Rabu, 4 Februari 2009

Ya Allah ! Kami serahkan padaMu para Munafiq ini !

Baru beberapa hari rakyat Perak meraikan kemasukan Dato’ Nasarudin (Adun Bota) kedalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabtu lalu dan sempat berpidato bersama Anwar Ibrahim, kini gempar dengan isu keluarnya 2 Adun PKR pula yang bersama BN dan mengaku tidak hilang, tapi cuti sakit. Kepala hotak hang sakit ! sampai ahli keluarga pun tak tahu duduk hospital mana.


Hari ini, makin teruji dengan tindakan badut sarkis yang bodoh, Dato’ Nasarudin yang turut kelihatan bersama Najib di Putrajaya ketika pengisytiharan kemasukan 2 adun PKR, Othman Jailu dan Jamaludin kedalam BN bersama seorang calon bebas. Hee Yit Fong. Kini BN mempunyai 31 kerusi dan Pakatan Rakyat tinggal 28 dengan kemasukan semula Nasarudin.


Maaf, saya bukan pengulas isu politik Negara dan tidak pandai sangat mengulas. Cukuplah saya katakan, inilah golongan munafiq versi Hadhari yang mengkhianati rakyat, khianati amanah Allah dan jahil tentang Aqidah ! Sanggup menjadi badut sarkis yang bodoh semata-mata inginkan habuan dunia. Lupakah bagaimana sikap Cikgu Ya di Kemuning, Kelantan yang sanggup menolak puluhan ribu semata-mata ingin pertahankan sebuah kerajaan yang terbina hasil amanah dari rakyat ? Hanya beberapa undi sahaja yang diperolehinya menyelamatkan kerajaan Kelantan.


Baca komentar diblog Ust Nasarudin Tantawi sekarang http://ustaznasrudin-tantawi.blogspot.com/

tentang isu ini. Jangan salahkan sesiapa lagi disaat getir begini. Sama-sama muhasabah adakah perjuangan selama ini didirikan diatas dasar inginkan Islam, atau mencari untung disebalik kemarahan rakyat pada BN? Berjuang tanpa aqidah akan melahirkan generasi yang hanya lincah berbicara soal moral, keadilan, kebenaran, hak rakyat dan lain-lain lagi yang hanya keluar dari mulut bukan hati yang bertaqwa!


Akhirul kalam, Ya Allah ! kami serahkan kepadaMu untuk mengambil golongan munafiq ini dan Engkaulah yang berhak menguruskan manusia seperti mereka ! Ya Allah, selamatkanlah kerajaan Negeri Perak yang tegak diatas amanah dari rakyat yang mahukan perubahan, lalu mereka bertemu dengan pimpinan mereka yang khianat !


Bersiap untuk kalian terima kehinaan didunia dan akhirat atas pengkhinatan ini!

Lain-lain berita terkini di http://pahangdaily.blogspot.com/


Petikan dari http://www.bharian.com.my/

Adun Pakatan Rakyat yang lompat pengkhianat: Nik Aziz

KOTA BHARU: Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, menyifatkan perbuatan berpaling tadah di kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat sehingga tumbangnya kerajaan negeri adalah pengkhianatan kepada penyokong mereka yang bersusah payah berkempen ketika pilihan raya umum lalu.

Justeru, beliau masih berharap pilihan raya negeri diadakan di Perak, bagi membolehkan Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional kembali kepada rakyat mendapatkan mandat baru untuk membentuk kerajaan.

"Saya rasa cukup dukacita apabila timbul cerita wakil rakyat hilang selama dua tiga hari dan kemudian nak melompat. Saya tak faham macam mana keadaan ini boleh berlaku di Malaysia. Manusia macam ni patut dilemparkan dengan kasut. "Selepas dapat undi dalam pilihan raya, tiba-tiba mereka jual (berpaling tadah). Perbuatan ini pastinya ada perancang yang memujuk mereka sebagai cara mudah mencari majoriti (membentuk kerajaan).

"Kalau begini, lebih baik tak payah diadakan pilihan raya, sebaliknya cukup diagihkan duit saja," katanya kepada pemberita di rumahnya di Pulau Melaka, di sini, petang tadi. Beliau menyifatkan, hanya pemimpin yang rasuah saja sanggup berpaling tadah sehingga menyebabkan masalah pergolakan politik di negara ini tiada kesudahan.

JOM BALING KASUT KE MUKA 3 ORANG NI !

Isnin, 2 Februari 2009

Hebatnya Islam: Terima Kasih Ya Allah !

Ketika membuat tinjauan ke blog Pres.Gamis,Ust Dzul untuk mengikuti perkembangan kunjung hormat beliau dan Sdr.Azlan ke Yogyakarta@Jogjakarta, saya sempat menghayati catatan perjalanan beliau dalam artikel yang bertajuk ’28 Januari 2009’. Sayang, hajat beliau untuk ke Acheh terbantut dek kerana jarak yang agak jauh dan tambang yang agak mahal ditambah pula program padat yang telah disusun disana. Lain kali aja lah ya pak..:) Antara catatan beliau ialah pengalaman solat di Masjid Universiti Gadjah Mada.


Alhamdulillah, catatan beliau mengundang sebuah ilham untuk saya menulis satu artikel ringkas. Tidak bisa panjang-panjang dan berat-berat sih..perlu rujukan yang banyak kalau mau nulis artikel panjang-panjang..sedang final ini. Ketika menceritakan tentang Masjid Universiti ini, Ust Dzul menulis menarik bentuknya seperti itu juga menariknya bentuk dan kedudukan tandas disitu. Orang Indonesia mungkin sudah biasa, tapi bagi kami ia agak luar dari kebiasaan’.


Saya cuba memahami apa maksud beliau tentang tandas yang menarik itu.Tanyalah beliau pulang nanti. Saya bimbang tersilap tekaan. Saya pun belum sampai ke wilayah sana. Tapi, selama saya berada di Acheh bersama teman-teman lain, kami menemui ‘keunikan’ dipelbagai masjid dan banyak masjid yang kami singgah solat, ada ‘keunikan’ ini. Apa ya? Tempat kencing berdiri, bukan tandas bertutup dan bisa duduk, tapi boleh senyum kat pelanggan disebelah. Kalau bertemu tandas bertutup pun, adalah sebuah dua disetiap masjid. Banyaknya system ‘pancutan berdiri’. Tak pelik pun, sebab tandas awam di Malaysia pun begitu. Cumanya, penyakit binaan tandas awam berdiri ini sudah merebak sampai ke masjid. Rumit juga bila kopiah ada dikepala, pakai serban..kencing sambil tersenyum pada orang sebelah. Meminjam kata seorang teman Indonesia ‘giiilak betul’.


Idea siapa yang mencipta tandas berdiri begini, saya pun tak sempat nak kaji. Pun begitu, saya memandangnya sebagai anasir-anasir untuk menjauhkan kita dari Sunnah Rasul sahaja. dengan alasan untuk mudah, tak perlu tunggu lama-lama depan tandas@ ringkas, cepat dan padat. :)Rancangan siapa, wallahua’lam.


Baiklah, lupakan pasal tandas ‘unik’ ini, kita discuss sikit permasalahan lain dari kes ini. Pertamanya, dari sudut akhlak. Bayangkan anda seorang ustaz atau pelajar agama atau imam dan yang sejenis dengannya dengan kopiah dan serban dikepala melepaskan hajat anda dengan berdiri dilihat oleh orang dikiri dan kanan, apa perasaan anda dan apa perasaan orang lain pada anda? Jika orang lain tidak ada apa-apa tanggapan pada anda, ya biasa aja. Tetapi jika anda yang tidak merasai apa-apa, sohih anda bermasalah ! Kecuali anda benar-benar tidak ada pilihan kerana hanya tandas seperti itu sahaja yang ada pada waktu itu disaat ‘critical situation’ yang menghantui anda. Maka, jika perbuatan sebegini dilakukan oleh orang terpelajar, khasnya antum yang dikenal sebagai ‘orang agama’, tanggapan saya itu sudah berbahaya kerana tindakan orang agama akan diikuti orang awam. Padahal Nabi telah mengajar umatnya dari aturan bernegara sehinggalah soal adab membuang hajat. Bak kata Allahyarham pengetua sekolah saya dahulu “guru kencing berdiri, anak murid kencing berlari’.


Keduanya, dari sudut kebersihan sudah tentu tiada jaminan. Air yang turun dengan jarak yang tinggi bisa terpercik ke seluar anda dan disaat anda membasuh kemaluan, tanpa seluar dibuka dengan baik, maka risiko kesan basuhan mengenai seluar anda dibahagian atas, sangat tinggi. Setelah itu, anda pun siap untuk solat.


Ketiganya, sudut kesihatan. Apabila kita berdiri, maka kenikmatan kita untuk membuang hajat akan berkurangan. Saya menyebut ‘kenikmatan’ kerana keluarnya bahan-bahan yang berlebihan dari badan yang kita panggil najis itu adalah nikmat dari Allah. Rujuk terjemahan doa masuk tandas dan fahami maknanya. Hilang ketenangan dan kestabilan menyebabkan kita menghabiskan membuang air dengan ‘acuh tak acuh’. Sebagai contoh, sebahagian besar mereka yang berdiri tidak dapat menanggalkan seluarnya dengan baik, hanya separuh sahaja dibahagian atas. Maka, kemaluan juga tidak dikeluar dengan sempurna. (Maaf akhi/ukhti-bukan lucah ni. Kajian sains ya). Sebahagian sahaja dikeluarkan…apa ya?Lu pikir lah sendiri. Saat itu, percayalah bahawa air kencing tidak berjaya dihabiskan kerana sebahagian kemaluan tidak melepasi paras zip seluar dan masih tersisa dibahagian ‘kantungan’. Ditambah pula anda yang tidak mengikut sunnah Nabi agar berdehem-dehem sebanyak 3 kali agar habis keluar semuanya, maka risiko kerosakan pada pundi kencing sangat dekat.


Hikmah Perintah, Galakan dan Larangan Sesuatu Perkara di Dalam Islam


Jika soal kencing itu pun ada hikmahnya dari sudut penjagaan kesihatan, maka aturan-aturan besar yang lain apatah lagi. Hebatnya Islam yang diturunkan oleh Allah, kerana setiap larangan dan arahan Allah, pasti ada kaitan dengan baik dan mudarat yang berjaya dibuktikan oleh kajian Sains terkini. Bermakna, Sains telah membenarkan dan membuktikan kebenaran Islam, bukan Islam yang membenarkan kajian Sains ! Jika begitu, bukan sahaja soal kencing yang perlu kita kajikan, mungkin perkara-perkara dibawah boleh kita teliti bersama:


Larangan:

1) Larangan zina.

2) Larangan lesbian dan homoseksual.

3) Larangan minum arak.

4) Larangan makan makanan yang terlalu panas.

5) Larangan meniup untuk menyejukkan makanan atau minuman yang panas.

6) Larangan memegang babi dan anjing dan hikmah perlu cuci dengan air tanah.

7) Larangan makan haiwan yang tidak disembelih dengan baik.

8) Larangan mengeluarkan mani dengan tangan.

dan lain-lain.


Perintah:

1) Menutup aurat.

2) Mengambil wudhu’

3) Bertayamum

4) Mandi wajib selepas jima’ atau membasuh kemaluan jika ingin berjima’ lagi.

5) Membasuh tangan dengan baik setelah keluar dari tandas.

6) Puasa Ramadhan atau sunat.

7) Solat, rukuk dan sujud.

dan lain-lain.


Galakan:

1) Bertahajud.

2) Kurangkan tidur.

3) Bersiwak (sugi)

4) Makan kismis dan kurma.

5) Minum air zam-zam.

dan lain-lain.


InsyaAllah, jika kelapangan, kita berusaha mencari dan mengkaji kebenaran Islam ini. Kalian boleh merujuk teman-teman dikampus yang mengambil bidang perubatan atau Sains dan sejenisnya untuk dijadikan rujukan. Satu lagi, cuba sama-sama kita hayati perintah Allah dalam soal makanan didalam Surah An-Nahl: 114. Allah menggunakan kalimah ‘Halalan Tayyiba’. Apakah maksudnya. Adakah halal belum tentu baik. Kenapa ditegaskan lagi kalimah Halalan dengan kalimah Tayyiba. Cari ya..mungkin anrtikel adik-adik Badan Dakwah SBPI Sabak Bernam boleh dijadikan rujukan sedikit http://badar-intersaber.blogspot.com/2009/01/syariatullah-lawan-sunnatullah.html


Emmm, saya berhenti setakat ini dahulu sebagai perkongsian dengan teman-teman yang saya kasihi. Artikel berat-berat tunggulah 2,3 hari lagi. Esok ada final berat lagi! Ikhtilaf Hadis dan Rabu, Filsafah Islam. Khamis hari raya…:) Sebelum terlupa, saya peringatkan bahawa kajian kita jangan sampai memaksa kita mencari-cari hikmah yang tersembunyi sehingga bila bertemu,maka ibadah kita dilakukan kerana ‘hikmah-hikmah’ sains ini pula. Ianya sekadar menambah kekuatan untuk kita terus menyayangi agama ini dengan makin yakin. Jika tidak bertemu kajian Sains pun, yakinlah bahawa setiap arahan Allah memang ada manfaat kepada manusia begitu juga larangannya.-penulis.


Catatan: Jika ada maklumat yang boleh dikongsi berkait artikel ini, boleh ditulis di ruangan komentar dibawah. Saya pun nak tahu juga.:)

Ahad, 1 Februari 2009

PKS : Ideologi Haraki Politik Pragmatis ?

Menjelang Pemilihan Umum (Pemilu) Indonesia 2009 yang khabarnya akan dilaksanakan sekitar pertengahan April ini, pelbagai isu-isu menarik dan kontroversi timbul serta berlegar menghantui fikiran rakyat sebagai pengundi yang berhak memilih partai-partai yang mereka dokongi. Di peringkat Nasional, Indonesia mempunyai sebanyak 38 partai dan di Acheh terdapat 4 partai local (tempatan). Maka jumlah keseluruhan partai-partai yang layak bertanding kali ini adalah sebanyak 44 partai. Sebahagian besar partai-partai Nasional ini juga turut berada di Acheh seperti Demokrat (SBY), Golkar (Yusuf Kalla) dan sebagainya.


Kehangatan kampanye (kempen) semakin terasa khas buat warga Indonesia. Kibaran bendera-bendera pelbagai partai memenuhi Banda Aceh dan sekitarnya. Bagi warga yang ingin meletakkan harapan kepada partai-partai yang berbasic Islam yang wujud diseluruh Indonesia termasuk di Acheh, mereka boleh memilih Partai Keadilan Sejahtera (PKS), Partai Bulan Bintang, Partai Kebangkitan Nasionall Ulama’ (PKNU), Partai Persatuan Nahdhatul Ummah Indonesia (PPNUI), Partai Kebangkitan Bangsa (PKB), Partai Matahari Bangsa (PMB), Partai Persatuan Pembangunan (PPP), Partai Bintang Reformasi (PBR) dan beberapa lagi yang lain. Adapun, partai Islam yang hanya berada di Acheh adalah Parti Aceh Aman Sejahtera (PAAS), Parti Bersatu Aceh (PBA), Parti Daulat Aceh (PDA) dan Suara Independen Rakyat Acheh (SIRA). Rujuk artikel tentang politik Aceh di http://arruhuljadid86.blogspot.com/2008/11/pemilu-april-2009-terjaminkah-masa.html


Ditengah kesibukan menjelang Pemilu ini, tiba-tiba Partai Keadilan Sejahtera (PKS) dikritik hebat oleh Majlis Mujahidin Indonesia (MMI) melalui majalah bulanannya, Risalah Mujahidin (RM) keluaran Jan, edisi 25 yang terbit minggu lepas. MMI pada awalnya diketuai oleh Ust.Abu Bakar Ba’asyir yang pernah dituduh sebagai ketua jaringan pengganas Jama’ah Islamiyyah (JI) oleh Amerika dan di’angguk’ oleh pemerintah Indonesia dan Malaysia. Kini MMI dipimpin oleh Ust Muhammad Talib sebagai Amir ke 2 menggantikan Us.Abu Bakar yang meninggalkan MMI tanggal 13 Julai 2008 lalu dan menubuhkan pula Jama’ah Ansar Tauhid (JAT) tanggal 17 Sept 2008 lalu kerana pertembungan beberapa masalah kefahaman berkaitan system perjuangan.


Dalam Risalah Mujahidin (RM) ini, PKS antara partai yang mula menonjol dan mendapat tempat dihati rakyat Indonesia didakwa telah lari dari prinsip perjuangan dan dasar Islam yang diwar-warkannya saat dideklarasikan pada 09 Ogos 1998 yang lalu. Daripada Partai Keadilan, namanya ditukar menjadi Partai Keadilan Sejahtera beberapa tahun kemudian. RM mendakwa bahawa PKS yang dahulunya dikenal sebagai partai dakwah dan partai tarbiyyah, ideology haraki dari Ikhwan Muslimin, para pengurusnya anak muda yang mempunyai idealism Islam, mempunyai ahli dan kepimpinan yang sangat mantap, berakhlak dan berimej Islami, system perkaderan (perekrutan) untuk naik ketahap-tahap berikutnya dalam PKS disusun kemas bersistematik dengan marhalah yang hebat melalui usrah yang menjadi program wajib pimpinan sehingga kepada anggota dibawah, kini mula berubah arah.


Semuanya dikatakan bermula setelah Musyawarah Kerja Nasional (Mukernas) PKS yang diselenggarakan di Bali awal Februari 2008 lalu. Antara kritikan MMI melalui risalahnya itu adalah:


a) Ketika Hidayat Nur Wahid dinobat sebagai Ketua Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), beliau menyebut tidak akan memperjuangkan Syariat Islam menjadi hukum Negara , tetapi menjelang Pemilu 2009, beliau merengek minta fatwa Syariat Islam.


b) PKS sudah menjadi partai terbuka dari citra moderat dan santun kepada egois dan agresif antaranya kerana:

i) Mula ‘berkawan’ dan berganding bahu dengan beberapa partai secular seperti Partai Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDIP) dan Partai Damai Sejahtera (PDS) iaitu partai Kristian.

ii) Mula mengangkat calon Gubernor (cagub) dan calon wakil gubernor (cawagub) golongan wanita.

iii) Tifatul Sembiring (Pres.PKS) membuka ruang Non-Muslim menjadi calon PKS ke lembaga legislative (parlimen) dikawasan-kawasan Kristian.

iv) Melantik beberapa orang Kristian menjadi pengurus PKS bagi kawasan Papua, termasuk juga di kawasan Maluku, Maluku Utara, Papua, Papua Barat dan Bali yang majorotinya Kristian.

v) Menaja program dangdut dan jogetan.

vi) Membiarkan perempuan tampil bertabarruj (berhias-hias) dan berlumba karier politik.


c) Hidayat Nur Wahid akhirnya menyebut bahawa sesiapa yang tidak keluar memilih telah melakukan perbuatan membazir dan membazir amalan syaitan. MMI mempersoalkan bila Pemilu menjadi wajib sehingga beliau menyebut perbuatan tidak memilih adalah membazir.


d) Iklan kempen yang disiarkan oleh TV saat menjelang Hari Pahlwan menuai kontroversi kerana PKS memunculkan tokoh Nasional seperti Ahmad Dahlan (pendiri Muhammadiyyah), Hasyim Asyaari, (pendiri NU), Sukarno, Bung Hatta, Bung Tomo, M.Natsir, Jenderal Soedirman yang digandingkan dengan gambar Suharto. Di akhir iklan itu dimunculkan suara “terima kasih guru bangsa, terima kasih pahlawan, kami akan melanjutkan langkah bersama PKS’. MMI menyoal jika PKS ingin rekonsiliasi antara tokoh Islam dan Nasionalis, mengapa tidak dimasukkan sekali SM.Kartosuwiryo, Qahar Mudzakkar dan Daud Beureuh. Adakah PKS takut digelar fundamentalis?


e) Mengapa PKS meletakkan Suharto sebagai pahlawan sedangkan Suharti penuh dengan sumbangan peradaban yang buruk dan tindakan ini seperti menangguk di air keroh.


Bukan sekadar itu, bahkan Nahdhatul Ulama’ (NU) menganggap PKS sebagai ancaman kerana memperalatkan masjid dan kegiatan remaja menjuruskan kepada ‘baju politik’ yang sangat berbahaya bagi ukhwah ummah. Bagi pertubuhan Muhammadiyyah (di Malaysia disebut Wahabi rasanya) pula, mereka mempersoalkan mengapa disejumlah daerah, PKS ikut bertahlil, anjur Maulid dan doa qunut, tetapi didaerah lain mereka menolak amalan ini.


MMI akhirnya menyimpulkan bahawa PKS yang mengambil lambing Ka’abah, bulan sabit, dan garis dengan latar belakang putih itu kini telah hilang orientasi ideologinya dan bersikap pragmatis (matlamat menghalalkan cara) dalam perjuangan semata-mata berjuang inginkan jawatan dan kerusi dengan mengenepikan dasar Islam. Bahkan artikel-artikel khusus tentang PKS dalam majalah ini ditulis ‘Partai Dakwah Berbuah Masalah’, ‘Dulu Dakwah Islam-Kini Dakwah Partai’, ‘Haraki Ideologis Politisi Pragmatis’ dan ‘Pramatisme Politik PKS’.


Kita Sebagai Pemerhati Yang Menilai ?


Baiklah, sekarang pembaca sudah memahami sedikit sebanyak perkara yang melatarbelakangi kritikan MMI kepada PKS ini. Disini, suka saya menyebut bahawa, dalam mendepani isu-isu sebegini, kita harus bersikap adil dalam membuat penilaian agar jauh dari lemparan-lemparan label tidak enak kepada mana-mana pihak dalam keadaan kita sendiri kurang mengetahui apatah lagi berkait soal hukum hakam yang kita sangat dhoif mengenainya.


Justeru itu, rasanya ada satu homework yang saya yakin boleh kita manfaatkan daripada isu yang dianggap kontroversi oleh MMI terhadap PKS ini. Kita ketepikan sebentar point-point yang kita tidak jelas dan kurang maklumat tentangnya seperti PKS sponser joget dan dangdut, tabarruj dan lain-lain, dan kita tumpukan kepada perkara yang jelas sahaja untuk dikaji dengan penuh ilmiah.


1) Apa hukum melantik pemimpin dikalangan bukan Islam? Bagaimana jika dilantik dikawasan yang majoroti Non-Muslim? Bagaimana pula jika mereka juga dilantik memegang beberapa jawatan didalam organisasi Islam?

Catatan: Kaitkan dengan kondisi dibumi Malaysia sama seperti calon India di Johor 2008 dan lain-lain.


2) Apa hukum bergabung dan ‘berkawan’ (tahalluf siyasi) dengan partai-partai secular untuk kepentingan Islam, bahkan PKS bergabung dengan PDS (Kristian)? Jika boleh, apa dalil-dalilnya dan apa syarat-syaratnya? Adakah sejarahnya dalam Sirah Rasulullah?

Catatan: Kaitkan dengan pakatan PAS bersama DAP (non-Muslim) dan lain-lain.


3) Apa hukum wanita menjadi calon dalam pilihanraya/pemilu? Bagaimana dengan peringatan Nabi bahawa tidak akan berjaya satu kaum yang melantik wanita menjadi ketua? Apakah keterangan sebenar hadis ini? Jika dibenarkan, apakah jawatan yang dibenarkan dan apakah syarat-syaratnya?

Catatan: Kaitkan juga dengan calon-calon wanita dalam pilihanraya di Malaysia khasnya yang dimunculkan oleh parti Islam.


Timbulkan lagi apa-apa sahaja persoalan yang anda rasakan ada kaitan dengan 3 soalan yang penulis sediakan ini.


Akhiran, sekali lagi, saya memaklumkan bahawa, tugasan bersama ini kita usahakan bukan kerana keterkaitannya dengan mana-mana parti politik, tetapi lebih dari itu sebagai kajian ilmiah yang dipenuhi hujjah dan dalil untuk manfaat kita sebagai mahasiswa yang berhak untuk mengkaji apa sahaja untuk perkembangan minda mereka khasnya mereka yang berada di pengajian Islam. Isu-isu sebeginilah yang perlu kita dalami dengan lebih mendalam bahkan mungkin menarik jika dibincangkan bersama teman-teman dalam usrah-usrah dengan bimbingan mereka yang dalam ilmunya. InsyaAllah, untuk tempoh kedepan, kita akan bincangkan pula isu-isu lain yang boleh mengembangkan daya fikiran serta ilmu kita.Wallahua’lam.-penulis.


Makluman: Apa-apa komentar anda tentang tajuk diatas, bolehlah ditulis diruangan komentar dibawah.