Isnin, 31 Januari 2011

Masyarakat Jahiliyyah: Dulu, Kini dan Selamanya

Dalam peristiwa hijrah ke Habsyah kali kedua yang berlaku pada Bulan Syawal tahun ke-5 Nubuwwah (Kenabian) yang disertai oleh 83 kaum Muslimin dan 19 kaum Muslimat, berlaku sebuah dialog diantara Raja Najasyi (Habsyah) dengan Ja’afar bin Abi Talib (sepupu Nabi) iaitu ketua rombongan kaum Muslimin. Dialog menarik ini berlaku rentetan dari tindakan pihak kafir Quraisy di Kota Makkah yang mengutus 2 orang wakil mereka iaitu Amru bin Al-Ash dan Abdullah bin Abi Rab’iah ke Habsyah bagi memprovokasi Najasyi agar menghalau umat Islam keluar dari negaranya.

Ketika berdiri dihadapan Najasyi, penguasa Nasrani (Kristian) yang adil melaksanakan pemerintahan dan seorang yang benar-benar mengetahui isi kandungan Kitab (Injil), Ja’afar memberikan penjelasan yang sangat hebat dan mengagumkan meliputi gambaran bagaimana kondisi masyarakat Arab di tengah Kota Makkah sebelum kedatangan Islam, latar belakang Nabi Muhammad s.a.w dan apa intipati ajaran Islam yang diserukannya. Penjelasan yang diiringi dengan tangisan oleh Najasyi dan para Menterinya ini adalah seperti berikut:

“ Wahai Raja! Dulu kami adalah pemeluk agama Jahiliyyah. Kami menyembah berhala-berhala, memakan bangkai, berbuat zina, memutuskan tali persaudaraan, menyakiti jiran dan yang terkuat diantara kami, menindas yang lemah. Begitulah gambaran kami dahulu sehinggalah Allah mengutus seorang Rasul dari kalangan kami yang kami ketahui nasabnya, kejujurannya, amanahnya dan kesucian dirinya.

Beliau menyeru kami kepada Allah untuk mengesakannya dan menyembahNya serta meninggalkan penyembahan kami dan bapa-bapa kami terhadap batu dan patung. Beliau juga memerintahkan kami untuk bercakap jujur, melaksanakan amanah, menjalin hubungan kekeluargaan, berbuat baik kepada jiran, menghormati hal-hal yang disucikan dan darah. Beliau melarang kami berzina, berkata palsu, mengambil harta anak yatim dan menuduh wanita-wanita suci. Beliau memerintahkan kami untuk menyembah Allah semata-mata, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu apa pun, memerintahkan kami mengerjakan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa. (Ja’afar menyebut beberapa ajaran Islam yang lain).

Lalu kami membenarkan, beriman dan mengikuti beliau atas apa pun dari agama Allah. Lalu kami menyembah Allah semata, tidak menyekutukan sesuatu dengaNya, kami mengharamkan apa pun yang diharamkan ke atas kami, menghalalkan apa pun yang dihalalkan kepada kami. Lalu kaum kami memusuhi kami, menyiksa kami dan menimbulkan cubaan terhadap agama kami dengan tujuan untuk mengembalikan kami kepada penyembahan terhadap patung, tanpa diperbolehkan menyembah Allah, agar kami menghalalkan berbagai macam keburukan seperti dahulu.

Setelah mereka menekan kami, berbuat sesuka hati, mempersempit gerak kami dan menghalangi kami dari agama kami, maka kami pun pergi ke negeri tuan dan memilih tuan daripada orang lain. Kami gembira mendapat perlindungan tuan dan kami tetap berharap agar kami tidak dizalimi di sisi tuan, wahai Raja!

Apakah engkau boleh membacakan sedikit ajaran dari Allah yang dibawa (Rasulullah)? “tanya Najasyi. “Ya” jawab Ja’afar. Lalu Ja’afar membacakan dan menghafaz dari Kaf Ha’ Ya’ Ain Shod…..(Surah Maryam). Demi Allah, Najasyi menangis sehingga membasahi janggutnya, begitu pula para Menterinya sehingga janggut mereka basah dengan air mata tatkala mendengar apa yang dibacakan kepada mereka. Lalu kata Najasyi, “ sesungguhnya ini dan yang dibawa oleh Isa (Nabi) benar-benar keluar dari satu jalan. Pergilah kalian berdua. Demi Allah! Aku tidak akan menyerahkan mereka kepada kalian berdua dan sama sekali tidak!”

Inilah sebahagian dari dialog agung yang berlaku antara 3 pihak ini iaitu Najasyi, wakil kafir Quraisy dan wakil kaum Muslimin. Dalam hal ini, yang ingin penulis bicarakan adalah mengenai gambaran masyarakat Arab Jahiliyyah yang disampaikan oleh Ja’afar bin Abi Talib.

Kalimah “jahiliyyah” diambil dari kata “jahala, yajhalu, jahlan” yang membawa pengertian “bodoh, dungu, tidak berilmu pengetahuan dan melakukan tanpa pengertian. Namun disudut istilah, para ulama’ mempunyai definisinya yang pelbagai.

Syed Quthb di dalam bukunya “Ma’alim Fit Thoriq” (Petunjuk Sepanjang Jalan) menjelaskan: “ jahiliah adalah pengabdian diri oleh manusia atau dalam erti kata yang lain, pengabdian sepenuhnya tidak kerana Allah.”

Muhammad Quthb di dalam bukunya “Jahiliyyah Fi Qarni ‘Isyrin” (Jahiliyyah Abad 20) menjelaskan: “ jahiliyyah bukanlah terbatas kepada waktu, tempat, suasana, tetapi jahiliyyah adalah kerana tidak mengambil syariat Allah s.w.t sebagai cara hidup. Dalam erti kata yang lain kerana menolak hidayah Allah atau menentang hukum Allah.”


Ertinya, masyarakat Arab pada waktu tersebut digelar Arab Jahiliyyah bukan kerana kebodohan, sebab mereka sebelumnya sudah mempunyai tamadun yang sangat hebat seperti orang-orang Saba’ yang telah berjaya membina empangan Ma’arib yang sangat terkenal dalam sejarah. Mereka digelar jahiliyyah kerana mengambil jalan hidup selain dari yang ditetapkan oleh Allah.

Kesimpulannya, masy
arakat jahiliyyah itu ada dimana-mana tanpa terikat dengan negara tertentu atau tempoh masa tertentu yang kejahiliyyahan itu merangkumi pelbagai hal baik disudut aqidah, ibadah, ekonomi, politik, social dan seumpamanya.

Sumber Rujukan:
1) Sirah Nabawiyyah : Sheikh Shafiyurrahman Al-Mubarakfuri
2) Manhaj Usrah Pas – Peringkat Ta’arif 2.

Ahad, 23 Januari 2011

Peringatan Para Ulama' Bagi Mereka Yang Menolak Hukum Allah

Ustaz Abdul Qodir Audah – ( Kitab: Al-Islam Wa Audho’una Al-Qanuniyyah ) : “ sesiapa yang menolak hukum Allah atau menegakkan hukum yang lain, maka ia dikira kafir dan tidak ada walaupun sebesar zarah akan keIslaman di dalam hati mereka walaupun mereka dinamakan dengan nama-nama Islam dan mendakwa bahawa mereka adalah Muslim.”




Ibnu Kathir – ( Kitab: Tafsir Ibnu Kathir ) : “ sesiapa yang meninggalkan undang-undang yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w dan berhukum dengan undang-undang yang lain, maka ia telah kufur kepada Allah s.w.t. Bagaimana pula hukum mereka yang menggunakan undang-undang ciptaan manusia yang terdapat di dalam kitab Ilyasa’? Mereka juga kufur kepada Allah s.w.t secara ijma’.”






As-Syahid Sayyid Quthb – ( Kitab: Tafsir Fi Zhilalil Qur’an ) : “ sesiapa pun tidak berhak membuat undang-undang yang lain kecuali Allah s.w.t . Sesiapa yang cuba melakukan perkara demikian, maka ia telah mencabar keTuhanan atau Uluhiyyah Allah s..w.t yang paling utama. Mana-mana individu, pertubuhan dan negara yang mencabar Uluhiyyah Allah s.w.t tersebut, maka ia telah terang-terangan kufur kepada Allah s.w.t dan perkara ini termasuk ke dalam al-ma’lum minad din bid dhorurah.






Dr.Muhammad Abdul Qodir Abu Faris – ( Kitab: An-Nizhom As-Siyasi fil Islami ) : “ wajib ke atas setiap Muslim menggunakan undang-undang Allah s.w.t dan haram sama sekali berhukum dengan undang-undang ciptaan manusia. Sesiapa yang menolak hukum Allah adalah kafir, manakala sesiapa yang menggunakan undang-undang ciptaan manusia dengan keinginan dan redho, maka ia juga dikira kafir bahkan mereka hendaklah dikenakan hukuman bunuh sebagaimana yang dilakukan oleh Saidina Umar.”






Dr.Yusuf Al-Qardhawi : “ diantara perkara yang berhak dihukum kafir tanpa keraguan adalah pemerintah-pemerintah sekular dan pendukung-pendukung parti sekular yang secara terang-terangan menolak syariat Allah s.w.t dan melaungkan pemisahan negara daripada agama. Apabila diajak kepada hukum Allah s.w.t, mereka enggan dan engkar. Lebih dahsyat dari itu, mereka bertindak melakukan keganasan ke atas orang-orang yang menyeru supaya berhukum dengan syariat Islam atau kembali kepada Islam.”






[ Cukuplah dan insafilah akan kekerdilan serta ketidak mampuan kita dalam menyelesaikan pelbagai permasalahan yang jalannya telah ditunjukkan oleh Allah s.w.t dalam keadaan Allah mengetahui bahawa ada hal-hal yang manusia tidak mampu untuk menyelesaikannya melainkan dengan penyelesaian dari Allah. Lebih 50 tahun kita dikurniakan oleh Allah s.w.t kemerdekaan, namun tidak ada satu jenayah pun di dalam negara ini yang berkurangan, bahkan bertambah-tambah dan menakutkan dari hal pembunuhan, perompakan, pencurian, pemerkosaan, penzinaan, pemurtadan dan sebagainya yang mewarnai wajah negara ]






Rujukan:


Gerakan FreemasonryMusuh Dalam Menghancurkan Islam: Hj Nik Azran Muhamed

Jumaat, 21 Januari 2011

Apa Kata Musuh Terhadap Islam & Kesatuannya? ( Vol 2 )

Kimon – orientalis Perancis menulis dalam bukunya Pathologi Islam: “ saya berpendapat bahawa rukun Islam yang lima mestilah dimusnahkan serta menghapuskan yang lainnya dengan kerja-kerja berat, menghancurkan Ka’abah serta meletakkan Muhammad dan jasadnya di Muzium Lyrther.”

Philip Fondasy – menulis dalam bukunya Penjajahan Perancis di Afrika Hitam: “ amat penting bagi Perancis untuk menentang Islam di alam ini serta mewujudkan politik permusuhan terhadapnya, juga berusaha sekurang-kurangnya untuk menghentikan perkembangannya.”

Lawrence Brown – “ pemimpin-pemimpin kita menakut-nakutkan kita dengan pelbagai bangsa. Tetapi selepas eksperimen, kita tidak dapati rasionalnya terhadap ketakutan-ketakutan tersebut. Mereka menakut-nakutkan kita dengan bahaya Yahudi, Jepun dan Bolshevik, tetapi ternyata kepada kita bahawa Yahudi adalah kawan-kawan kita, Komunis Bolshevik adalah konfiderasi kita, manakala Jepun pula, terdapat Negara-negara besar demokrasi yang menguruskan penentangannya. Tetapi kami dapati bahawa bahaya sebenar terhadap kita terdapat dalam Islam, dalam kekuatannya untuk berkembang serta menguasai dan dalam ketahanannya yang menggerunkan.”

Morro Byger menulis dalam bukunya Dunia Arab Masa Kini: “ sesungguhnya ketakutan kita terhadap umat Arab dan perhatian kita terhadap mereka bukanlah lahir daripada kewujudan petrol yang banyak pada mereka. Bahkan kerana sebab Islam. Wajiblah memerangi Islam bagi menghalang kesatuan Arab yang soleh yang boleh membawa kepada kekuatan mereka, kerana kekuatan Arab akan sentiasa beriringan dengan kekuatan Islam, kemuliaannya dan perkembangannya.”

Pemimpin Tertinggi Freemason: “ kita hendaklah menguasi golongan wanita. Apabila kita berjaya menguasai mereka, maka kita sogokkan mereka dengan perkara-perkara yang haram. Kita juga hendaklah memisahkan pasukan tentera mereka daripada agama.”

Pemimpin Tertinggi Imprealis: “ arak dan nyanyian merupakan dua unsur yang mampu menghancurkan ummat Muhammad dengan berkesan berbanding 1000 laras meriam, maka untuk itu tenggelamkanlah mereka ke dalam kancah maksiat dan materialistik.”

Karl Marx pengasas ideology sosialis ketika ditanya tentang pengganti kepada aqidah ketuhanan, beliau menjawab: “ penggantinya ialah teater (panggung drama dan filem) , maka palingkan mereka yang sibuk dengan amalan kerohanian kearah pementasan drama.”

Miyen seorang pemimpin di Burma: “ jangan biarkan orang-orang Islam bebas bergerak kerana mereka akan membangunkan kembali kerajaan Arab (kerajaan Islam).”

Rujukan:

1) Orang Yang Takutkan Islam: Mengapa? – Dr.Muhammad Naim Abdus Salam.

2) Gerakan Freemasonry-Musuh Dalam Menghancurkan Islam – Hj Nik Azran Muhammed

Ahad, 9 Januari 2011

Apa Kata Musuh Terhadap Islam dan Kesatuannya? ( Siri 1 )

Saya memulai penulisan bagi tahun baru Islam ( Muharram ) dan tahun baru Masihi ( Januari ) ini dengan mengajak para pembaca yang saya kasihi meneliti, mengkaji dan memahami dengan penuh kesedaran serta kebimbangan terhadap ucapan-ucapan dan laungan-laungan yang dikeluarkan dari mulut-mulut para musuh Islam terdahulu. Ianya masih relevan untuk dibicarakan pada hari ini. Apakah kenyataan-kenyataan mereka ini telah terlaksana pada saat ini ?


Mendiang GladstonePM Britain di zaman Queen Victoria menegaskan di dalam satu persidangan Parlimen ketika membincangkan penentangan umat Islam terhadap penjajahan sambil tangan kanannya mengangkat Al-Qur’an: “ selagi mereka (umat Islam) berpegang dengan Kitab ini, selama itulah mereka bangkit dan kita tidak dapat menundukkan mereka. Oleh itu, pisahkan mereka daripada Kitab ini.”


Lord CromerGubernor Inggeris di Mesir dan Sudan menegaskan di dalam tulisannya: “ bahawa tanah jajahan yang diberi kemerdekaan itu, perlu diserahkan kepada anak negeri yang dapat melangsungkan (meneruskan) dasar-dasar dan polisi yang menjaga kepentingan dan keselamatan Barat.”


Ucapan musuh Islam (Komunis): “ sesungguhnya agama adalah candu ( khayal / mabuk ) kepada masyarakat serta merupakan sebab kepada kemunduran dan kelemahannya.”


Paderi Simon: “ sesungguhnya kesatuan Islam dapat memadukan cita-cita masyarakat Islam serta dapat membantu mereka mengelak diri daripada penguasaan Eropah…lantaran itu, kita mestilah mengalihkan tumpuan orang Islam daripada kesatuan mereka melalui Kristianisasi.”


Lornis Brown: “ apabila orang Islam bersatu di bawah empayar Arab, maka ia boleh menjadi satu malapetaka dan bahaya kepada dunia. Adapun jika mereka kekal dalam perpecahan, maka ketika itu mereka tiada nilai dan tidak memberikan kesan kepada sesiapa. Umat Arab dan umat Islam mestilah terus berpecah belah supaya mereka terus kekal tanpa kekuatan dan autoriti.”


Arnold Twenbey menulis dalam bukunya, Islam, Barat dan Masa Depan: “ sesungguhnya kesatuan Islam sedang tidur. Tetapi kita mesti meletakkan di bawah perkiraan kita bahawa, orang yang tidur boleh jadi akan bangkit.”


Moro Byjer menulis dalam bukunya, Dunia Arab Masa Kini: “ telah sabit (tetap) dari segi sejarah bahawa, kekuatan Arab bererti kekuatan Islam. Maka mereka hendaklah dihancurkan supaya dengan kehancuran mereka, Islam akan turut hancur.”


W.K Smithorientalis Amerika yang mahir dalam hal ehwal Pakistan: “ apabila orang Islam diberikan kebebasan di dunia Islam serta hidup dibawah system demokrasi , maka sesungguhnya Islam akan mendapat kemenangan di Negara-negara tersebut. Hanya dengan cara diktator sahaja yang boleh memisahkan antara umat Islam dan agamanya.”


Samuel ZweimerKetua Organisasi Kristian dalam satu ucapannya dihadapan para orientalis di sebuah konvensyen: “ sesungguhnya peranan Kristianisasi yang menyebabkan Negara-negara Krsitian mengutus kamu untuk melaksanakannya di Negara-negara Muhammad (Negara umat Islam) bukanlah untuk memasukkan orang Islam ke dalam agama Krsitian. Sesungguhnya ini adalah kemuliaan yang mereka tidak berhak untuknya. Sesungguhnya peranan kamu ialah mengeluarkan orang Islam daripada agama Islam supaya ia menjadi satu makhluk yang tiada hubungan yang mengikatnya dengan akhlak yang menjadi pegangan semua ummah dalam kehidupannya. Dengan aktiviti kamu yang sebegini, maka kamu telah membentuk tinjauan pra penjajahan di dalam kerajaan-kerajaan Islam. Kamu telah mempersiapkan ramai orang bijak pandai dalam kerajaan –kerajaan Islam bagi menyanggupi perjalanan di atas jalan yang telah kamu rintiskannya, iaitu jalan mengeluarkan orang Islam daripada agama Islam.


Sesungguhnya kami mahu kamu mempersiapkan satu generasi yang selari dengan apa yang dikehendaki oleh penjajahan iaitu generasi yang tidak mengambil berat terhadap perkara-perkara yang besar, suka bersantai dan malas serta berusaha untuk mencapai kepuasan syahwat dengan apa cara pun. Apabila ia mengumpul wang, maka ianya untuk (melayani) kehendak hawa nafsunya dan ianya menjadi matlamatnya dalam kehidupan. Ia memperelokkan setiap benda demi memuaskan nafsunya.


Wahai para penyebar Kristian, apabila kamu lakukan perkara demikian, maka sesungguhnya peranan kamu itu telah sempurna dengan sebaik-baik cara.”


Ibn Glorion: “ sesungguhnya perkara yang paling ditakuti yang kami bimbangkannya ialah kembalinya Muhammad s.a.w baru dipersada Arab.”


Dr. Castropemimpin sosialis Cuba mengutarakan sebuah nasihat kepada ahli-ahli diplomatik Israel dengan meluangkan masanya selama 2 jam sebagaimana yang terdapat dalam akhbar Grama, Cuba. Di dalam majalah utama Cuba, Castro berkata kepada mereka: “ Israel mestilah tidak membiarkan gerakan perjuangan Palestin yang mengambil rupa (dasar) Islam kerana tindakan gerakan-gerakan ini mengambil karakter aqidah dan menjadikannya unggun api semangat yang biasanya kedapatan dalam masyarakat Islam. Semangat keagamaan Arab ini akan memikat pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain yang seterusnya akan menyebabkan mustahil bagi Israel untuk menjaga entitinya.


Israel juga mesti berusaha untuk menjadikan setiap Negara Arab disekitarnya sebagai Negara yang berpaksikan dasar sosialis. Sesungguhnya pusingan terakhir bagi mana-mana gerakan penentangan Arab yang mempunyai ciri-ciri sosialis ialah kewujudan bersama Arab yang aman bersama Negara sosialis Israel.”


Callaghanbekas PM Britain menggambarkan ketakutannya terhadap aqidah Islam yang berleluasa di Britain dimana radio Britain telah mengadakan wawancara pada tahun sebelumnya bersama bekas PM Britain tersebut. Juru hebah bertanya beliau tentang topic-topik penting yang akan dibincangkan di konvensyen empat penjuru Guidelope. Jawabnya: “ di antara topik-topik tersebut adalah tentang Iran…” sambil menyambung katanya kepada juru hebah tersebut: “ persoalan Iran mempunyai akar umbi yang dalam. Akar umbi itu yang menyebabkan kita membuat kajian tentang keadaan Turki, Pakistan dan Timur Tengah.”


Lalu juru hebah meminta beliau menambahkan penjelasannya. Jawabnya secara ringkas: “ boleh jadi payah untuk kamu memahami apa yang berlegar di kawasan-kawasan ini. Tetapi sebagai seorang pengamal Kristian yang patuh, maka saya katakan kepada kamu: sesungguhnya di sana terdapat aqidah yang memusuhi kita di sini yang dirasakan dan diketahui benar-benar oleh penganut Krsitian tulen. Inilah apa yang akan kami bincangkan dalam konvensyen tersebut”.


Jewish Cronical majalah Yahudi Britain mengingatkan tentang kebangkitan pemuda-pemuda Islam, lebih-lebih lagi di university-universiti Arab dan Islam. Katanya dalam rencana bertajuk Jihad Pada Jalan Islam: “ pakar-pakar strategi politik Barat akan memperakui kekurangan analisis politik mereka jika mereka membiarkan seruan-seruan yang semakin meningkat yang dihadapi oleh akademi-akademi dan universiti-universiti tempatan di dalam dunia Islam, seperti dibuat semakan terhadap manfaat beragama dan kembali kepada pengajaran Islam yang asas.”


Sambung majalah tersebut: “ bukan Barat dan bukan juga Kesatuan Soviet Rusia yang mampu mengawasi kebangkitan ini dalam keadaan tenang. Ini adalah kebangkitan bagi dunia Islam dimana ianya mampu menggoyahkan kestabilan sebahagian besar dunia.”


Bersambung…


Sumber Rujukan:

1) Orang Yang Takutkan Islam: Mengapa? – Dr. Muhammad Naim Abdus Salam.

2) Sekolah Agama Rakyat: Pertahan Benteng Kekuatan Ummah – Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang.

Sabtu, 20 November 2010

Sekitar Ijtima' Idul Adha 1431 Alumni Badik Ma'ahad Sas 2000-2010

Foto-foto sekitar majlis Ijtima' Idul Adha 1431 H Alumni Badan Dakwah, Ibadah & Kepimpinan (Badik) Ma'ahad As-Sultan Ahmad Shah Ad-Dini, Bandar Jengka (2000-2010) yang dilaksanakan pada 18 Nov 2010 (Khamis) bertempat di Tahfiz Ar-Rahimiyah, Rantau Perintis, Bandar Jengka jam 09.30 pagi - 01.00 tengah hari. Bacaan ayat suci Al-Qur'an oleh Akhi Anwar (mantan tim.Pres.Badik 2009)
Ucapan Pengarah Ijtima' Idul Adha, Akhi Malek Hassan (mantan Pres.Badik 2003). Graduan UPSI.
Lebih 40 sahabat-sahabat seperjuangan dari pelbagai tahun dan pelbagai bidang pengajian serta kerjaya sekarang, hadir memeriahkan ijtima' idul adha. Ya Allah, peliharalah ikatan antara kami!
Ya Allah, Engkau istiqamahkan kami diatas jalan Mu ini sehinggalah kami bertemu denganMu!
Sesi ta'aruf kesemua ahli alumni yang hadir dimulai oleh Ust Anuar bin Hj Daud, ahli Badik tahun 2002 yang merupakan graduan dari Universiti Al-Azhar, Mesir cawangan Shoubra di bidang tahfiz Al-Qur'an. Kini sudah bergelar suami kepada salah seorang ahli alumni iaitu Ustazah Faezah Hj Nazri yang juga penuntut Al-Azhar.
Akhi Hazrul Mohamed Nahar, ahli Badik tahun 2004. Graduan UKM.
Akhi Aizat, mantan Pres.Badik tahun 2006 yang kini berkhidmat sebagai salah seorang pegawai di Jabatan Agama Islam Pahang dibahagian "halal".
Akhi Zahid, mantan Pres.Badik tahun 2007 yang kini menuntut di Darul Qur'an, Selangor.
Akhi Khairul Nazir, mantan tim.Pres Badik 2007 yang kini menuntut di UKM.
Akhi Hanifuddin, mantan Pres.Badik tahun 2009 yang baru menyelesaikan peperiksaan STAM.
Akhi Syifa, mantan tim.Pres Badik 2010 yang akan menghadapi peperiksaan SPM beberapa hari sahaja lagi.Mudah-mudahan kalian dipermudahkan Allah.
Salah seorang ahli alumni muslimat sedang berta'aruf disisi Ukhti Zuraini (mahasiswa UM), tim.amirah Alumni Badik Ma'ahad Sas bagi sesi 2011.
Ustazah Hairul Azimah, salah seorang guru penasihat Badik yang merupakan mantan tim.Presiden 2 Badik tahun 2003.
Pengerusi majlis sedang menyebut beberapa nombor cabutan bertuah bersama Pengarah Ijtima' (tengah) dan Akhi Zaid Sabran (Amir alumni Badik bagi sesi 2011).
Nikmatnya makan bersama sahabat-sahabat seperjuangan
Suasana ceria bertemu para sahabat mengingat memori silam sewaktu bersama
Peliharalah ukhwah antara kami Ya Allah
Ust Khairi (baju kuning>penceramah undangan: Pengerusi Jabatan Pembangunan Mahasiswa DPP Kuala Krau,Pahang), dikanannya, Ust Zarimi Abu Zih (guru penasihat Badik yang juga graduan Universiti Al-Azhar cawangan Shoubra), Akhi Malek, Ust Anuar dan saya.
JAZAKUMULLAH ATAS KOMITMEN SAHABAT-SAHABAT SEKALIAN.

Jumaat, 29 Oktober 2010

Catatan Perjalanan Dari Galas

Sedar tidak sedar, saya sudah sampai di persimpangan masuk Felda Jengka 16 jam 7 pagi tadi. Kabus pagi masih tebal. Bas yang menurunkan saya bergerak laju menuju ke Bandar Jengka yang mengambil masa sekitar 10 minit sahaja. 3 hari saya bertandang ke Negeri Kelantan bersama Akhi Azzar yang sama-sama dalam barisan kepimpinan mahasiswa Malaysia di Aceh tahun lalu, untuk menyelesaikan beberapa urusan berkaitan sijil pengajian dan lain-lain hal disamping mengambil kesempatan bertemu beberapa orang sahabat sepengajian yang berasal dari Kelantan. Senang sekali berkunjung ke mana-mana tempat, jika ada kenalan di lokasi tersebut. Mereka banyak membantu.


Lewat jam 12 malam, hari Selasa kelmarin, kami berkenderaan menuju ke Gua Musang, tepatnya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas di dalam suasana hujan yang turun agak lebat. Sekitar jam 3.13 pagi kami berhenti berehat di Markaz PAS di kawasan Merapoh, Kuala Lipis. Markaz ini memang sering menjadi lokasi persinggahan bagi mereka yang berulang alik dari Kota Bharu – Kuala Lumpur untuk menunaikan solat, mandi dan istirehat. Dihadapannya adalah kawasan gerai-gerai makan yang menjadi tempat perhentian bas yang berulang alik dati KL – KB dan KB – KL. Jarak dari Merapoh masuk ke sempadan Kelantan tidak sampai 30 minit. Kami berehat sebentar di markaz tersebut sementara menunggu waktu Subuh. Bukan kami sahaja, malah petugas-petugas PAS dari Gombak, Shah Alam dan lain-lain tempat juga kelihatan terbaring kepenatan di situ.


Solat Subuh diimamkan oleh Tuan Guru Hj Abu Kasim, Ketua Dewan Ulama’ PAS Pahang. Seusai mengetuai solat, beliau langsung mengubah posisinya menghadap para jama’ah untuk menyampaikan tazkirah ringkas. Ringkas disudut masa, tetapi padat disudut isinya. Perbicaraannya berkisar mengenai ’orang-orang Munafiq’. Beliau berpesan agar para petugas PAS khasnya anak-anak muda, turun ke Galas dengan penuh semangat, kesungguhan dan keikhlasan kepada Allah. Pimpinan gerakan Islam memang hebat. Setiap detik waktu senantiasa memberi peringatan kepada para pendukungnya mengenai kewajiban dalam perjuangan. Gerakan kebangsaan dan sekular tidak mungkin dan mustahil sama sekali untuk berbicara hal seperti ini kerana mereka dari awal lagi ’bermusuh’ dengan Islam apabila memisahkan urusan politik dari agama.


Jam 7 pagi kami tiba di Masjid Tengku Faiz Petra, bandar Gua Musang setelah melintasi sebuah Unit Peti Undi (UPU) yang betul-betul bersempadan dengan Lipis yang dijaga oleh petugas PAS Pasir Mas. UPU berkenaan juga dijaga oleh UMNO Negeri Selangor. Setiap desa dengan desa dipisahkan dengan hutan dan gua-gua. Ribuan penyokong dan pendukung Pakatan Rakyat sudah mula berhimpun untuk mengiringi calon PAS ke dewan penamaan calon. Seorang demi seorang pimpinan PAS, PKR dan DAP tiba. Setiap kali mereka tiba, laungan takbir bergema. Seorang penyokong DAP memasuki kawasan masjid dengan kain tertulis ’Parti Islam Se-Malaysia PAS’ terikat didahinya dan bendera PAS dijulangnya. Beliau melaung dengan kuat ”hancur UMNO!!!” beberapa kali dengan disambut sorakan dari orang ramai. Ribuan manusia menunggu ketibaan Tuan Guru Dato’ Hj Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Mursyidul ’Am PAS, merangkap MB Kelantan. Beliau dijadualkan mengimami solat sunat hajat dan dhuha pada pagi tersebut sebelum mengiringi calon PAS ke pusat penamaan calon.


Kehadiran pimpinan DAP di perkarangan masjid menjadi sorotan media. Jika pimpinan DAP masuk ke masjid, ia ruang yang terbaik bagi regim Barisan Nasional khasnya UMNO untuk mengulasnya di media massa mengikut versi jahil mereka. Ternyata, pimpinan DAP, Lim Kit Siang, beberapa mantan exco DAP Kerajaan Negeri Perak memasuki masjid serta beberapa pimpinan Kelab Penyokong PAS Kaum India. Tuan Guru baru selesai memimpin solat hajat. Sebelum meneruskan solat Dhuha, beliau menyampaikan tazkirah ringkas. Tokoh-tokoh non-muslim ini mengambil posisi dibahagian belakang yang agak hampir dengan pintu masjid, tetapi masih dalam ruang solat, duduk bersila sebaris. Kelihatan agak lucu seperti P.Ramlee bersila 3 orang di jeti sewaktu membelasah ’orang-orang’ Ahmad Nisfu. Mereka menjadi sorotan media. Namun dengan muka ”selamba”, mereka duduk penuh tertib sambil mendengar tazkirah Tuan Guru.


Anda bayangkan Lim Kit Siang dan beberapa tokoh DAP yang begitu anti terhadap Negara Islam, mula lunak dan sedikit sudah kritikannya terhadap persoalan tersebut. Anda tahu betapa banyaknya persoalan tentang Islam mula dipelajari oleh Balasubramaniam, Pengerusi Kelab Penyokong PAS Kaum India di Pahang kepada Tuan Guru Dato’ Hj Tuan Ibrahim Tuan Man. Anda tahu betapa jauhnya pemimpin non-muslim dari mengenal Islam setelah berkawan dengan pemimpin UMNO. Jika MCA lawan Islam, puncanya adalah UMNO dan jika pemimpin DAP lawan Islam, puncanya adalah UMNO! Merekalah yang menggambarkan Islam dengan citra yang salah pada mereka. Merekalah yang menakut-nakutkan non-muslim kepada negara dan syariat Islam apabila PAS memerintah. Bahkan imej rosak pemimpin UMNOlah yang menyebabkan non-muslim memperlekeh Islam. Rasuah mendarah daging pada mereka, mendedah aurat budaya pemimpin wanitanya, kelab malam tempat berfoya-foya sebahagian dari mereka, lalu bagaimana non-muslim ingin mengenal Islam yang betul dan benar. UMNO memang bermasalah dengan Islam.


Saya tidak sempat mengikuti penamaan calon sehingga selesai. Sekitar jam 12 lebih, saya bersama Akhi Azzar meneruskan perjalanan ke Kota Bharu menumpang kereta Al-Fadhil Ust Fadhli Shaari. Sekarang beliau adalah SU Akhbar MB Kelatan. Kami rapat dengannya kerana sebelum menjadi SU Akhbar, beliau adalah pensyarah di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) merangkap Ketua Jabatan Dakwah. Sempat juga kami belajar satu mata kuliah dengannya walaupun kami di jabatan Ushuluddin. Hubungan bertambah erat kerana kami sering mengundangnya menyampaikan pengisian-pengisian didalam program kemahasiswaan yang dianjurkan oleh persatuan mahasiswa di KIAS. Kebetulan, dizamannya diawal tahun 2000, beliau adalah Presiden persatuan mahasiswa di KIAS seangkatan dengan Al-Fadhil Ust Ramadhan Fitri Elias (Pengerusi Jabatan Pembangunan Mahasiswa (JPM) Dewan Pemuda PAS Pusat) yang menuntut di Akademi Pengajian Islam Univerisiti Malaya (APIUM), Nilam Puri, Kelantan dan menjadi Presiden Mahasiswa saat itu.


Ruang dan peluang bersama ’SU Akhbar’ dari Gua Musang ke Kota Bharu yang mengambil masa 3 jam tersebut kami manfaatkan untuk berdiskusi pelbagai hal dengan beliau menyangkut persoalan perjuangan, ujian-ujian dan masa depan PAS. Beliau tidak kekok atau kedekut dalam memberikan pandangan walaupun beliau mengetahui siapalah kami dalam parti tersebut untuk bertanya pelbagai perkara. Kami baru berstatus ’mantan mahasiswa’. Satu jawatan pun tidak ada dalam parti tersebut. Antara kata-katanya yang masih terngiang-ngiang ditelinga saya adalah ”kalau menang (Galas)...ujian kita makin besar..ujian selepas kemenangan lebih besar.” Kami cuba memahaminya. Ya, benar! Waktu zaman susah, kita hanya bekerja menghadapi UMNO dan Barisan Nasional. Waktu zaman kemenangan, ujian datang dari sesama kita sendiri. Sedikit sebanyak ia telah terlihat sekarang. Di dalam gerakan Islam, tidak terlepas dari wujudnya satu dua manusia yang berkepentingan dan mempunyai agenda tersendiri.


Setelah bertemu dengan beberapa orang para murabbi yang banyak membantu menggerakkan tarbiah di bumi Nilam Puri, kami beristirehat di Pengkalan Chepa, rumah seorang teman. Kelihatan Bandar Baru Tunjung sudah hampir siap dibangunkan. Letaknya antara Nilam Puri ke Kota Bharu di Jalan Kuala Krai. Sekitar 5 minit dari Nilam Puri dan 10 minit dari Kota Bharu.


Pagi Rabu, kami mengelilngi Kota Bharu. Sudah dua tahun saya meninggalkan Kota Bharu. Perubahan terjadi begitu cepat. Bangunan satu persatu berdiri. Dulunya Kelantan Trade Centre masih dalam pembinaan, sekarang sudah siap dipakai. Pasaraya besar Giant sudah beroperasi, diantara Pasar Siti Khadijah, The Store dan terminal bas tempatan. Pasar Siti Khadijah sudah ada penambahan, tandas awamnya agak lebih strategik. Bangunan-bangunan kedai 3 tingkat penuh mengelilingi Pasar Raya Tesco yang menghadap ke jambatan Sultan Yahya Petra menuju Pasir Mas. Ertinya, isu kemunduran, pembangunan Kelantan adalah isu basi dan tidak relevan lagi untuk dipakai oleh UMNO. Jika ada yang mengatakan PAS memerintah Kelantan, tiada pembangunan, hanya ada 3 kemungkinan. 1) Tidak pernah masuk ke Kelantan 2) Masuk ke Kelantan berjalan lenggok (dongak) ke langit atau tunduk ke tanah (meminjam ayat Ust Nasharuddin Daud (speaker DUN Kelantan) 3) Matanya buta.


Islam tidak pernah menolak pembangunan material (kebendaan). Namun, Islam mengajar agar menyeimbangkan sebaik mungkin antara pembangunan kebendaan dan ruh. Bangunan dibangun, manusia tidak dibangunkan, maka terlihatlah seperti apa yang sering dilaporkan oleh media hari ini hampir setiap hari yang sangat menakutkan dan membimbangkan kita. Inilah yang pemimpin UMNO yang berbangsa Melayu dan mengaku Muslim tidak faham-faham. Mereka lupa bagaimana nasib kaum Tsamud, kaum ’Add, kaum Madyan, kaum Saddum, Fir’aun, Namrud dan Qarun dibinasakan oleh Allah. Padahal mereka adalah ’arkitek-arkitek’ hebat dizaman mereka sampai mampu membelah gunung dan menjadikannya kediaman, tempat bermain, tempat bermesyuarat didalamnya.


Kami memasuki Toko Buku terkenal di Kota Bharu iaitu Jaffar Rawas. Entah sudah berapa puluh tahun syarikat ini beroperasi di tengah Kota Bharu. Kalau tidak salah, pengusaha awalnya iaitu Jaffar Rawas berasal dari Pakistan. Dengan wang RM 100, kadang-kadang terasa tidak padan untuk memasuki ’zon ilmu’ ini. Pelbagai buku-buku dan kitab-kitab baru terbitan pelbagai syarikat terhimpun disini. Saya membeli juga beberapa buah kitab berkaitan ilmu hadith untuk tujuan pengajian di masjid dan sebuah novel berjudul ’GERILA’ karya Lukman Iskandar, bekas tahanan ISA dan bekas SU Agung Barisan Revolusi Nasional Melayu Pattani). Beliau menceritakan kisah benar seorang anggota TUDM iaitu Kapten Raziman, keturunan kesultanan Melayu Pattani yang bergabung bersama Tentera Pembebasan Pattani (TPP) setelah pesawat TUDMnya terhempas di perbatasan Malaysia – Thai sewaktu sesi latihan. Hari ini sudah hampir separuh novel terbitan PTS ini saya habiskan. Saya bukan peminat novel, apatah lagi novel-novel percintaan. Namun, novel ini agak menarik perhatian saya.



Kami berhenti makan tengah hari di restoran Nasi Ulam Cikgu, berhadapan masjid Muhammadi, Kota Bharu. Pelbagai ulam disediakan. Tentunya, budu sebagai pencicah. Beberapa teman sepengajian asal Kelantan juga turut serta. Setelah selesai, kami Solat Zuhur di masjid negeri tersebut. Di papan kenyataannya, masih terdapat senarai pentazkirah didalam bulan Ramadhan baru-baru ini. Dari 30 senarai pentazkirah Ramadhan, terdapat nama Ketua Polis Negeri Kelantan. Saya lupa namanya. Tazkirah beliau bertajuk ”Islam dan Keselamatan”. Untungnya negeri yang polisnya berketuakan seorang yang berlatarbelakangkan pengajian Islam. Khabarnya dari UKM. Bukan sahaja tazkirah, sudah beberapa kali beliau membaca khutbah Jumaat. Papan tanda dari polis Kelantan di beberapa jalan utama Kota Bharu tertera ayat Al-Qur’an iaitu ”walau anna ahlal qura amanu.....” dan hadith ”man ra’a minkum munkaran....”. Bagaimana pula nasib ketua-ketua polis di negeri-negeri yang diperintah oleh regim Barisan Nasional? Mereka benar-benar dipergunakan seenak-enaknya untuk mempertahakan regim yang sedang berkuasa sekarang. ”aktiviti” mereka hanya menggempur ceramah PAS dan Pakatan Rakyat.


Sekitar jam 3 petang, kami berangkat semula ke KIAS untuk mengambil sijil selama 3 tahun pengajian disitu dan transkrip akademik. Di satu papan kenyataan, terdapat sebuah artikel yang menarik perhatian saya bertajuk ”Awas!!! Fenomena Memuntahkan Ilmu” karya Ust Zulqarnain Hassan, Ketua Jabatan Syariah. Beliau menukilkan kata-kata Sheikh Muhammad Al-Ghazali didalam bahasa Arab yang ertinya ”mahasiswa di akhir zaman, hanya menghafaz maklumat ketika hampir-hampir menghadapi peperiksaan, kemudian mereka memuntahkannya didalam dewan peperiksaan.” Kalimah ’memuntahkan” sengaja di tebalkan tulisannya oleh Ust Zulqarnain bagi tujuan penjelasan. Katanya, jika seseorang muntah, ia tentu tidak akan memakannya semula. Maka samalah halnya dengan mahasiswa yang bertungkus lumus, tidak tidur malam semata-mata untuk membaca atau menghafaz semata-mata untuk ’memuntahkannya’ diatas kertas peperiksaan esok, dan selepas peperiksaan ilmu itu tidak ditelan atau dipakai semula.


Beliau juga memetik kata-kata Imam Burhanuddin Az-Zarnuji, ”hendaklah setiap penuntut ilmu meniatkan bahawa tujuan sebenarnya ia menuntut ilmu bukanlah untuk mengejar kepentingan dunia, sijil dan pangkat, tetapi hendaklah diniatkan kerana mencari keredhoan Allah dan hari akhirat, menghapuskan kejahilan dalam dirinya, dan menghidupkan agama serta berazam untuk mengembalikan keagungan Islam, sebab kekalnya keagungan Islam hanyalah melalui ilmu pengetahuan. (Lihat: Ta’limul Muta’allim). Imam Syafi’e pula berkata ” sesungguhnya seorang faqih itu ialah yang beramal dengan ilmunya, bukanlah seorang faqih itu hanya pandai berucap dan berkata kosong semata-mata.” (Lihat: Diwan As-Syafi’ie).


Subhanallah! Artikel ringkas satu halaman yang memuat ingatan-ingatan yang memukul para penuntut ilmu agar sedar tujuannya.


Pagi Khamis, sementara menunggu kaunter tiket dibuka di terminal yang sudah dipindahkan dari Jalan Hamzah, KB Mall ke pasar raya Tesco, kami memasuki Pasar Besar Siti Khadijah. Di lantai bawah adalah barang-barang keperluan dapur. Sambil menunggu pelanggan, seorang makcik yang berniaga disitu masih sempat memegang sebuah buku kecil bertulisan jawi dan membacanya. Jika tidak salah saya, ia adalah Al-Ma’thurat. Subhanallah! Rakyat di negeri ini memang dididik sebegini, walaupun tidak dinafikan masih ada segelintir yang bermasalah. Yang penting, penguasa negeri ini sudah melakukan upaya ke arah mendidik rakyatnya dengan agama.


Saya masih teringat beberapa tahun yang lalu sewaktu saya menaiki pasar ini untuk membeli kain batik. Kedai-kedai pakaian dilantai dua (tingkat 1) sangat banyak. Pakaian yang dijual hampir sama disetiap kedai. Saya berhenti dihadapan sebuah kedai kerana tertarik dengan kain dikedai tersebut. Saat itu, makcik tuan kedai tidak ada. Seorang Makcik dikedai lain melihat saya. Anda tahu apa yang ia lakukan? Tarik saya ke kedainya kerana kedai itu tiada tuan? Tidak! Beliau menyebut ”adik nak beli kain gapo? Pilihlah..takpo..bayar ko makcik ja..nanti makcik buwi (bagi) ko tuan dio (tuan kedai)..”.Mengapa tidak tarik sahaja saya ke kedainya? Dia menjawab ”takpolah..rezeki tuan kedai nih..”


Jam 9 malam saya berangkat meninggalkan bumi Kelantan sambil berbual-bual dengan Akhi Azzar. Jauh dihati masih mengharapkan Allah memelihara negeri ini dari jatuh ke tangan manusia yang tidak selayaknya.