Jumaat, 20 Mac 2009

Bayangkan itu adalah ahli keluarga anda atau anda…

Cerita 1:


Seorang anak muda lingkungan 30-an menaiki sebuah bas yang akan meninggalkan Terminal Putra berhadapan PWTC untuk menuju ke Kelantan. Dipinggangnya kelihatan sebuah beg yang talinya disangkut ke leher. Tangannya menggenggam erat sebuah sijil kebenaran mengutip derma dari majlis agama Islam dan beberapa keping gambar-gambar yang dilaminated.


Saya terus memerhati pergerakannya dengan penuh kekhusyukan sejak kakinya menjejak tangga bas sehinggalah sampai ke pertengahan. Sekitar 5 minit lagi bas akan bergerak. “bang, saya dari Thailand mohon sumbangan untuk pembangunan masjid dan madrasah-madrasah disana..baru sahaja dihancurkan oleh pihak tentera”. Beliau lantas menunjukkan beberapa foto bangunan yang dimusnahkan itu dan ternyata itu berlaku dikawasan konflik antara umat Islam dan tentera kuffar Siam.


Entah berapa orang yang diulang-ulang penjelasan itu, saya kurang pasti. Sehingga sampai giliran saya, Alhamdulillah duit lebihan dari program masih ada dan terus saya masukkan kedalam bagnya. Entah berapa tidak ingat lagi. Foto ditangannya saya mohon untuk dilihat. Sampailah kerusi yang paling akhir, terdapat dua orang tua yang agak segak berpakain hanya menggeleng kepala ketika pemuda ini sampai ke tempatnya. Sejurus dia melangkah untuk turun semula dari bas yang sudah mahu keluar dari ‘tempat longgokan’ , saya menangkap beberapa butir kata-kata kedua orang tua di kerusi belakang ini yang sedikit berbunyi curiga pada si pemuda yang meminta derma tadi. Hati saya hanya mampu berbicara “nasib baik orang tua, kalau tidak aku sound dah”.


Bas bergerak keluar dan terlintas dikepala saya mengenai berapa jumlah penumpang yang ada dalam sesebuah bas. Saya mendongak melihat no tempat duduk yang terakhir. Ya, semuanya 44 kerusi dan penumpangnya penuh menandakan 44 orang juga. “ Ya Allah, 44 orang penumpang ! yang bagi sumbangan 4 orang” baru terfikir.


Sampai Nilam Puri jam 05.00 pagi, filem pendek tentang anak muda yang mengutip derma tadi, masih berputar dalam kepala. Andaian dan kesimpulan saya pun terjadi:


1) Orang ramai tidak mempedulikan pemuda ini kerana perasaan curiga – puncanya terlalu ramai yang mengambil kesempatan dan menipu.


2) Jika anda tidak mahu mengeluarkan wang sekalipun kerana kecurigaan, cukuplah dengan diam atau mengatakan ‘tidak’ padanya – bagaimana kalau dia benar-benar seorang wakil umat Islam Thailand yang bersusah payah turun ke Malaysia memohon sumbangan untuk sekolah yang dimusnah pihak tentera ? Anda telah menghina beliau tanpa hak dan bukti yang jelas.


3) Jika anda berasa serba salah dan kurang yakin sekalipun, yang terbaiknya bagilah sekadar jumlah yang kecil sekalipun – andai anda benar-benar ditipu, akan papakah anda dengan wang RM01.00 yang anda keluarkan?


- Bayangkan seorang yang memohon sumbangan untuk dia membeli makanan pada hari itu, tiba-tiba anda tidak memberi sedikitpun dan ternyata dia bukan pembohong dan hari itu benar-benar dia tidak dapat sumbangan dari sesiapa pun? Lalu seharian dia kelaparan. Yakinkah anda itu tiada perhitungan dihadapan Allah?

- Bayangkan jika benar-benar anak muda ini memohon sumbangan untuk pembinaan masjid dan madrasah yang diroboh, lalu anda tidak memberinya langsung bahkan membuat spekulasi sendiri yang sangat buruk, yakinkah anda akan terlepas dari penghisaban?


Cerita 2:


Dulu, ketika kami mengambil STAM di Pekan, Pahang, kami sering menaiki bas dari Jengka dan turun di Kuantan dan dari situ tukar pula bas lain untuk ke Pekan. Kalau ke Kuantan, anda akan melihat fenomena budak-budak kecil penjual surah Yasin atau kitab-kitab kecil yang berharga sekitar RM1-RM2. Kami semua setiap bulan bertemu mereka ketika singgah makan tengah hari ditebing sungai Kuantan.


“ bang, saya ada jual buku-buku, surah Yasin..belilah bang..murah je..” rayu kanak-kanak yang kelihatannya masih bersekolah rendah. Saya terus bertanya “ kalau abang belikan air boleh tak? “tak nak..mau duit je..tak pun belilah ni..” “amboiii..” geramnya aku. Tadi kata lapar. “awak tinggal dimana? “kuala Terengganu” salah seorang menjawab. Saya dan kawan-kawan tersenyum. Hebatnya, tinggal Kuala Terengganu, minta sumbangan sampai tengah Bandar Kuantan. “ Ayah kerja apa?” “emmm,ayah dah meninggal” Mak? “mak sakit” “adik beradik lain?” “ada kakak dirumah jaga mak”.


Banyak sangat interview kami buat, akhirnya mereka pun lari dari kami sambil memekik-mekik “kedekutlahhhh..tak nak bagi sudah”..Adusss..baiknya adik-adik aku nih..arghhh..


Selang berapa minit, datang satu lagi kumpulan. “Bang, beli ni bang” “tak naklah…abang dah ada” kami menjawab. Sangat menarik dan menakjubkan. Bila ditanya datang dari mana, jawapan mereka juga Kuala Terengganu. “Ayah kerja apa?” “ayah dah meninggal..mak sakit”.


Wah, hebatnya manhaj budak-budak ni kutip derma. Semua ayah dah meninggal dan mak sakit. Sakit perut kami ketawa. Akhirnya, setelah nampak kami menyesyaki pada mereka, mereka terus lari tinggalkan kami. Sempatlah juga kami menghulurkan 50 sen kepada seorang dua.


Bila cerita ini disampaikan pada kawan-kawan lain, barulah kami faham. Rupa-rupanya kebanyakan budak-budak ini ‘dipergunakan’ oleh orang lain. Istilah mereka ‘sindiket’. Wallahua’lam.


Catatan: Penyelesaian masalah ini juga seperti cerita 1.


Cerita 3:


Kalau ke Aceh, fenomena ini sama sahaja. Ada ibu-ibu tua dan ada anak-anak kecil sekolah rendah atau sedikit sekolah menengah. Waktu malam, mereka akan bergerak dari gerai ke gerai. Ada yang menggendong anak kecil yang diikat dalam kain batik ke leher, ada yang membawa surat kebenaran, ada yang hanya dengan berbekalkan wajah yang suram dan sedih menemui orang ramai. Setiap malam, jika anda berada dikawasan itu, maka orang-orang yang datang adalah orang yang sama juga.


Awalnya, kami memberi juga sedikit sebanyak. Sampailah satu hari saat pembentangan tugasan hadith berkaitan Ukhwah Islamiah, saya terus bertanya. “ Pak, bagaimana dengan fenomena orang meminta derma dikedai-kedai makan setiap hari ini? “ Inilah masalahnya, pemerintah telah mengambil mereka ini dan meletakkan disatu tempat khusus untuk dibantu dan diberi makan minum. Tapi ramai yang degil..keluar dan minta sumbangan diluar. Diluar mereka lebih untung. Dari pagi sampai petang, bisa mendapat Rp100,000 (hampir RM40). Lumayan itu..makanya mereka ini jangan terlalu dilayan sangat” Emm,baru kami faham.


Tapi, jika kanak-kanak pula, perlu berhati-hati juga. Seorang teman saya ke Masjid Baiturrahman. Dipintu masuk masjid penuh dengan ibu-ibu tua mendukung anak kecil dan menghulurkan tangan.Biasanya penuh pada hari Jumaat. Hari-hari lain, kita akan bertemu budak-budak pula. Seorang budak bertemu teman saya sambil dia mendukung adik kecilnya dan menghulurkan tangan. Sebaik menerima wang….secara tiba-tiba adiknya yang didukung itu pun dilepaskan dan sama-sama berlari…tergelak kami dengar cerita itu.


Di kuliah, bapak pensyarah menyebut: “berhati-hati dengan budak-budak minta derma disini (Aceh). Kamu jangan kasi wang. Nanti, dapat wang, maka tempat mereka adalah kedai game. Hah? Ya, betul.


Akhiran


Namun, daripada secebis catatan kisah yang saya dan teman-teman lalui ini dan anda sendiri sering juga, kita harus bijak dalam membuat pengelasan dan pertimbangan.


Pertama, tolong bezakan antara kategori ini:


1) Pelajar atau mahasiswa yang minta sumbangan untuk menyambung pengajian.


2) Wakil organisasi kemanusian atau kebajikan yang mohon sumbangan untuk Palestin, gempa bumi dan seumpamanya.


3) Wakil madrasah atau masjid yang mohon sumbangan pembangunan.


4) Pihak-pihak tertentu yang memohon dana untuk menganjurkan program-program seperti mahasiswa atau Ngo-Ngo.


5) Orang cacat, lumpuh, buta, tidak bertangan atau berkaki yang mohon sumbangan.


6) Individu yang menadah tangan dikhalayak ramai, dengan tubuh badan yang tidak ada kecacatan atau menandakan sakit, namun hanya berbekalkan wajah mengharap simpati.


Catatan: Sebenarnya anda boleh mengenali perwatakan atau pelbagai bukti-bukti lain untuk memastikan kebenarannya dan jika ragu sekalipun, tolaklah dengan hormat atau bagi sekadar yang anda yakini.


Baiklah, saya yakin anda mampu membezakan semua ini dan bijak dalam membuat perhitungan. Jangan terlalu curiga melampau dan jangan terlalu berkeyakinan melampau. Jika, jelas buktinya untuk Palestin dan seumpamanya, namun anda masih meragui, maka anda seorang yang memang tidak bijak.


Sekurang-kurangnya, kita memanfaatkan sebaik mungkin 3 peringatan dan khabar dari Rasulullah ini:


a) Lebih baik seorang itu masuk ke hutan, mencari kayu lalu dipikul, dijual dan mendapat hasil dari itu daripada dia meminta-minta.


b) Orang yang meminta-minta, maka pada Hari Qiamat dia akan datang dalam keadaan tidak ada daging diwajahnya.


c) Tangan yang berada diatas (memberi) lebih baik daripada tangan dibawah (yang menerima).


Hanya pesan saya, “bayangkan itu adalah ahli keluarga anda atau anda”. Bertemu orang untuk memohon sumbangan, lalu dicaci maki.

Tiada ulasan: