Isnin, 29 Jun 2009

Sejarah Perjuangan Umat Islam Pattani ( vol 2)

Kesan Negatif Dari Kegagalan Membina Kesatuan Antara Kelompok-Kelompok Perjuangan


Hasilnya amat malang apabila kesatuan gagal dibentuk dan masing-masing bergerak dengan haluan dan ideology pertubuhan masing-masing. Sebagai contoh, apabila berlaku aksi-aksi serangan terhadap tentera Thailand secara diam-diam, munculnya tembakan sniper (penembak tepat), serangan bom dan sebagainya kepada pihak tentera, maka pasti tidak ada mana-mana kelompok yang mengaku itu tindakan mereka. Semua gerakan ini menutup mulut. Aksi-aksi mereka disifatkan sebagai ‘hit and run’. Akibatnya, perasaan curiga mencurigai antara kelompok-kelompok ini berlaku bahkan rakyat biasa juga mencurigai.


Maka, ini menjadi peluang kepada pihak tentera untuk melakukan lagi aksi-aksi kekerasan dengan menangkap dan menembak siapa sahaja yang mereka curigai sebagai anggota mana-mana gerakan perjuangan ini. Akhirnya, orang-orang awam yang tidak bersenjata terus menjadi mangsa. Inilah yang dibimbangi oleh ustaz-ustaz dan para ulama’ disana yang sangat mengharapakan agar kelompok-kelompok perlawanan ini mampu berada dibawah satu wadah perjuangan. Ini lebih memudahkan dan meringankan beban berat perjuangan ini. Namun, ianya tidak mungkin berlaku selagi mana wujudnya pelbagai ideology perjuangan yang berbeza seperti perjuangan Nasionalisme (Kebangsaan) dan perjuangan Islam.


Walaubagaimanapun, para pejuang Pattani telah bersumpah jika pemerintah Thailand tetap mempertahankan 5 wilayah ini daripada dapat semula kepada bangsa Melayu Muslim, maka mereka tidak akan meletakkan senjata sehingga mendapat kemerdekaan. Perjuangan melawan Thailand bagi mereka adalah sebuah jihad berdasarkan fatwa Sheikh Daud Al-Fathoni, seorang ulama’ besar Pattani yang mana fatwanya masih kekal berlaku sehingga saat ini bahawa hukum berjihad melawan Siam adalah Fardhu Ain. Kerana Siam bukan sahaja menjajah ,tetapi juga berusaha mem’Buddha’kan orang-orang Melayu.


Orang-orang Melayu Muslim hanya mahukan sejarah masa lalunya yang ‘hilang’ sebagai negeri Islam dikembalikan semula.


Mata-Mata ( Para Pengkhianat )


Agak menyedihkan, ketika ada umat Islam yang bangkit berjuang menuntut kemerdekaan Pattani bahkan seluruh Selatan Thailand, masih ada dikalangan warga Pattani yang sanggup menjadi pengkhianat. Merekalah yang menjadi mata-mata bagi pihak kerajaan Thailand khasnya tentera. Merekalah yang melaporkan kedudukan para pejuang yang bersembunyi dan maklumat-maklumat lain para pejuang ini. Puncanya, ada yang melakukan kerja khianat ini kerana faktor kewangan yang mencekam hidup mereka. Akhirnya mereka sanggup berkhinat dengan dibayar 4000-5000 baht untuk menjadi penyampai informasi. Namun, tidak kurang juga para pegawai kerajaan Thailand yang sanggup melakukan pengkhianatan ke atas umat Islam sendiri.


Maka, tidak hairanlah jika orang-orang sebegini yang menjadi sasaran penembakan para pejuang di Selatan Thailand. Untuk bertemu dimana kedudukan para pejuang amat sulit. Mereka adalah para pejuang yang cukup berhati-hati daripada orang-orang yang tidak dikenali agar maklumat pergerakan mereka tidak bocor kepada pemerintah kuffar, Buddha, Thailand.


Fakta Sejarah Perjuangan Umat Islam Selatan Thailand


Selatan Thailand terdiri dari 5 buah negeri yang besar iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Setun. Majoriti penduduk di wilayah ini adalah berbangsa Melayu yang beragama Islam. Secara etnik atau budaya, warga dikelima-lima buah negeri ini lebih dekat kepada Melayu daripada Siam ( Thailand ).


Jumlah bangsa Melayu Muslim di wilayah-wilayah ini adalah seperti berikut :


Bil

Wilayah

Keluasan (km persegi)

Jumlah Muslim (Tahun 2000)

Peratus Muslim

1

Pattani

812

596,000

80.7

2

Yala

1,799

415,500

68.9

3

Narathiwat

1,821

662,400

82

4

Setun

1,076

247,900

67.8

Menurut Pejabat Statistik Nasional Thailand pada tahun 2000, jumlah penduduk di 5 wilayah ini adalah 6326,732 orang. Majoriti Muslim terdapat di 4 wilayah iaitu Pattani, Yala, Narathiwat dan Setun iaitu sekitar 71 % di kawasan kota dan 86% di desa. Sedangkan di Songkhla, Muslim seramai 19% dan Buddha 76.6%. Namun, hampi semua bangsa Melayu disana mengatakan bahawa persen mereka mencapai 90% berbanding Siam (Buddha). “Data yang dikeluarkan oleh pemerintah ini tidak relevan” kata Rusdi Tayek, timbalan Ketua Majlis Agama Islam Pattani. “Jika anda melakukan survey, anda akan mendapati jumlah umat Melayu Muslim di Selatan Thailand adalah hamper 90%” katanya lagi.


“ Kami mendominasi wilayah Selatan Thailand dan menjadi majority di sini. Jumlah warga Siam yang beragama Buddha tidak sampai 10%. Pihak kerajaan Thailand sengaja memutarbalikkan fakta tentang umat Islam di Selatan Thailand” kata Abdullah, warga Daerah Yarang, wilayah Pattani.


Selatan Thailand Wilayah Kaya


Antara punca pemerintah Thai meneruskan penjajahan ke atas Selatan Thailand adalah kerana wilayah ini kaya dengan hasil alamnya. Wilayah ini sangat subur dan makmur sehingga mampu menyumbang sebanyak 40% Gross National Product (GNP) Thailand, namun hasilnya mereka hanya mendapat 2% sahaja dari kekayaan ala mini dan selebihnya ‘dirompak’ oleh kerajaan Thailand.


Penghapusan Bahasa dan Budaya Melayu Muslim


1) Jika mereka menjadi pemimpin tertinggi pejabat di 3 wilayah besar ini, mereka membawa orang-orang Siam dari Utara untuk menjadi pegawai kerajaan. Orang-orang Melayu tidak ada yang menjadi pegawai kerajaan. Semua pegawai-pegawai bukan penduduk asli, tetapi semuanya Siam. Padahal 90% penduduk di 3 wilayah ini adalah Melayu-Muslim. Jumlah pegawai-pegawai kerajaan beragama Buddha sebanyak 75% dan umat Islam hanya 15%.


2) Umat Islam dipaksa berbicara bahasa Siam, tidak dibenarkan menggunakan bahasa Melayu, perlu mengikut acara-acara ibadah mereka sehingga nama terpaksa ditukar menjadi nama Siam jika ingin bekerja di pejabat-pejabat kerajaan yang ada di Selatan Thailand sendiri pun. Nama seperti Ahmad, Yusuf, Abdul Kadir dan yang berunsur Islam dilarang jika ingin bekerja dipemerintahan.


3) Mata pelajaran Sejarah Pattani dan Muslim Pattani tidak dibenarkan diajar disekolah-sekolah kebangsaan milik pemerintah, bahkan juga sekolah-sekolah swasta. Ia bertujuan agar anak-anak ini tidak tahu sejarah sebenar Pattani yang bagi pemerintah Pattani bukan negeri Melayu, tetapi keturunan dari Thailand.


4) Bahasa Melayu tidak dibenarkan menjadi bahasa pengantar disekolah-sekolah sehinggakan nama-nama tempat pun diubah. Contohnya : Menara menjadi Narathiwat, Tebing menjadi Taling Can dan langgar menjadi ruk.


Suasana pemaksaan menggunakan bahasa Siam dan mengikuti budaya mereka ini telah dirasai oleh umat Islam sejak penjajahan Siam ke atas Pattani pada tahun 1902. Identiti local di Selatan Thailand sebenarnya lebih dekat dengan Kelantan dan Kedah. Maka tidak hairanlah jika Muslim Patani lebih biasa menggunakan bahasa Melayu berbanding bahasa Siam (Thai) yang digalakkan oleh pemerintah pusat sebagai bahasa rasmi Negara Thailand.


[ Namun, umat Islam Pattani tetap berusaha menyediakan alternative penyelamat kepada permasalahan ini. Agar identity Melayu dan Islam terus terpelihara, akhirnya mereka membuka Taman Dididikan Kanak-Kanak (Tadika) seperti madrasah setiap hari Sabtu dan Ahad dimana anak-anak usia sekolah rendah diminta untuk belajar agama menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar dimasjid-masjid dan dikampung-kampung. Bagi pemerintah Thai, mereka juga berusaha menghapuskan sekolah-sekolah ‘gantian’ ini dengan cara menyediakan juga sedikit pengajian agama disekolah kebangsaan,tetapi dengan sangat minima dan tenaga pengajarnya orang-orang yang rendah lulusan agamanya. Ini hanya taktik pemerintah Thai sahaja.


Bahkan, anak-anak Pattani yang pulang dari Timur Tengah mempelajari agama termasuk di Malaysia, Indonesia dan sebagainya, tidak diberi jawatan-jawatan didalam kerajaan Thailand. Akhirnya, anak-anak disekolah lebih berminat menggunakan bahasa Siam berbanding bahasa Arab sebab guru mereka memberitahu belajar Bahasa Arab tidak ada masa depan]


[ Air mata umat Islam di lima wilayah yang didiami oleh majority umat Islam di Thailand masih belum kering. Setiap hari ada sahaja laporan dari media mengenai kekejaman pihak regim tentera Thailand ke atas umat Islam di wilayah-wilayah ini. Mungkin jika di Malaysia, wilayah-wilayah ini adalah sebuah negeri iaitu Pattani, Yala, Narathiwat, Songkhla dan Setun. Entah berapa kali sudah Thailand bertukar Perdana Menteri, namun dasar dan sikap jahat setiap PM Thailand ke atas umat Islam sama sahaja, bahkan tidak ada kezaliman yang berkurang sedikit pun. Sejak konflik antara pemerintah Thailand dan bangsa Melayu Muslim Selatan Thailand mencapai kemuncaknya pada tahun 2004, lebih dari 3700 orang umat Islam terkorban baik yang dibunuh secara berhadapan, dibunuh secara diam-diam, hilang diculik dari rumah dan tidak pulang-pulang dan sebagainya ]


Tragedi Berdarah Masjid Al-Furqan


Jam 8.50 malam waktu Malaysia, Kg.Air Tempayan yang terletak kira-kira 50 km dari Bandar Sg.Golok, Selatan Thailand yang sebelumnya tenang bertukar menjadi hingar bingar. Suasana sedih dan pilu membaluti kegelapan malam. Kejam ! Kejam ! Kejam ! Mungkin itu sahaja yang mampu umat Islam di perkampungan ini ucapkan di dalam hati apabila melihat jasad-jasad yang dipenuhi darah dan kesan bedilan peluru yang menembusi jasad 11 orang penduduk kampung tersebut.


Serban dan sejadah diambil, lalu satu persatu tubuh yang terkujur kaku itu ditutup perlahan. Umat Islam dicengkam suasana ketakutan. Lidah kelu tidak berani untuk berkata dan bertanya berlebih-lebihan, bimbang mereka pula menjadi mangsa berikutnya oleh manusia-manusia berhati binatang yang bernafsu buas ini. Entah berapa orang lagi yang lain yang tercedera, tidak pasti jumlahnya. Maklumat yang diterima mengatakan seramai 13 orang yang mengalami kecederaan. Sungguh biadab dan kurang ajar ! Mereka dibantai begitu dahsyat dengan bedilan peluru disaat mereka berdiri menghadap Allah dalam solat Isya’ secara berjama’ah pada malam tersebut di Masjid Al-Furqan. Tepatnya pada hari Selasa, 9 Jun lalu.


Jika ditanya kepada anak-anak kecil disana yang berumur bawah dari 10 tahun yang masih disekolah rendah tentang siapakah pelaku pembunuhan yang sanggup melakukan aksi kejam ini, pasti mereka yang kecil ini sudah mampu menjawab “ Siam ! Siam…dan sudah pasti Siam !”. Bilakah kezaliman pemerintah kuffar Buddha, Siam (Thailand) ini ke atas umat Islam Selatan Thailand akan berakhir ? Wallahua’lam.


[ Beberapa hari berikutnya, laman web http://harampatah.blogspot.com/ menyiarkan sebuah surat dari seorang yang hanya menggunakan nama ‘Pemuda Fathoni’. Pemuda ini menceritakan bagaimana tragedy berdarah Masjid Al-Furqan ini berlaku. Dibawah ini, penulis lampirkan surat dari pemuda ini untuk tatapan kita bersama ]


Surat Dari Pemuda Fathoni


Salam Revolusi, Salam Merdeka

Kepada bapak-bapak,ibu-ibu,adik-adik ,pemuda pemudi yang berjiwa nasionalisme sekalian

Lihatlah darah-darah yang mengalir di rumah Allah kenapa itu ? Kenapa? Apa yang terjadi di rumah Allah itu? Apa yang terjadi sebenarnya di Kampung Ai-Payae ini begitu banyaknya sakit dan mati. Adapun 10 orang meninggal dan yang sakit parah lebih kurang 13 orang, yang meninggal di rumah sakit 1 orang, Teganya apakah ini pembuatan sesama manusia.Tentu bukan manusia yang membuatnya, walaupun ia dinamakan manusia. Ini pasti manusia yang tidak mempunyai hati yang nurani teganya mereka melakukan hal-hal kejam di dalam rumah Allah begini.

Kepada Bapak-bapak, Ibu-ibu, adik-adik, pemuda, pemudi yang berjiwa nasionalisme sekalian

Lihatlah darah-darah itu. Kenapa ini terjadi? Apakah punca penyebabnya?
Kalau kita kenangkan masa yang lampau “ Tragedi yang di timpa Tuan Haji Sulung atau yang dikenal dengan Ayah Long ”.Meninggalnya tidak bernisan hanya tinggal isu jasadnya dibuang di laut. Inikah nasib pejuang demi kebenaran untuk umat Islam.

Pada hari ini lihatlah mayat-mayat yang berserakan itu. Apakah salah untuk beribadah dalam masjid untuk mencari kebenaran yang hakiki. Tetapi teganya mereka siram dengan menggunakan biji timah terhadap mereka yang tidak bersalah itu. Apakah kekuasaan yang dimilikinya bisa melakukan sesuka hatinya saja. Binatang sayang sama sejenisnya tetapi bisakah bilang orang–orang yang melakukan ini “sebagai binatang ” Tentu itu pantas.


5 tahun lalu masih di ingatan iaitu Tragedi Masjid sejarah Kresek dan pembantaian umat Islam pada Bulan Mulia Ramadhon di Ta-ba (Takbai). Apakah kita bisa terdiam hanya melihat kejadian-kejadian itu berlalu begitu saja, tega melihat rumah kita dipijak-pijak begitu saja. Mahukah dibilang sebagai pengecut dirumah kita sendiri.


Kini….sudah saatnya, bukan waktunya hanya terdiam lena dan tesenyum manis dengan berjuta rayuan dan tipuan orang-orang yang lain pegangannya, lain yang kita sembah lain pula yang dia sembah. Sedarlah ! Sedarlah!!

Kejadian di Masjid Ai-Payae hari ini kalau kita bertanya kepada anak-anak berumur bawahan 10 tahun siapa yang melakukan di Masjid Ai-Payae? Anak-anak itu akan menjawab “ SIAM SIAM dan sudah pasti SIAM (Thai)”. Sedih sayu melihat darah bersebaran dalam masjid. Marilah kita catat dalam hati, Masjid Kampong Ai-Payae menjadi bukti begitu kejamnya Siam (Thai) melakukan kepada kita. Siapa yang mengaku mempunyai darah Melayu Fathoni Darussalam yang menghirup oksigen dibumi Fathoni Darussalam, yang sedang membaca lembaran kertas ini azamkan diri masing-masing. Darah yang mengalir dalam Masjid Ai-Payae itu adalah darah saudara-saudara kita, saudara senasib dan sebangsa dengan kita.

Rasa ini bukanlah dendam yang harus disimpan tetapi ia harus terbalas dan segera dibalas atas perbuatan jahanam ini. Jangan biarkan darah Melayu mengalir begitu saja darah melayu tidak boleh dijual beli seenak-enaknya.Ya…Allah Tambahkanlah mereka yang ditimpa musibah pada hari ini, berikanlah kekuatan, kebenaran dan keadilan kepada mereka Ya Allah…Amin…Amin ya Robball-alamin.

Pemuda Fathoni
10 / 06 / 2009


Presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Mohd Azmi bin Abdul Hamid yang sering mengikuti misi-misi kemanusiaan ke beberapa kawasan umat Islam yang mengalami konflik seperti di Moro dan Mindanao, Selatan Filipina, Kemboja dan sebagainya sebaik sahaja pulang dari misi kemanusiaan ke Kg.Air Tempayan, Sg.Golok 14 Jun baru-baru ini, beliau menceritakan pengalamannya bersama rombongan dari Malaysia yang pergi ke sana.


Menurut beliau, dalam kejadian tersebut, 11 orang ini ditembak mati dengan kejam oleh 6 orang lelaki yang bersenjatakan rifel dan tidak berpuas hati dan masuk ke dalam (masjid) sebelum melepaskan beberapa das tembakan bagi memastikan semua jama’ah terbabit benar-benar mati.


Dalam kunjungan ke sana, Mohd Azmi yang mesra dengan panggilan Cikgu Azmi mengakui perjalanan mereka ke kampung tersebut terpaksa dengan iringan lebih 30 anggota tentera dan polis Thailand serta seorang Jenderal dari Bangkok. Hampir 15 ‘checkpoint’ terpaksa mereka tempuhi dan dari Pattani ke Narathiwat pula, lebih 10 ‘cehckpoint’ lagi. Sangat ketat kawalan mereka untuk mengawasi pertemuan mereka dengan penduduk setempat.


Dalam pertemuan tersebut, rombongan dari Malaysia ini sempat bertemu isteri-isteri mangsa korban. Suami yang terkorban adalah mereka yang berumur paling muda 33 tahun dan paling tua lingkungan 60-70 tahun. Sangat menyedihkan. Anak-anak yang menjadi yatim jumlahnya melebihi 22 orang dan terpaksa disara hidupnya oleh si ibu. Bahkan kesan tembakan di masjid masih jelas kelihatan begitu banyak. Namun,bagi umat Islam disana, tiadalah yang mereka harapkan dari rakyat Malaysia melainkan doa sahaja agar mereka diberi ketabahan dalam menempuh hidup ini.


2004: Kemuncak Tahun Kekerasan


Penulis sengaja menamakan tahun 2004 sebagai kemuncak ‘Tahun Kekerasan’. Buktinya sangat jelas. Antara kekerasan yang pasti tidak akan dilupakan oleh bangsa Melayu Muslim di Selatan Thailand adalah kekerasan dan kekejaman regim tentera Thailand dibawah Perdana Menteri ketika itu iaitu Thaksin Shinawatra dalam kes serangan ke atas Masjid Krisek ( Krue Se ) pada bulan April 2004. Selanjutnya diikuti dengan serangan ke atas umat Islam dalam sebuah demonstrasi yang terkenal dengan tragedy Tak Bai tanggal 24 Okt pada tahun yang sama iaitu di dalam Bulan Ramadhan sehinggalah kepada serangan ke atas masjid Al-Furqan pada tahun 2009 yang menyaksikan 11 orang ahli jama’ah yang sedang solat Isya’ gugur (syahid, InsyaAllah).


Di bawah ini, penulis paparkan ringkasan mengenai tragedy berdarah Masjid Krisek dan Tak Bai untuk perhatian para pembaca sekalian agar isu ini difahami dengan baik dan menyedarkan kita terhadap penyerangan demi penyerangan yang sangat tidak bertamadun oleh pihak kuffar Buddha, Siam (Thai).


a) Tragedi Berdarah Masjid Krisek


Tanggal 28 April 2004, lebih dari 100 anggota tentera dan juga polis Thailand menerobos masuk ke Kampung Krisek ( Kre Se ), Pattani. Atas tuduhan melakukan onar dengan melakukan serangan ke atas pos-pos keamanan pihak keselamatan Thai menggunakan senjata tajam, sekitar 106 orang remaja dan pemuda Muslim menjadi sasaran bedilan peluru mereka. Sebahagian dari mereka sempat mencari perlindungan di Masjid Krisek iaitu sebuah masjid tua peninggalan abad ke-17 yang juga dikenal sebagai Masjid Mudzaffar Syah. Letaknya di Kampung Grisek (Krisek), Pattani. Ia adalah salah satu peninggalan Kesultanan Kerajaan Islam Pattani yang masih ada.


Dalam kejadian tersebut, pihak tentera yang bukan sahaja menggunakan serangan darat, tetapi juga serangan udara menggunakan helicopter melakukan tembakan yang menggila kearah masjid ini sehingga hancur begitu parah. Manakan tidak hancur, tembakan helicopter bermula sejak jam 05.00 sehinggalah jam 14.10. Tembakan demi tembakan yang dilepaskan kearah masjid yang menjadi tempat perlindungan para remaja dan pemuda Muslim ini akhirnya telah mengorbankan seramai 34 orang lagi yang lain termasuk mereka yang sedang menunaikan ibadah. Darah merah mengalir membasahi lantai masjid tua yang berukuran 20 x 25 meter ini.


Disaat yang sama, kenderaan-kenderaan kalis peluru seperti kereta perisai dan tank-tank besar digunakan untuk menutup rapat seluruh jalan masuk dan keluar ke kampung berkenaan. Mungkinkah mereka lakukannya agar maklumat mengenai jenayah mereka ini tidak berjaya tembus keluar ? Amat menyedihkan ! Yang masih tersisa hidup disumbat ke dalam trak-trak yang siap menunggu. Tiada beza lagi antara pasar dan rumah ibadah bagi mereka. Jika umat Islam melawan kezaliman kuffar, mereka pasti digelar ‘pemberontak, ekstrem, pelampau agama, pengganas dan sebagainya. Namun, jika kuffar yang menzalimi umat Islam, mereka akan mewar-warkan bahawa itu bertujuan menjaga keselamatan Negara !


b) Tragedi Berdarah Tak Bai


Belum reda kemarahan umat Islam dan belum kering air mata mereka menangisi ahli keluarga yang terkorban dalam tragedy Masjid Krisek, sekitar 6 bulan sahaja selepas kejadian tersebut, mereka terpaksa berhadapan pula dengan pembunuhan kejam ke atas umat Islam dalam Tragedi Berdarah Tak Bai yang berlaku tanggal 24 Okt pada tahun itu.


Di bawah terik panas cahaya matahari, lebih 2000 orang penduduk Muslim melakukan aksi demonstrasi di hadapan pejabat polis setempat iaitu di Tak Bai. Puncanya adalah kerana mereka ingin menuntut agar 6 orang rakan mereka iaitu penjaga kampong ( pertahanan awam/relawan ) yang ditahan oleh pihak berkuasa dibebaskan segera. Mereka telah dituduh mencuri senjata dari gudang senjata tentera. Puncanya apabila senjata-senjata yang diberikan oleh pihak kerajaan Thailand kepada penjaga-penjaga kampong disetiap wilayah masing-masing ini hilang, akhirnya 6 penjaga kampong ini dituduh menyerahkan senjata kepada kelompok pejuang. Pihak keamanan tidak mempercayainya dan menganggap ini hanya sebagai taktik penduduk untuk membantu para pejuang. Maka, penduduk setempat yang tahu duduk sebenar kejadian ini terus melakukan himpunan membantah tindakan pihak keamanan.


Dalam himpunan tengah hari tersebut, pihak polis dan tentera berusaha membubarkan para demonstran. Ternyata tindakan mereka gagal. Menjelang petang hari tersebut, jumlah demonstran bukannya berkurangan, malah semakin bertambah. Akhirnya, selepas gagal menghalau umat Islam yang berhimpun bersurai, pihak polis dan tentera yang siap sedia menerima arahan terus memuntahkan peluru-peluru hidup kearah peserta demonstrasi termasuk menggunakan gas pemedih mata. Puluhan gugur dalam serangan tersebut. Yang masih hidup dipaksa merangkak diatas jalan dengan baju ditanggalkan. Badan dan kepala mereka disepak terajang tanpa belas kasihan. Darah merah mengalir membasahi tubuh mangsa yang sudah tidak bernyawa dan yang tercedera. Tidak ketinggalan, ibu-ibu dan anak-anak yang turut serta dalam himpunan tersebut ditangkap dan dihimpunkan beramai-ramai didalam pejabat polis Tak Bai.


Amat menyedihkan ! Mereka dibelasah begitu teruk disaat perut mereka menahan lapar di Bulan Ramadhan. Mayat-mayat dan mereka yang masih hidup dicampak ke dalam 6 buah trak yang sedang menunggu untuk dibawa ke Kem Tentera Ingkayuth Bayiharn, Pattani ( markaz Komando Tentera IV Wilayah Selatan ). Sebelum dicampak ke dalam trak, para demonstran dibantai secukupnya diatas jalan, dipukul dengan cotar dan buntut senapang. Akhirnya, 6 buah trak ini penuh dengan 1300 orang para demonstran yang disusun terbaring secara berlapis-lapis dengan tangan semuanya terikat di belakang. Fikirkanlah bagaimana mereka mahu bernafas ketika dilapis-lapis begitu. Bayangkanlah disaat perut mereka menahan kelaparan ketika berpuasa, lalu tidak boleh bernafas.


Perjalanan ke Kem Tentera yang sepatutnya hanya mengambil masa 2 jam berubah menjadi 4-5 jam. Entah mengapa sebabnya, tidak diketahui. Sungguh dahsyat ! Disaat mereka dilapis-lapis begitu, jasad mereka dipijak-pijak dan disepak lagi dalam keadaan tangan terus terikat. Kesesakan untuk benafas akhirnya menyebabkan seorang demi seorang menemui ajal mereka di atas trak tersebut sebelum tiba lagi ke kem tentera.


Laporan rasmi dari pemerintah Thailand sendiri menyatakan kononnya, hanya 6 orang sahaja peserta yang tewas dalam demonstran dan 79 mati dalam perjalanan ke kem tentera. Namun, umat Islam sukar mempercayai angka ini. Manakan tidak, sehingga hari ini, lebih dari 60 orang yang turut serta dalam himpunan tersebut masih belum pulang ke rumah. Kemanakah mereka? Waris keluarga yang mencari nama-nama ahli keluarga tidak menemui sebahagian nama mereka ini dalam daftar korban yang diumumkan tentera. Maksudnya, mereka dilenyapkan oleh pihak tentera. Samada masih dipenjara atau mati entah dimana. Jumlah sebenar korban dikatakan melebihi 200 orang.


Kini, sebuah monument dibina oleh umat Islam berdekatan makam syuhada’ Tak Bai. Namun, penduduk amat bimbang untuk meletakkan kalimah ‘makam syuhada Tak Bai’ dimonumen tersebut, bimbang mereka dituduh oleh pemerintah Thai sengaja menaikkan semangat Melayu Muslim sehingga monument itu dibiarkan kosong sahaja tanpa apa-apa nama. Letaknya di wilayah Narathiwat ,tidak jauh dari Masjid bersejarah Wadi Al-Husein yang berusia 300 tahun. Di monument ini, 23 syuhada’ dikebumikan.


Di Teluk Nangka, penduduk memaklumkan bahawa 22 jasad peserta himpunan dikubur oleh pihak tentera di desa itu. Ada juga maklumat yang mengatakan bahawa 38 orang yang tercedera dilempar ke sungai Nara, sungai yang penting bagi lalu lintas perahu yang menghubungkan Tak Bai dengan Kelantan.


Selatan Thailand Kini


Dibalik jeruji besi penjara Narathiwat, sekitar 100 tahanan mendekam disana. Pelbagai sebab mereka ditahan pemerintah Thai , antaranya atas tuduhan pembunuhan, percubaan membunuh, menyimpan bahan peledak, melakukan peledakan, penyerbuan balai polis, dan markaz tentera, memprovokasi rakyat dan lain-lain.


Sekitar penghujung tahun 2004 iaitu selepas tragedy berdarah Tak Bai ( 24 Okt 2004 ), pihak regim Bangkok telah mengisytiharkan kawasan Selatan Thailand adalah Daerah Operasi Militer ( DOM ) dengan alasan untuk menjaga keamanan dan ketertiban masyarakat. Namun, hakikat sebenar adalah sebaliknya. Hari demi hari kekerasan terus berlaku, pembunuhan saban hari, para ustaz menjadi korban penculikan dan pembunuhan orang-orang yang tidak dikenal. Semuanya ini berlaku terutama di wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala.


bersambung…..


Sumber rujukan :

1) Majalah Islam Sabili , Indonesia : edisi Sept, Okt, Nov 2008 dan edisi Mei & Jun 2009

2) http://harampatah.blogspot.com/

3) http://berita-utama.netfirms.com/B.utama.htm

4) http://harakahdaily.net