa buah IPTA seperti UIA, UMT dan KUIS.


Dalam pilihanraya kampus di UIA pada hari Khamis (21 Jan 2010), Pro-Mahasiswa berjaya mengekalkan kemenangan buat tahun ke-12 berturut-turut sejak tahun 1998/1999 dengan memenangi 15 kerusi dari 29 yang dipertandingkan. Selebihnya dimenangi oleh calon dari Bebas dan pelajar asing menerusi 5 kerusi yang diperuntukkan kepada mereka. Pro-Mahasiswa mengalami sedikit kemerosotan berbanding tahun lalu. Sesi lalu mereka berjaya mendapat 20 kerusi dari 29 di MPP.


Di KUIS, Selangor pula, Pro-Mahasiswa telah berjaya menang tanpa saingan dengan menguasai 12 kerusi MPP daripada 21 kerusi yang dipertandingkan pada hari penamaan calon 21 Jan lalu. mereka yakin dapat menambah 4 kerusi lagi pada tarikh sebenar pilihanraya iaitu 27 Jan ini.


Di UMT, Terengganu juga, Pro-Mahasiswa menang dengan menguasai 11 kerusi daripada 12 yang dipertandingkan pada hari Ahad lalu (17 Jan ). Selama 4 sesi pengajian, MPP UMT dikuasai oleh Pro-Aspirasi.


6 buah kampus akan diadakan pilihanraya serentak pada hari Khamis minggu hadapan.


Minggu lalu kumpulan Pro-Mahasiswa, melibatkan 14 universiti awam, telah melancarkan Misi-10 iaitu sasaran menawan kampus dalam pilihan raya MPP yang berlangsung mulai bulan ini. MiSi-10 merupakan gabungan barisan yang diketuai oleh Pro-Mahasiswa berganding bahu bersama badan mahasiswa yang lain iaitu Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Pergerakan Pemuda dan Pelajar Demokratik (Dema), Kesatuan Aktivis Mahasiswa Independen (Kami), Skrikandi Gerakan Muslimat Muda (SIGMA) dan Gabungan Mahasiswa Bantah E-voting (Bantah).


Jumaat lalu (15 Jan) , Misi-10 juga mengemukakan empat tuntutan iaitu menyediakan ruang demokrasi yang bebas dan adil di semua kampus, mengembalikan autonomi kampus khususnya hak mahasiswa berhimpun, bersuara dan berpersatuan dan kebebasan akademik, pelaksanaan sistem e-undi dimansuhkan serta menjaga keselamatan calon dan mahasiswa dalam proses pilihan raya. Kumpulan itu juga menuntut agar pengurusan universiti membenarkan kehadiran ejen pemantauan dari luar sepanjang pemilihan kampus diadakan.

Maklumat dari: http://pemudabesut.blogspot.com/