Sabtu, 27 September 2008

Internal Security Act ( ISA ): Mengharap Ketegasan Ulama.

Isu mengenai keputusan kerajaan Malaysia menahan pengendali blog Malaysia Today, Raja Petra selama 2 tahun dibawah ISA telah diulas oleh ratusan bahkan ribuan rakyat Malaysia. Artikel, respon serta pandangan mengenainya turut dimuatkan di dalam pelbagai blog. Semuanya tidak bersetuju, marah, maki hamun, mengkritik kepimpinan Pak Lah dan seribu satu jenis luahan kebenciaan diperlihatkan. Saya cuba mencari-cari apa lagi perkara yang tidak diulas atau terlalu sedikit diulas. Namun kelihatannya semua perkara mengenai kejahatan ISA hampir lengkap diberi komentar. Maka atas capacity sebagai mahasiswa pengajian Islam, saya mengecilkan sedikit skop kritikan dan saranan agar undang-undang rimba ini diperdebatkan melalui kacamata agama.

Sampai hari ini, rakyat Malaysia secara umumnya dan ummat Islam khasnya sudah tidak sabar menanti bilakah para mufti ingin menunjukkan ketegasan mereka dalam isu ini. Kita yakin mereka bukan golongan yang ketinggalan maklumat mengenai kejahatan ISA yang telah meragut ratusan kasih sayang diantara seorang isteri dengan suaminya, antara anak dengan bapanya. Kenyataan dan keputusan rasmi dari mereka sampai hari ini masih kabur. Kalau ada seseorang yang berbicarapun, ianya dilihat sekadar pandangan peribadinya sahaja yang tidak menggambarkan keputusan bersama.

Soalnya, mengapa jadi begini ? Hari ini kita hanya mendengar pandangan-pandangan dari kepimpinan ulama’ di dalam PAS yang cukup memahami mengenai kesalahan undang-undang ini menurut syara’. Tetapi pihak pemerintah akan menganggap pandangan atau kenyataan ini keluar dari mulut pimpinan parti pembangkang atau ‘orang politik’ untuk kepentingan peribadi pihak mereka. Apabila Dr.Yusuf Al-Qardhawi mengeluarkan keputusan bahawa ‘menahan seseorang individu tanpa bicara hukumnya haram’ , maka apakah nilainya statement Al-Qardhawi ini kepada pemimpin Barisan Nasional yang telah mempunyai rekod permusuhan yang tinggi kepada ulama’ ? Mungkin sekali lagi mereka akan menempelak, “ arghh, ini bukan kenyataan mufti Malaysia. Dia orang Qatar. Dia bukan tahu tentang Malaysia. Dia bukan tahu tentang keperluan ISA di Malaysia.” Tidak terfikirkah para mufti di Malaysia bahawa pentingnya keputusan mereka disaat suasana getir ini menghantui mangsa ISA dan meresahkan ahli keluarga mereka yang ditinggalkan tanpa wang ringgit untuk biaya kehidupan ?

Ya, Malaysia negara yang ghairah ingin mencipta rekod dalam segenap bidang. Al-Marhum Dato’ Ishak Baharum dipecat dari jawatan mufti tanpa sebab. Ust Ismail Kamus, Kamal Shaari, Tuan Ibrahim, Haron Din dan puluhan lagi adalah senarai panjang jenayah besar UMNO kepada tokoh agama. Lalu kita ingin bertanya, insiden inikah yang menjadi mimpi ngeri untuk ditakuti oleh para mufti ? Bimbang sangatkah ‘taring-taring’ mereka akan dipatah-patahkan oleh pihak pemerintah. Isu sekarang bukannya isu Raja Petra semata-mata, tetapi puluhan manusia yang tidak dapat dibuktikan kesalahan mereka dihumban diceruk dinding-dinding gelap menanti lembaga-lembaga berbadan tegap menyepak terajang jasad mereka. Tidak terfikirkah ?

Saat ini kita pasti menunggu apakah sebenarnya dosa mereka yang dituduh terlibat dengan Al-Qaeda, Toliban, Jama’ah Islamiyyah, KMM, tragedi Al-Ma’unah dan sebagainya dibuktikan. Mengapa disembunyikan ? Benarkah mereka yang membantu jihad di Afghanistan menghadapi komunis Russia adalah pengganas ? Benarkah mereka yang bersama mujahidin-mujahidin Arab menghadapi tentera Amerika adalah terrorist,ekstrem agama ? Segera bicara dan buktikan dosa mereka kalau negara menganggap mereka berdosa. Jangan sampai rakyat terbanyak tersilap perhitungan sehingga membenarkan laporan media dengan mengiyakan bahawa mereka ini ‘merbahaya’. Lupakah pihak pemerintah mengenai pandangan ulama “ lebih baik kita tersilap kerana tidak menjatuhkan hukuman kepada pesalah daripada kita tersilap menghukum orang yang tidak bersalah ”.
Kembali kepada para mufti dan ulama yang kononnya tidak berpihak kepada mana-mana parti politik. Kita akur dengan pendirian mereka yang memberi alasan tidak mahu terjebak ke dalam kancah politik walaupun terdapat mufti yang terang-terang menzahirkan sokongannya kepada Islam Hadhari dan Barisan Nasional. Jika itu keputusan mereka sepatutnya mereka lebih berani memberikan sebarang komentar mengenai ISA. Apa yang perlu ditakutkan kalau mereka bukan mewakili mana-mana parti politik ?

Jangan lupa, Islam tersebar ke seluruh pelusuk dunia dengan penuh cabaran dan rintangan adalah bertitik tolak dari peranan besar yang dimainkan oleh para ulama’. Kalian adalah ulama ! Said bin Musayyab dipenjara dan dibelasah teruk dizaman Hajjaj bin Yusuf As-Saqofi. Sheikh Izzudin Abdus Salam dipecat dari jawatan mufti Mesir dizaman pemerintahan Islam. Semuanya gara-gara mempertahankan ilmu mereka bagi mengahadapi tindakan-tindakan pihak pemerintah yang mencari kepentingan peribadi dan menurut hawa nafsu. Imam Ahmad bin Hanbal menyebut,“ jika orang yang alim diam dari menyatakan kebenaran, maka sampai bilakah kebenaran akan tertegak ”.Cukuplah berbicara di media mengenai perkara yang hanya dipersetujui pemerintah. Berapa banyak perkara yang tidak dipersetujui oleh pemerintah, bercakaplah segera !

Tidak bimbangkah kita, setiap bulan menerima gaji dan elaun-elaun menghadiri pelbagai majlis dalam keadaan kita diam disaat jutaan rakyat dan ummat Islam bersedia membuka telinga mendengar keputusan kita ? Jangan sampai ada dikalangan keluarga tahanan yang terpaksa mencari sumber rezeki haram dan mengeluarkan kenyataan ‘ kami terpaksa melakukan kerja ini kerana darurat ‘ akibat hilangnya ketegasan kita. ( Mudah-mudahan tidak sampai begitu ).Yakinlah, ratusan ribu umat Islam berada dibelakang para ulama’ andai pemerintah menzalimi.Mudah-mudahan Allah memelihara mereka dan meneguhkan kesabaran mereka disaat orang lain berhari raya.

Mahasiswa Malaysia
27 Ramadhan 1429.

Tiada ulasan: