Ahad, 15 Mac 2009

Jangan Berulang Kembali.

Hidup berjam’ah atau berorganisasi adalah sebuah tuntutan besar dari Allah dan RasulNya. Disitulah kebersamaan dirasai, ukhwah dinikmati, akhlak dipelajari, tindakan dan keputusan disepakati dan sebagainya. Inilah sebahagian Rahmat Allah dalam berjama’ah. Jika semua rahmat ini gagal dikecapi, maka kebiasaannya hanya dua punca sahaja iaitu dari anda sebagai ahli yang tidak memahami tanggungjawab dan hak sebagai ahli dan dari anda sebagai pemimpin organisasi yang tidak memahami tanggungjawab dan hak sebagai pemimpin. Kedua-dua elemen ini merupakan aspek penting yang bertindak menggagalkan atau menjadikan organisasi sebagai landasan mengharap rahmat Allah.


Yang sering berlaku dalam organisasi:


1) Mengambil alih tugas orang lain – anda sebagai pimpinan samada diperingkat tertinggi atau bawahan, jangan mengambil sikap mengenepikan peranan orang yang sudah ditugaskan untuk bahagian tersebut. Mengambil tugasan atau menjalankan tugasan orang lain hanya akan mengundang perasaan kecil hati dan hilang kepercayaan dan keyakinan diri pada individu tersebut.


2) Tidak bersikap jujur – anda sebagai pimpinan sering mencari alasan-alasan untuk menutup kelemahan tugasan anda. Jarang sekali anda memohon kemaafan diatas kecuaian tetapi berusaha bertungkus lumus mencari juga isu yang bisa menutup kegagalan gerak kerja anda.


3) Keputusan dari beberapa individu sahaja – anda sebagai pimpinan sering mengeluarkan keputusan peribadi tanpa pengetahuan ahli organisasi. Sekurang-kurangnya setiap keputusan, berbincanglah sesama pimpinan lain dan jika yang memerlukan pandangan kesemua ahli, maka usahakanlah dengan cara apa sekalipun agar pandangan mereka juga anda dapati samada melantik wakil-wakil dikalangan ahli untuk meminta pandangan atau bertemu kesemuanya. ( masalah teknikal sahaja )


4) Tiada pertanggungjawaban yang meyakinkan – anda sebagai pimpinan kadangkala memandang rendah soal membuat semakan, catatan, laporan dan seumpamnya baik barkaitan kewangan atau laporan apa sahaja yang terkait dengan organisasi dan kepentingan ahli. Berlepas tangan dan bersikap acuh tidak acuh dalam memberi penjelasan tentang sesuatu tindakan, hanya akan mengundang hilangnya kepercayaan ahli dibawah kepada anda.


5) Meninggalkan budaya bermesyuarat – anda sebagai pimpinan kadangkala mengaggap mesyuarat cukup sekadar diawal anda menaiki tampuk kepimpinan, kemudian apabila ada permasalahan, kemudian ketika merancang program dan akhir ketika mahu meletak jawatan. Sedangkan mesyuarat ini perlu dilakukan bukan kerana ada masalah, program atau letak jawatan sahaja. Perkembangan organisasi, perkembangan tugasan pimpinan lain, cadangan atau pandangan bagi memperkasakan organisasi juga perlu dimesyuaratkan. ( samada dengan membuat ketetapan kekerapannya atau berdasarkan keperluan ).


Baiklah, jika anda sebagai ‘golongan bawahan’ , anda sendiri tidak berminat dan tenang dengan kondisi sebegini. Maka jika anda pula berada diatas, janganlah anda ulangi tindakan ini.


Ingat ! Kejayaan dan keseronokan bersama dalam berorganisasi tidak hanya datang dari sebelah pihak sahaja iaitu kepimpinan, namun dari anda juga sebagai ahli. Kalau anda mengharapkan pimpinan menjadi ‘the best of leaders’ , namun dokongan, nasihat, pandangan, kebersamaan anda dan tanggungjawab anda juga tidak berfungsi, maka anda jangan bermimpi meraih cita-cita tersebut.


Penting sekali ! apabila anda seorang mahasiswa Muslim, kemudian menjadi pimpinan, maka fahamilah bahawa anda bukan sahaja sibuk membicara soal kebajikan atau pengurusan atau lainnya berkaitan organisasi. Namun, fahamilah kepimpinan adalah urusan ummah. Lalu, pergunakanlah organisasi sebaik mungkin untuk kepentingan Islam dan ummahnya. Binalah pemikiran dan peribadi kepimpinan lain dengan memahami hadaf dan ghayah sebagai pimpinan Islam. Bentuklah ahli yang berjiwa besar, faham matlamat kehidupan, menyedari masalah ummah, tahu peranan yang perlu dimainkan dan jelas mengenai kewajipan.


Tolong faham ! kita bukanlah seorang Rasul atau jauh sekali Malaikat Allah, maka fahamilah bahawa kita penuh dengan kelemahan dan kesilapan serta kekurangan. Jadi, kelemahan hendaklah diperkuatkan, kesilapan perlulah ditegur segera dan kekurangan perlulah ditampung bersama. Yang penting, janganlah degil tidak mahu berubah. Sekali lagi, saya ingatkan diri saya, belajarlah memahami apa itu hak dan apa itu kewajiban saat anda berorganisasi. Disitu terserlah kematangan anda. InsyaAllah.


"Selamat Berjuang Selamat Berorganisasi"

Tiada ulasan: