Sabtu, 11 April 2009

Selamat tinggal Kelantan...

Saya baru tiba dari Kelantan pagi tadi setelah berada disana sejak pagi Khamis kelmarin. Kini, kondisi Kelantan telah banyak berubah setelah 7 bulan lebih saya meninggalkan bumi Serambi Mekah ini. Mata saya tertumpu kepada bangunan Giant yang terletak diantara terminal bas Kota Bharu, Suria Hotel dan The Store. Dahulunya, baru ditegakkan tiang-tiang sahaja. Kini hampir separuh telah siap dengan kubah yang cantik dibahagian atasnya yang menunjukkan ciri-ciri binaan Islam direalisasikan dalam proses pembinaan bangunan-bangunan di negeri Kelantan. Di tepi bulatan jam Kota Bharu berdekatan muzium, sebuah masjid 3 tingkat juga hampir siap dibina bagi memudahkan pengunjung Muslim menunaikan tanggungjawab kepada Allah tanpa bersusah payah ke hulu dan kehilir mencari masjid seperti di negeri-negeri lain. Bahkan, tandas awam lebih mudah dicari berbanding surau-surau ditengah bandar. Bandar baru Tunjung yang terletak di jalan utama Kota Bharu-Kuala Krai giat dibangunkan. Pasaraya baru mula dibangunkan di Kubang Kerian dan Pasir Tumbuh.


Sangat aneh dan memeningkan ! Setiap kali menjelang pilihanraya, pemimpin-pemimpin Umno terjerit-jerit memberi peringatan dan ancaman bahawa Kelantan tidak akan membangun apabila Pas memerintah, ulama’ berjubah dan berserban menjadi MB dan nilai-nilai Islam ditegakkan. Bilakah mulanya Islam menolak pembangunan ? atau Umno memandang Islam itu hanya ibadah antara makhluk kepada Kholiqnya sahaja ? atau Umno mahukan pembangunan itu ialah terminal kapal terbang dari Nilam Puri ke Kota Bharu, dari Kota Bharu ke Wakaf Che’ Yeh, maka baru disebut pembangunan ?


Khamis, 9 April, petangnya saya diamanahkan untuk memberikan penerangan tentang gambaran pengajian di IAIN Ar-Raniry, Aceh Darussalam kepada beberapa orang pelajar tahun 3. Tugasan ini memang saya inginkan dengan matlamat meneutralkan semula maklumat yang tidak sihat dan agak berat sebelah yang telah menusuk ke lubang telinga pelajar-pelajar Kias. Orang yang tidak pernah menghadapi masalah yang merumitkan dalam hidup, maka sekali menerima masalah umpama dihempas badai Tsunami. Lalu, maklumat yang disampaikan hanyalah berbentuk masalah. Penjelasan saya disampaikan tanpa tapisan iaitu tidak menutup kebaikan yang ada dan tidak menafikan keburukan yang ada di Aceh. Pendengar adalah penilai yang bijak.


Perkongsian maklumat tentang perkembangan terkini Malaysia, Kelantan dan kolej kami kongsi bersama ditambah dengan sedikit catatan pengalaman kami di negeri orang. Discuss tentang perjalanan dan masa depan tarbiyyah serta kesinambungan dalam perjuangan selepas meninggalkan kampus, kami curahkan bersama. Istiqamah tidak semudah yang diucapkan dibibir mulut. Ramai yang telah gagal dan hilang entah ke mana. Saya antara orang yang paling takut dan bimbang kerana belum diuji dengan musibah itu.


Selepas menunaikan solat Juma’at, muncul idea dari teman-teman. “jom gi rehlah di Jeram Linang “. Alright, let’s go…Dulu, kami jarang dan mungkin hanya sekali pernah ke tempat ini. Tempat ini menakutkan, menyeramkan, membimbangkan…banyak beruk-beruk liar terapung-apung jantan dan betina didalam air.


Mendakilah kami ke kawasan yang lebih tinggi untuk mengelakkan bertemu dan bercampur dengan beruk-beruk ini. Pelik ! disebabkan kami datang berkopiah putih, tanpa menghulurkan pisang pun, mereka secara automatik melepaskan tangan yang dirangkul erat dibahu kawan-kawan mereka dan terus tunduk teripu-sipu malu. Biasanya hari Jumaat dan Sabtu, mereka akan keluar sarang dan menujuk ke kawasan air terjun ini. Hari lain, mereka bersekolah atau bekerja.


Solat Asar dilaksanakan di celah-celah batu ditepi air yang mengalir deras. Mudah-mudahan, ia menjadi uslub dakwah untuk memahamkan orang bahawa tanggungjawab pada Allah sangat mudah dan boleh dilakukan dimana-mana sahaja tanpa berlapikkan alasan tidak sesuai, pakaian basah, tiada sejadah, tidak tahu kiblat…InsyaAllah.


Jam 09 malam, bas yang 7 bulan dulu tiketnya RM36.20 dan kini RM47.00 mula bergerak keluar dari Jalan Hamzah, KB Mall. Terima kasih kepada Pok Su dan teman-teman yang menghantar. Bilakah lagi aku akan menjejakkan kaki ke Negeri Kelantan ? kebimbangan saya dek kerana memikirkan ‘nasib’ Kelantan selepas ini dibawah PM baru yang rekod jenayahnya tidak akan bisa dipadam dari lipatan sejarah. Merampas kembali Kelantan umpama mengupas kulit kacang bagi orang Pekan ini, apatah lagi setelah gagal merampas 2 bukit dalam PRK 7 April lalu.


Dihadapan Balai Islam Lundang, kelihatan berduyun-duyun manusia bergerak melangkah masuk ke dewan bagi mengikuti Majlis Penutup Hafazan Al-Qur’an peringkat kebangsaan yang dibuat di Kelantan kali ini. Sultan dan ‘zaujah’nya hadir sebagai perasmi. Dihadapan Istana Kubang Kerian, lampu-lampu berwarna-warni menerangi kegalapan malam sempena meraikan ulangtahun ke-59 Sultan. Entah bila mata terlelap, saya tidak tahu. Letih, tapi menyeronokkan...

Tiada ulasan: