Isnin, 20 April 2009

Bumi sedang memberontak !

Perubahan cuaca yang semakin memanas melanda Aceh sudah melebihi seminggu. Saya tidak tahu ditempat lain bagaimana. Di mana-mana sahaja bertemu teman-teman, hampir kesemuanya mengeluh mengadu kepanasan. Tidaklah sampai terbakar. Tapi, agak lain dari kebiasaan. Saya pun tak berkesempatan untuk menghubungi pengkaji cuaca untuk menanyakan suhu terkini Aceh :)


Angin yang bertiup pun terasa kehangatan. Hujan sudah lama tidak turun. Kalau yang biasa ke kuliah di waktu pagi dengan berjaket, tidak berminat lagi memakainya. Pengajian di bilik kuliah agak tidak selesa ditambah dengan bilangan mahasiswa disesebuah kelas yang agak ramai, menambahkan suhu kepanasan. Tidur malam berpeluh-peluh. Ruang tamu di manfaatkan semaksima mungkin di kala malam menjelang. Selamat tinggal bilik.


Selepas selesai kuliah sebentar tadi, sempat kami berbual dengan seorang abang yang pengajian di satu Fakultas. Masrul Aidy namanya, orang Aceh. Katanya “ selepas Tsunami, cuaca di Aceh agak tidak menentu lagi. Pokok-pokok besar di tepi laut sudah musnah. Ditambah pula dengan sikap segelintir anggota masyarakat sekarang yang menebang hutan sesuka hati…manfaat peribadi, mudarat ramai..” keluhnya.


Apakah kondisi akhir-akhir dunia hari ini yang lintang pukang, cuaca yang tidak seperti kebiasaan, musim-musim yang sudah terbalik, hujan lebat bukan pada bulannya lagi, musim panas bukan pada musimnya lagi dan sebaginya, ada kaitan dengan peringatan Nabi s.a.w mengenai suasana-suasana menjelang Qiamah? Wallahua’lam.


Antara khabar dari Nabi s.a.w bahawa cuaca akan menjadi panas, hujan menjadi panas, gempa bumi, runtuhan dan seumpamanya. Apakah bumi sedang memberontak geram dan marah melihat perilaku manusia yang sudah tunggang terbalik, maka bumi dan alam lainnya pun bertindak ‘protes’ dengan menunggang balikkan musim-musim ini ? yang pasti, mereka juga makhluk Allah yang siap bertindak mengikut aturan Allah.


Berdoalah agar ujian-ujian kecil ini menambah kesabaran untuk mengharap keampunan dari Allah, yang mungkin ianya penghapusan dosa dari Allah pada kita dan lindungilah dari Allah, agar ini bukan azab atau muqaddimah azab bagi kita.

Tiada ulasan: