Isnin, 15 Jun 2009

SIS : Pas teruskan fungsi, GAMIS teruskan fungsi

Isu Sisters In Islam ( SIS ) mula dibangkitkan kembali setelah ianya seolah-olah menjadi suam beberapa waktu. SIS tidak dikenali pun oleh kebanyakan orang awam, tetapi terkenal apabila melonjaknya nama IFC iaitu Suruhanjaya Rundingan Antara Agama beberapa tahun lalu, diikuti dengan ‘pembelaan’ mereka kepada mana-mana individu untuk murtad dan pelbagai isu-isu hak asasi manusia.


Kali ini, nama SIS terbit kembali dari dewan Muktamar PAS Pusat. Usul perwakilan muktamar agar SIS disiasat dan diharamkan oleh Majlis Fatwa diterima sebulat suara tanpa bantahan. Semuanya menggambarkan tahap amarah perwakilan terhadap kecelaruan pemikiran sesat SIS sudah benar-benar sampai ketahapnya. Antara yang turut ‘mengambil bahagian’ membuat ulasan dan penyataan sikap terhadap kes ini adalah Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) melalui Presidennya, Ust Dzulkhairi Mohd Noor dan Ketua Majlis Lajnah Dakwah GAMIS, Sdr.Yusri Hafiz. Tahniah kerana kalian sentiasa bersuara dalam isu-isu melibatkan Islam dan ummahnya walaupun mungkin pendirian agak berbeza dengan perwakilan PAS tersebut.


Saya mengikuti sedikit pendirian Pres.GAMIS melalui artikel bertajuk ‘Usul PAS Agar SIS Diharamkan : Presiden GAMIS Kritik PAS dan Cabar MPMUM’ dan juga artikel ‘ Haramkan SIS : Serlah PAS Ketiadaan ‘Deedat’ Untuk Berhujjah Secara Bersemuka ( Ketua Dakwah Gamis ) ‘ serta artikel ‘Isu Pengharaman SIS : Dewan Ulama’ PAS Perak Sanggah Pandangan Presiden GAMIS’. http://dewanulamakpasperak.blogspot.com Semua artikel ini terdapat diblog : http://gamisdaily.com/v4/index.php?option=com_content&view=frontpage Untuk menegaskan lagi penyataan sikapnya, Pres.GAMIS memposting pula artikel terbaru diblognya http://dzulkhairi.blogspot.com/ yang bertajuk ‘ Tolong Jangan Hukum SIS’.


Saya juga cuba mencari mana-mana pihak yang berbeza pandangan dengan pendirian GAMIS. Bertemulah sebuah blog yang menyatakan sedikit kekecewaan terhadap pendirian ini iaitu http://rusli-islam.blogspot.com/ melalui artikel bertajuk ‘GAMIS Tak Setuju Sisters In Islam Haram ?’.


Secara peribadi, saya juga salah seorang yang agak ‘tidak senang’ dengan kenyataan dari Majlis Dakwah GAMIS yang menyebut ‘penyelesaian masalah Gerakan Islam Liberal yang tidak tepat, ‘tindakan yang kelihatan tergesa-gesa’ , menutu pintu perbincangan, dialog peradaban dan ruang diskusi hujjah yang ilmiah’ , ‘PAS seolah-olah merobohkan ikatan ‘engagement’ , ‘menyerlahkan PAS seolah-olah ketandusan ulama’ untuk berhujjah’ , dan pertanyaan ‘dimana Deedat ( Ahmad ) didalam PAS ?’ Bahkan sampai Pres.GAMIS menggelar PAS ‘berkuku besi’ , namun dineutralkan semula istilah itu diblognya.


Saya bukanlah ingin menambahkan kekeruhan dalam perbezaan pendapat. Memang GAMIS suka menampilkan pendiriaannya yang berbeza. Jika GAMIS boleh sahaja berbeza dan sering menunjukkan perbezaan dengan PAS, maka apatah lagi perbezaan pandangan antara anggota GAMIS bawahan dengan pimpinannya sendiri.


Sedikit sahaja ulasan saya :


1) Di dalam Islam kita sering mendengar istilah ‘mencegah lebih baik dari mengubat’ atau juga disebut ‘saddu’ zara’ie’ iaitu menutu pintu-pintu yang menjadi punca kepada sesuatu kerosakan. Maka dalam hal ini, tidak ada bezanya antara SIS dan Ayah Pin, tidak ada bezanya SIS dan Haji Qahar di Batu Caves. Semuanya berada dalam kategori penyelewengan aqidah dan kefahaman Islam. Mungkinkah kita mahu majlis-majlis dialog terus dilakukan dan dalam masa yang sama kesesatan mereka terus digerakkan dan makin bertambah kecelaruan dikalangan orang awam atau intelektual ?


2) PAS memang sedikit mengecewakan kerana tidak kelihatan mereka ke depan bertemu mata melalui majlis-majlis dialog atau forum terbuka dengan SIS sebagaimana yang disebut oleh GAMIS sedangkan ruang itu ada. ( Maaf, saya tidak tahu samada mungkin wujud pertemuan tertutup antara PAS dan SIS yang tidak dilaporkan oleh media ). Saya berkeyakinan jika orang-orang seperti Dr.Zulkifli, Dr.Mariah dan sebagainya yang pernah berpendidikan dinegara-negara Barat, namun tetap mempunyai kefahaman Islam, diundang untuk berhadapan dengan golongan SIS, mereka berani berhadapan. Mereka tahu tentang SIS yang berpendidikan juga di Barat. Kelemahan diperingkat PAS tetap perlu ditegur dan diperbaiki. Mungkin pimpinan PAS seperti Ust Dato’ Tuan Ibrahim yang memang seorang ulama’, professional dan aktivis juga mampu berhadapan dengan SIS ini. Jelas didalam PAS terlalu ramai ulama’ yang mampu berhujjah dengan ilmiah bagi menghadapi SIS tidak sebagaimana sangkaan atau pertanyaan sinis dari GAMIS tersebut.


3) Kenyataan bahawa PAS seolah-olah ketiadaan ‘Deedat (Ahmad)’ untuk berhujjah sehingga terus tergesa-gesa mencadangkan pengharaman SIS kurang saya setujui. Perlu diketahui bahawa Ahmad Deedat yang terkenal dengan majlis-majlis perdebatan berhadapan dengan golongan Kristian khasnya paderi-paderi mereka. Dia berketurunan India dan menetap di Afrika Selatan, menyampaikan ceramah keseluruh dunia sehingga banyak paderi yang memeluk Islam khasnya di Eropah dan meninggal dunia beberapa hari selepas pemergiaan Zainab Al-Ghazali (2005).


Dalam kondisi Deedat, ruang dialog dan forum terbuka antara beliau dan Kristian adalah pilihannya. Tidak mungkin Deedat akan mencadangkan gerakan Kristian mesti diharamkan. Adapun dalam konteks Malaysia, mengharamkan SIS satu kemudahan kerana kita dilingkungi majority umat Islam dan pemerintahnya Islam yang mampu melakukan tindakan pengharaman itu sesuai dengan tugasan mereka sebagai pemerintah Islam : melaksanakan amar ma’aruf dan nahi mungkar.


4) Jika melihat PAS seolah-olah tidak berperanan dengan baik (sebagaimana kenyataan GAMIS), maka sangat wajar jika yang menjadi penganjur adalah GAMIS samada melalui Majlis Dakwahnya dan sebagainya. Kemudian mereka yang menjemput wakil PAS dan SIS. Ini mungkin lebih menyenangkan pihak SIS atau PAS sendiri kerana kelompok mahasiswa yang menjadi penggeraknya berbanding jika PAS yang dilihat sebagai parti politik yang menganjur. Sudah tentu tidak dapat mengelak dari tanggapan bahawa anjuran PAS untuk keperluan dan kepentingan politik. Jadi GAMIS lah yang bertindak, bukan dengan cara hanya mengkritik. Keluarkanlah artikel-artikel, anjurlah dialog-dialog, forum-forum dan debat sekalipun.


5) Jika benar sekalipun PAS tidak pernah menganjurkan pertemuan dengan SIS, banyak pertubuhan lain berhadapan dengan mereka. Bermakna SIS tahu mereka sedang dihadapi. SIS tahu pemikiran mereka sedang dipertikaikan. Maka istilah ‘SIS juga ingin memahami Islam , tetapi salah cara pemahaman’ yang dinyatakan oleh Pres.GAMIS itu lah yang tidak tepat. Jangan anda berasa bahawa SIS bergerak seorang diri dan tidak ada golongan kuffar dibelakang mereka ! cukuplah anda melihat pada intro paparan website SIS yang tertera ayat ‘"Saya tidak kata bahawa kita perlu menjadikan negara sekular untuk menjadi moden. Saya mengatakan bahawa kita perlu negara yang sekular untuk menjadi Muslim yang lebih baik." Dan bacalah kenyataan wakil SIS dalam dialog maya bersama siswi Al-Azhar tahun 2002 yang lalu : "Adakah SIS menentang hukum Allah?" Dia menjawab, "Kami tidak menentang hukum Allah, tapi mana yang tak sesuai dengan peredaran zaman, perlulah diubah."


Masih adakah ruang untuk berbaik sangka dengan pemikiran mereka ini? Atau mengambil kaedah pengharaman disaat pemerintah umat Islam mampu melakukannya ? atau biarkan mereka hidup dan teruskan dialog-dialog sehingga mereka benar-benar faham Islam dan akhirnya melebur sendiri dalam aqidah yang benar ?


Cukuplah dahulu setakat ini. Sekadar pandangan yang boleh diterima dan boleh ditolak. PAS teruskan berfungsi dengan baik dan GAMIS juga teruskan fungsi anda –


Baca tentang SIS disini : http://ibnu-ismail.blogspot.com/

Dari Manohara ke ambalat..kini dera TKI pula.

Belum selesai isu Manohara dan anak Sultan Kelantan, media Indonesia meneruskan paparan isu ambalat ( sempadan Negara ) rentetan dari kapal Malaysia yang masuk ke kawasan Indonesia dan minggu ini, sekali lagi media Indonesia bertalu-talu tanpa henti sehingga hari ini mendedahkan pula permasalahan TKI di Malaysia.


TKI adalah ringkasan dari Tenaga Kerja Indonesia. Kebanyakan TKI baik lelaki mahupun wanita dihantar ke Malaysia. Ada yang diambil menjadi pekerja binaan dan wanitanya ada yang diambil bekerja dikedai-kedai makan serta pembantu rumah.


Malangnya, berita-berita mengenai penyeksaan yang dialami oleh pembantu-pembantu rumah dari Indonesia yang bekerja di Malaysia mula didedahkan satu persatu. Antaranya satu kes di Selangor yang melibatkan majikan berbangsa Cina yang mendera teruk pembantu rumahnya. Ketika ditemuramah media, wanita ini menunjukkan keadaan wajahnya dan hidungnya yang patah diketuk. Diikuti pula dengan kes percubaan bunuh diri seorang pembantu rumah Indonesia yang tidak tahan disiksa majikannya. Beberapa kes penderaan ini mula dilapor satu persatu oleh media Indonesia. Klip video dan gambar-gambar Nirmala Bonat yang diseterika dahulu diulang tayang semula.


Jika dalam isu Manohara, rata-rata orang cerdik pandai menjadi muak mengikuti perkembangannya, namun dalam isu penderaan TKI ini, warga Indonesia mula membuka mata. Saya tidaklah faham tentang system penghantaran TKI ke Malaysia. Adakah mereka bersendirian ke Malaysia atau melalui apa-apa syarikat yang menguruskan pengambilan TKI atau sebagainya, saya juga kurang tahu. Bagaimana pertanggungjawaban pihak yang mengurus mereka, kita juga kurang mengathuinya.


Walau apa pun, pihak pemerintah Malaysia tidak boleh berdiam diri begitu sahaja apabila isu penderaan mereka ini terbongkar satu demi satu samada oleh majikan berbangsa Cina atau Melayu, non Muslim atau Muslim sekalipun. Hubungan antara Malaysia dan Indonesia jangan sampai berantakan.

Sabtu, 13 Jun 2009

Ust Fathi Yakan kembali kepada Allah...

Disaat umat Islam seluruh dunia hari ini sibuk dengan urusan masing-masing, kita dikejutkan dengan hilangnya sebutir lagi mutiara berharga bagi gerakan Islam dunia. Website http://www.ikhwan-jor.com/ hari ini melaporkan kematian Al-Fadhil Ust Fathi Yakan , tokoh Ikhwan yang menggerakkan dakwah di beberapa buah Negara Arab seperti Lubnan dan lain-lain pagi tadi.


Ust Fathi Yakan meninggal dunia ketika umurnya mencapai 76 tahun dan separuh dari umurnya dihabiskan dijalan dakwah bersama gerakan Islam Ikhwan Muslimin. Beliau lahir pada tahun 1933. Beliau yang sinonim dengan karya ‘Maza Ya’ni Intima’ lil Islami ?” – Apa Ertinya Saya Menganut Islam ‘ dan Abjadiyah Dalam Gerakan Islam sering dijemput ke pelbagai buah Negara termasuk di Malaysia satu waktu lalu dalam rangka membincangkan perkara-perkara berkait masalah ummah dan perkembangan gerakan Islam.

Al-Fatihah

Al-Fatihah > Ammar Zulkifli...

Rasanya masih tidak terlewat untuk saya mengucapkan takziah kepada ahli keluarga dan teman-teman kepada arwah Ammar Zulkifli, mahasiswa perubatan di Mesir yang telah kembali ke rahmatullah beberapa hari kelmarin dalam satu kemalangan.Ammar adalah bekas pelajar Darul Qur’an, Malaysia sebelum ke Mesir.


Ammar berasal dari Pulau Pinang.Seorang temannya berada dalam keadaan koma, seorang patah tangan dan 2 lagi cedera ringan. Saya dimaklumkan, jenazah Ammar disolatkan di Mesir selepas solat Zohor semalam dan pagi tadi jenazahnya dibawa pulang ke Malaysia.


Teman-teman boleh mengunjungi blog arwah Ammar disini : http://kalam-puncak.blogspot.com/ dan untuk membaca pesan dari ibunya kepada mahasiswa di Mesir, boleh baca diblog Penasihat DPM Mansurah http://abdqodirjailani.blogspot.com/ dan untuk membaca berita-berita, catatan pengalaman bersama arwah dan gambar-gambar solat jenazah, boleh kunjungi blog teman terdekat arwah Ammar http://muhammadabdullah.blogspot.com/


Al-Fatihah

Jumaat, 12 Jun 2009

Amal biar bersumber, ilmu biar berguru..

Sudah 2 hari kami tidak melihatnya. Akhir kami bertemunya pagi kelmarin sewaktu solat Subuh di masjid. Sebaik sahaja bilal iqamah untuk solat Subuh, dia pun masuk dan terus mengangkat takbir untuk solat sunat. Dimana dia mengangkat takbir ? Di sebelah seorang ibu di shof muslimat. Datang tuan imam dan menarik tangannya supaya kedepan. Dia mengangkat takbir semula disaat orang ramai sudah memenuhi shof untuk solat Subuh. Entah mengapa, sebaik sahaja dia mengangkat takbir untuk solat sunat, terus dia berputar kebelakang dan pergi semula ke sebelah ibu dishof muslimat itu. Kami semua kaget sebentar melihat remaja lingkungan 20-an yang berbaju kemeja dan berkain pelekat itu membuat aksi ‘pelik’ di pagi hari. Seorang abang datang pula kepadanya dan menarik tangannya ke depan lagi.


Kali ini lebih melucukan. Seperti ayam mahu disembelih, dia menggelepar dan terus terbaring ke lantai sambil mengangkat tangan ke dada selesai sahaja bilal melaungkan iqamah sambil terkumat kamit membaca sesuatu. Selesai solat, lantas dia menghulurkan tangan dan menggenggam erat tangan teman saya. Dengan wajah serius, dia mengucapkan ‘malikinnas..malikinnas..malikinnas…’. Sambil berdiri, dipegangnya Qur’an terjemahan, dibeleknya helaian demi helaian penuh khusyu’. Kami tidak pedulikan dan orang kampung kelihatan sepertinya sudah biasa melihat perilaku mamat seorang ini. Pulang ke rumah, semua ketawa mengulang cerita.


Petang Selasa lalu, sewaktu saya dan teman-teman beriadhah di tempat pengajian, saya telah saksikan ‘aksi’ peliknya. Ketika siap untuk memulakan riadhah, dari kejauhan kami melihat seorang remaja mengekori 2 orang budak perempuan dari arah belakang. Gayanya seperti bapa mengiringi anak ke sekolah pula. Setelah 2 budak perempuan ini memasuki kawasan dewan utama institut, dia pun meninggalkan mereka. Mungkin mereka berdua ini mahasiswi disini juga. Setelah itu, dari jarak 200 m itu, dia berlari laju kearah kami dengan memakai kain pelekat dan baju Melayu. Tempat berhentinya ditengah-tengah kami yang baru sahaja ingin memulai riadhah. Gayanya seperti sudah kenal dengan teman-teman saya yang lain. Sambil mengucapkan salam dan tersenyum-senyum, dia menegur sapa semua kami. Semua teman-teman pening melihatnya. Tiada siapa yang mengenalnya melainkan saya ,kerana dia orang di kampong saya. Dengan penampilan tersengih-sengih dan ketawa, dia melaungkan “nggak ada apa-apa..nggak apa-apa..teruskan..teruskan..saya bersama…”


Aduh…dia terpandang saya pula di celahan teman-teman yang lain. “ Ya….akhi…apa kabar…disini kamu rupanya…” Terus dipeluknya saya penuh erat. Teman-teman lain terkebil-kebil melihat saya dipeluk. Ucapnya pada saya “ akhi…assalamu’alaika ya ahlil kubur…alhamdulillah..wassolatu wassalamu ‘ala rasulillah…gimana(bagaimana) akhi…” Saya melepasnya semula.


Kami terus membuat bulatan dan seorang dari kami memulakan pemanasan (senaman). Lantas dia mencelah masuk di antara bulatan kami. “ Ya…mulakan..angkat tangan..ya..ikut..ikut semua..” Habis kami ketawa. Teman yang mengconduct’ riadah meminta dia keluar dengan baik berkali-kali. Apa yang dibalasnya. “emm..saya menggangu kalian nggak? Nggak saya tanya ini..saya menggangu nggak..?kalau mengganggu..saya keluar…” kami saling berpandangan. “ Ok lah, bang duduk dibelakang kami diluar..dan ikut dari belakang aja..” kata teman ini. “ ok, saya keluar..tapi tolong tampar saya dulu…saya bisa keluar..tapi tampar saya dahulu…”katanya sambil menghulurkan pipi. “kalau nggak tampar..saya nggak mau keluar…kamu tampar ya…tampar aja..tapi yang kuat ya…ya, yang kuat sikit..baru saya keluar..” Muak dengannya, teman saya terus memulai riadhah tanpa mempedulikannay atas nasihat kami semua. Kalau ditampar, rasanya mahu ditampar semula nanti….:)


Setelah kami tidak melayannya, dia lalu masuk semula dan terus ke tengah-tengah bulatan. Gayanya persis YB pula. Sambil tangan memeluk tubuh dan berlegar-legar memusing ditengah-tengah, seorang demi seorang dikalangan kami diperhatikannya. Akhirnya ‘boring’ dengan layanan kami, lantas dia keluar dan berlari ke jalan dan masuk pula ditengah-tengah beberapa mahasiswa yang sedang berjogging. Dibarisan belakang sekali, dia berjogging bersama. Cuba bayangkan dia berlari berkain pelekat dan berbaju Melayu bersama budak-budak yang berjogging berbaju T-Shirt dan berseluar pendek….


Hasil kajian dan penelitian saya bersama teman-teman, maka rumusan awal mendapati beliau ‘gila isim’. Gila isim adalah gila yang hanya berlaku jarang sekali dan bukan setiap hari atau selama-lamanya. Tapi mungkin mamat ini lebih baik sedikit taraf keisimannya berbanding dengan seorang remaja ditempat saya dahulu. Sewaktu saya masih bersekolah rendah, ditengah-tengah orang ramai dimasjid, dia menjerit sekuat hati berkali-kali “aku anak angkat Dr.Mahathir..aku anak angkat Dr.Mahathir…”


Sebagai kesimpulan tahap pertama, yang boleh saya sampaikan :


1) Jangan belajar agama, membaca kitab-kitab baik soal hukum hakam, aqidah dan sebagainya tanpa ada guru. Jika tidak faham, bertanya kepada orang yang faham dan ahlinya.


2) Jangan berguru dengan sesiapa sahaja yang kurang beramal dengan ilmunya. Sebagai contoh, ustaz yang rokok pun masih dimulut, masjid pun jarang sekali nampak…


3) Jika mahu berthoriqat, pastikan thoriqat kita adalah jelas, sohih dari Nabi s.a.w, dilakukan oleh ulama’-ulama’ muktabar..Jangan terima thoriqat yang pelik-pelik dari sesiapa pun jika diragui. Thoriqat bermakna jalan. Jalan yang dimaksudkan adalah jalan untuk mendekatkan diri kepada Allah. Maka mucullah pelbagai jenis zikir yang diamalkan oleh ulama’ untuk mendekatkan diri kepada Allah. Ada yang jelas bersumber dari Nabi, ada yang tidak, ada yang diselewengkan, ada yang ditokok tambah dan sebagainya.


Bagi saya, cukuplah dengan zikir Al-Ma’thurat yang disusun oleh Imam Hasan Al-Banna dari hadith-hadith Nabi s.a.w . Jika mahu berthoriqat yang lebih tinggi lagi, pastikan soal ilmu ‘aqidah sekurang-kurangnya sudah berjaya kita fahami basicnya agar apabila datang apa-apa jenis thoriqat, kita mampu membezakan antara yang benar dan yang salah, yang sohih atau tidak – wallahua’lam.

Dukungan Pada Umat Islam Selatan Thai : Mahasiswa Anjurkan Munajat di Kampus Masing-Masing !

Bismillahirrohmanirrohim.


Rentetan dari peristiwa pembantaian maut ke atas 11 orang umat Islam yang sedang menunaikan solat Isya’ berjama’ah di Masjid Al-Furqan, Kampung Air Tempayan, Sungai Golok, Selatan Thailand tanggal 9 Jun 2009 jam 8.50 mlm (waktu Malaysia) baru-baru ini oleh pihak kuffar Thailand, saya menyeru kepada seluruh umat Islam umumnya dan mahasiswa dimana sahaja anda berada agar segera menganjurkan munajat kepada Allah melalui solat hajat secara berjama’ah di kampus-kampus anda seberapa segera.


Saya mengharapkan agar yang berkesempatan mengaturnya agar dapat kita adakan secara serentak pada malam ini dikampus masing-masing. Mohon kepada Allah agar umat Islam diberi keteguhan dan kekuatan dalam menghadapi ujian ini, diberi kemenangan ke atas mereka dan dan ‘keputusan’ Allah ke atas golongan kuffar yang semakin biadap ke atas umat Islam. Jangan lupa, munajat secara individu untuk kemenangan ke atas umat Islam dimana-mana sahaja mesti diteruskan setiap masa tanpa ada ‘cuti’.


Lebih 3700 orang umat Islam menjadi mangsa konflik berdarah ini sejak tahun 2004 yang lalu. Pertukaran PM ke PM yang lain di Thailand tidak mendatangkan manfaat apa-apa pun kepada umat Islam di wilayah-wilayah ini.


ATUR SEGERA MUNAJAT BERSAMA INI DAN SEBARKAN KEPADA SELURUH SAUDARA-SAUDARA ANDA YANG LAIN. BERDOALAH UNTUK MEREKA DISAAT KITA MAMPU MELAKUKANNYA


Untuk Mahasiswa Malaysia di Aceh : InsyaAllah kita akan laksanakan bersama pada malam ini secara berasingan Muslimin dan Muslimat. Muslimin di Masjid Kubah Hijau (Jln.Inong Balee) Kec.Baitussalam. Muslimat di rumah sewa masing-masing. Selepas Solat Isya'.


Muhammad Fadhlullah Ismail

Peng.Biro Dakwah & Pembangunan Insan

PKPMI-CA 09/10

Rabu, 10 Jun 2009

Deklarasi Pemilu Damai 2009 : Bilakah negaraku ingin berubah ?

TVRI sebentar tadi ( jam 8.00 – 9.00 mlm ) menyiarkan secara langsung dari Jakarta majlis Deklarasi Pemilu Damai 2009 diantara calon Presiden dan wakil-wakil Presiden. Sangat menarik. Calon-calon Presiden Indonesia, Susilo. Megawati dan Jusuf Kalla bersama calon-calon wakil Presiden (timbalan) boleh bersama diatas sebuah pentas disaksikan ribuan rakyat Indonesia khasnya dari pendokong dari partai-partai yang bertanding untuk jawatan Pres dan wakil pres 8 Julai ini.

Semua mereka bergilir naik ke pentas menyampaikan ucapan berbentuk tawaran-tawaran pada rakyat secara terbuka tanpa sekatan sedikit pun. Semuanya berpeluang menyatakan misi dan visi serta manifesto masing-masing sambil didengari oleh pendokong semua partai-partai yang bertanding itu.

Setelah selesai, ketua Komisi Pemilihan Umum (KPU) atau SPR (jika di Malaysia) naik ke pentas dan menjemput semua calon Pres dan wakil mereka naik ke pentas. Beliau membacakan ikrar dan semua calon mengikuti bacaannya. Isinya berupa janji untuk melaksanakan amanah kepada rakyat dan Negara dengan baik serta bersedia mewujudkan Pemilu Damai. Di akhirnya, 3 calon Pres dan 3 wakil masing-masing memegang tangan dan mengangkatnya bersama-sama sambil tersenyum melambai tangan kepada pendokong-pendokong mereka.

Bilakah Malaysia akan membuka ruang sedemikian secara adil kepada semua partai politik ?Ceramah dikepung FRU. Himpunan di sembur gas pemedih mata, disepak terajang bagai nak gila. Media diperalatkan sesuka hati macam harta UMNO. Harakah, Siasah dan Suara Keadilan dirampas. Penceramah dan penganjur disumbat ke dalam trak. Memalukan ! Negara maju seperti Malaysia bertindak bodoh dan penakut berbanding Negara yang kurang stabil ekonomi dan kadar kemiskinannya. Saya rindu melihat Tuan Guru Haji Hadi boleh berada diatas pentas dengan Dato’ Najib sambil mengemukan manifesto masing-masing yang disiar secara live di TV. Tapi, mungkinkah itu akan terjadi??? Jawablah sendiri. UMNO yang dahulunya makhluk paling seronok mendengar pilihanraya, kini bagai diserang hysteria apabila bunyi adanya pilihanraya kecil…

Selasa, 9 Jun 2009

Ya Allah ! Terimalah Amal dan Taubat abangku ini...

Kali terakhir saya bertemu dengan ‘insan istimewa’ ini kira-kira 8 bulan yang lalu, sebelum saya ke sini. Ketika itu saya, abah dan abang saya serta beberapa pakcik-pakcik pergi kerumahnya untuk mengambil khemah kenduri beserta besi-besinya yang baru digunakan dirumah beliau untuk kenduri kahwin adik perempuannya. Semua barang-barang itu kami angkat naik ke lori untuk dibawa ke markaz PAS cawangan untuk digunakan pada majlis ceramah Ust Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man pada malam esoknya.

Ketika mengangkat, bapanya turut serta. Beberapa waktu dia pula yang keluar sambil membawa talam hidangan berisi air dan biskut kering dalam keadaan agak ‘malu-malu’ walaupun wajahnya memang ‘otai giler’ (istilah anak muda). Dengan rambutnya yang agak panjang, sedikit berjambang, beliau melemparkan senyuman sambil menjemput kami minum setelah selesai mengisi barang-barang khemah kedalam kenduri. Selepas itu saya tidak bertemu lagi dengan insan terpilih ini.

Sekitar 3 – 12 April lalu sewaktu saya pulang ke Malaysia kali yang pertama menemani teman yang menjadi pemilih di Bukit Gantang, beliau kembali menghadap Allah. Saya lupa tarikhnya yang sebenar dan sangat menyedihkan kerana menziarahi serta solat jenazahnya pun tidak sempat saya sertai. Jika tidak salah, beliau meninggal dihospital dan jenazahnya dibawa pulang kerumah.

Subhanallah,saya dimaklumkan 5 hari sebelum kematian, beliau ada mendaftar masuk satu program yang disebut ‘Dana Taqwa PAS Pahang’. Bentuknya seperti caruman. Setelah peserta dana ini meninggal dunia, maka warisnya yang akan mendapatkan ‘keuntungan’ dari Dana ini dan sebahagian wangnya akan dimasukkan kepada PAS ditempatnya atas nama si mati itu sendiri. Beliau sempat mencarum sebanyak RM65.

Malam ini, Tuan Guru Nik Abdul Aziz akan menyampaikan ceramah di Darul Hikmah, Kerdau, Temerloh Pahang dan akan merasmikan Kompleks PAS Pahang disitu yang sedang dalam pembinaan sebagai pelancaran sumbangan dana. Malam ini jugalah beberapa waris si mati yang pernah mendaftar masuk program Dana Taqwa ini akan menerima hasil caruman yang telah mereka lakukan. Antaranya adalah bapa kepada insan yang saya maksudkan. Bapanya akan menerima wang sejumlah RM19,000 dari Dana Taqwa Takaful Etiqa-Pas Pahang. Sebanyak RM5,000 akan disumbangkan oleh bapanya untuk PAS cawangan Jengka 16 iaitu kampungnya sendiri.

Hari ini, insan yang mulia ini telah tiada setelah ‘menderita’ sekian lama dek kerana bertahun-tahun lamanya menjadi ‘doktor sendiri’. Saya sangat berkeyakinan bahawa kematian 2 adiknya sendiri sekitar setahun sebelum ini kerana menjadi ‘doktor sendiri’ juga menjadi asbab hidayah Allah kepadanya. Di Jengka terdapat 25 buah Felda bermula dari Felda Jengka 1 sehinggalah Felda Jengka 25. Sangat menakjubkan ! Dalam setiap Felda ini pasti ada anak muda yang meninggal kerana dadah. Begitu jugalah dengan jumlah anak luar nikah. Pasti disetiap Felda ini paling minima ada seorang anak luar nikah. Inilah kehebatan Jengka selain dari menjadi kawasan pelancongan untuk orang-orang yang tidak pernah melihat pokok getah dan sawit. Jika Felda itu tidak ada 2 jenis kerosakan ini, maka itu perkara luar biasa bukan biasa-biasa. Itulah dahsyatnya….

Beliau meninggalkan dunia kotor itu agak lama beberapa bulan sebelum menghadap Allah. Apakah beliau sudah menjangkakan riwayatnya sama seperti 2 adiknya? Wallahua’lam. Saya bersyukur…dia kembali kepada Allah setelah bertaubat dan sempat memberikan sumbangan besar untuk perjuangan Islam walaupun melalui bapanya sebagai wakil.

Namun, saya juga masih ingat akan keluhannya terhadap masyarakat sekeliling yang selalu meletakkan pandangan serong kepada orang-orang sepertinya yang ingin berubah. “saya tahu bagaimana keadaan saya sebelum ini…maka mereka masih mengingatinya..”. Cerita tentang jerih payahnya berhadapan dengan masyarakat setelah berubah pernah disiarkan oleh wartawan Mastika, Sdr Nasaie Ismail sekitar 1 tahun yang lalu ketika menemuinya di rumahnya di Jengka 16.

Biarlah saya simpan sahaja nama insan istimewa ini. Cukuplah kita menggelarnya ‘abang taubat’.

“Ya Allah ! Terimalah Amal dan Taubat Hamba Mu ini “.

Catatan : Berkenaan Dana Taqwa anjuran PAS Pahang dengan kerjasama Takaful Etiqa, bagi yang berminat untuk sertainya khasnya mereka yang menetap di Pahang, bolehlah berhubung terus dengan Ust Aris Fezol Ismail melalui : 019- 9855883 atau blognya http://tukulbesi.blogspot.com/

Terimalah seadanya...

Apabila disebut lepasan pengajian agama, rata-rata men’sinonim’kan mereka dengan Al-Azhar, Mesir khasnya dan Timur Tengah umumnya baik Jordan, Syria, Yaman, Maghribi ( Morocco ) dan sekitarnya. Jika disebut pelajar agama keluaran dalam Malaysia atau bukan mana-mana Negara Arab, maka lain pula pandangannya. Jangan salahkan mereka, itulah persepsi rata-rata orang awam di Negara kita yang cukup teruja apabila mendengar ‘ustaz ini lepasan Al-Azhar, Jordan, Syria…”

Puncanya, Mesir dilihat sebagai pusat keilmuan yang ulung, tertua, gah dengan ribuan ulama’nya dan bumi para Anbiya’ yang agak ramai disana. Kekuatan Islam dan ummah pernah tertegak disini melalui beberapa kerajaan yang sempat menaungi ummah sehinggalah kembalinya Mesir ke tangan ‘Fira’un’ pasca-moderan. Menulis kehebatan bumi Mesir tidak akan selesai sehari dan membicarakan tentangnya, tidak cukup semalaman. Makanya, keaslian ilmu melalui kitab-kitab turathnya sudah tentu dicari disana. Ditambah lagi, praktikal pergerakan Islam era moden ‘terlatih’ dibumi ini dengan Ikhwan Musliminnya yang kini merebak ke puluhan Negara-negara arab disekitarnya.

Namun, kesukaran demi kesukaran untuk kesana baik kesukaran yang sedia terjadi atau kesukaran yang sengaja ‘dijadikan’ , membuatkan pelajar-pelajar Malaysia beralih arah ke pelbagai Negara lain sebagai alternative baru untuk menyambung pengajian.

Pelajar-pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) kini tidak lagi menjadikan kolej-kolej swasta atau mana-mana IPTS sebagai tempat ‘transit’ sementara mereka sebelum ke Al-Azhar kerana mengetahui kemasukan ke kolej-kolej ini umpama mencari jalan ‘kematian’ bagi mereka untuk ke sana nanti gara-gara pembatalan MoU. Akhirnya, kolej-kolej yang menawarkan pengajian agama ini hanya menjadi tumpuan lepasan SPM sahaja yang mana mereka bisa mendapatkan Diploma disini berbanding lepasan STAM yang terpaksa menyambung tahun terakhir ( tahun 4 ) di Al-Azhar atau dimana-mana tempat lain. Alhamdulillah, kini Kolej Universiti Insaniah (KUIN), Kedah memberi nafas baru apabila lepasan STAM bisa menghabiskan pengajian diperingkat Ijazah disana.

Semalam bermula kemasukan mahasiswa baru di Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS), Kelantan iaitu antara 18 buah IPTS yang menjadi mangsa pembatalan MoU Al-Azhar dan saat ini, mahasiswa baru sedang didalam Minggu Orientasi Pelajar Baru ( Minggu Ukhwah Islamiyyah – MUI ). Dahulunya setiap tahun, mahasiswa baru melebihi angka 300 orang.Sebentar tadi, saya menghubungi seorang teman di KIAS. Katanya “ kelmarin MUI…peserta ( mahasiswa ) tak ramai..muslimin 56..muslimat 96…” .Bermakna jumlahnya adalah 152 orang sahaja. Alhamdulillah, Jordan membuka ruang bagi mereka dan Madinah akan menyusul, insyaAllah.Bagaimana jumlah mahasiswa pengajian agama di IPTS lain, saya tidak tahu.

Baiklah, adik-adikku sekalian..teruskan pengajian. Niatkan kerana Allah, kuatkan kezaman dan kesungguhan, belajar untuk beramal dan keluarkan diri dari kejahilan serta bulatkan tekad, ilmu perlu disampaikan pada ummah. Untuk teman-teman di Mesir sana, anda wakil-wakil umat Islam Malaysia yang masih tersisa disana. Maka, ambillah sebanyak mungkin mutiara berharga disana, bukan menjadi pelancong ! Jangan sampai beberapa tindakan-tindakan kita menyebabkan adanya ‘orang-orang jahat’ yang mengambil kesempatan untuk menjadikan sikap dan tindakan kita sebagai alasan bagi mereka untuk menyukarkan mahasiswa Malaysia kesana lagi walaupun masih banyak alasan lain sebenarnya. Kerana, percayalah..masih ramai anak-anak Malaysia yang rindu untuk mencari keaslian ilmu disana.

Namun, bagi orang seperti saya..cukuplah..insyaAllah..disini sudah baik bagi saya dan teman-teman yang tahap dan kadar kemampuan dalam pelbagai perkara agak rendah dan mungkin ada hikmahnya saya dan teman-teman kesini. Jemputlah datang..banyak perkara baik disini jika anda mahukan..

Isnin, 8 Jun 2009

Jangan tunggu kematian datang sebegini...

Setelah beberapa waktu website www.kaskus.us membuang seketika gambar tragedy ngeri kepada mahasiswa dan mahasiswa di Kota Malang, Indonesia 15 April 2009 yang lalu, hari ini mereka mengeluarkannya.

Maaf, saya tidak dapat memasukkan gambarnya diblog ini kerana agak ngeri dan kurang elok gambar-gambar kondisi korban tersebut. Jika anda mahu menambahkan tahap iktibar yang agak tinggi lagi, boleh klik URL ini dan saksikanlah : http://www.kaskus.us/showthread.php?t=2028448

Cukuplah saya memasukkan gambar pokok yang ‘tenang’ sahaja setelah ditabrak. Kenderaan macam tin sardin, pokok hanya sedikit menggelupas. Allahu Akbar..Na’uzubillah minzalik. Jangan tunggu kematian datang sebegini baik para pemuda dan orang tua siapa pun.

Ambil Iktibar Dari Kejadian Dahsyat ini !!!

Majalah Qiblati edisi 09 baru-baru ini menyiarkan sebuah berita yang sangat menggemparkan, menyedihkan dan menginsafkan mengenai sebuah kemalangan ngeri yang penuh tanda tanya. Berikut saya mengutip kisahnya :

“…….kejadian ini baru sahaja terjadi beberapa hari lalu, tepatnya pada Hari Rabu malam Khamis tanggal 15 April 2009 di Kota Batu Jawa Timur. Lokasi kejadian ini hanya berjarak lebih 14 km dari kantor Majalah Qiblati dan Kinan.

Hari Rabu malam, sejumlah mahasiswa dan mahasiswi dari berbagai universitas di Malang, bahkan juga dari kampus-kampus yang berlabel Islam, bermaksud mengadakan pesta disebuah vila di Songgoriti, Kota Batu. Tempat ini adalah tempat yang indah, berupa sebuah lembah yang dingin, sejuk dan menyenangkan. Lembah ini terletak di antara 2 gunung yang besar di kota tersebut.

Mereka yang datang pada malam itu berjumlah 17 orang. Kedatangan mereka pada pukul 22.00 bukanlah untuk mensyukuri dan mentadaburi keindahan alam tersebut, akan tetapi justeru menggelar pest aria disana. Mereka berpesta pora dengan iringan muzik yang sangat keras, bahkan sampai ditegur oleh penjaga vila kerana mengganggu penghuni vila yang lain. Satu jam kemudian ,9 orang dari mereka terdiri dari 4 mahasiswa dan 5 mahasiswi dengan menaiki sebuah mobil Daihatsu Taruna meninggalkan vila menuju paying, sebuah tempat wisata yang berada dilereng gunung diatas lembah Songgoriti dan pada pukul 00.10 ,Khamis dinihari mereka turun dan kembali ke Kota Batu.

Saat memasuki jalan Panglima Sudirman yang merupakan jalan utama yang menurun dikota itu, mereka memacu mobil begitu kencang, sampai hanya terlihat seperti kilatan bayangan – kata sebahagian saksi – dan entah kerana apa tiba-tiba mobil yang mereka tumpangi menerjang trotoar dan menabrak (merempuh) sebuah pohon di pinggir jalan tersebut. Suara keras akibat tabrakan ini membangunkan warga sekitar untuk segera memberikan pertolongan. Mereka mendapati sebuah pemandangan yang begitu memilukan.

Sebuah mobil terbelah sampai setengahnya oleh pohon dan 9 penumpang ditemukan tewas dalam kondisi yang sangat mengenaskan. 2 wanita yang duduk dibangku depan terpental keluar mobil dan tergeletak disamping pohon yang masih tetap kokoh berdiri, tidak goyah sedikitpun dan hanya kulitnya sahaja yang menggelupas seakan-akan tidak ada sesuatu pun yang menghantamnya. Lahaula wala quwwata illa billah. Salah satu diantara kedua korban wanita tersebut sudah terpotong kaki kirinya kerana terjepit didalam mobil. Dari dalam mobil tersebut juga didapatkan aroma minuman keras yang kuat walaupun tidak ditemukan satu botolpun minuman keras disana.

Dan yang lebih memilukan lagi, korban kecelakaan tersebut ditemukan dengan pakaian yang sangat tidak pantas, bahkan salah seorang korban wanitanya ditemukan dalam keadaan telanjang ( hanya memakai cd dan bh – pakaian dalam ). Na’uzubillah min zalik….”

( Ambillah iktibar dari peristiwa ini teman-teman pembaca sekalian dan saksikanlah keadaan kenderaan mereka itu )

Baca juga disini : http://www.google.com/search?ie=UTF-8&oe=UTF-8&sourceid=navclient&gfns=1&q=mahasiswa+mahasiswa+kota+malang+korban+pulang+dari+pesta

Ahad, 7 Jun 2009

KIAS > Kolej Universiti : Antara Harapan & Cabaran

Kias dinaik taraf jadi kolej universiti


Salmah Mat Husain
Sun | Jun 07, 09 | 4:15:06 pm MYT

KOTA BHARU, 7 Jun (Hrkh) - Kerajaan di bawah kepemimpinan ulama di Kelantan maju setapak lagi apabila Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (Kias) akan dinaik taraf menjadi kolej universiti tidak lama lagi.


Kias pada peringkat awal diwujudkan iaitu pada 1993 dikenali sebagai Maahad Dakwah Wal Imamah dan beberapa tahun kemudian dinaik taraf menjadi Kias. Kias menawarkan program ijazah berkembar dalam bidang Syariah dan Usuludin dengan beberapa universiti di luar negara. Manakala pengajian di peringkat diploma pula dalam bidang Syariah, Usuludin dan Dakwah Wal Qiadah.Dan tidak lama lagi Kias akan dikenali sebagai Kolej Universiti iatu setanding dengan Kolej Universiti Insaniah di Kedah dan Kolej Universiti Islam Selangor.


Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Pendidikan dan Dakwah Negeri, Dato' Mohd Amar Abdullah berkata, kolej universiti berkenaan akan dibangunkan di kampus induk di Nilam Puri."Bagi menjadikan Kias sebagai sebuah kolej universiti beberapa kriteria ditetapkan kerajaan mesti dipenuhi, antaranya mempunyai perpustakaan dan dewan kuliah yang mencukupi. "InsyaAllah tahun hadapan Kias akan dinaik taraf menjadi kolej universiti dan pengambilan pelajar pertama dengan status kolej universiti akan dilakukan," katanya di sini.


Kias terletak kampus induk di Nilam Puri bersebelahan dengan pejabat Yayasan Islam Kelantan (Yik). Yik mempunyai kemudahan pejabat, asrama pelajar dan sebuah dewan.Mohd Amar berkata, pejabat Yik akan dipindahkan ke Pengkalan Chepa dan pembinaan bangunan pejabat baru akan dilaksanakan membabitkan kos sebanyak RM5 juta.


"Pemindahan pejabat Yik ke Pengkalan Chepa dibuat memandangkan bangunan Yik di Nilam Puri akan diserahkan sepenuhnya kepada Kias," katanya. Menurutnya juga Kias sehingga kini merupakan antara institusi pengajian tinggi swasta terbaik dalam bidang agama di negara ini. Katanya juga Kias sekarang mempunyai tujuh pensyarah yang berkelulusan di peringkat PhD dan ramai tenaga pengajar mempunyai kelulusan di peringkat sarjana.


"Bagi memenuhi kriteria kolej yang bertaraf universiti juga tiga kursus baru akan diperkenalkan iaitu Kejururawatan, Komunikasi serta Muamalat dan Ekonomi Islam," katanya. Beliau juga berkata, Kias juga sekarang mempunyai ramai pelajar dari luar negara termasuk China, Thailand dan Indonesia. - mj _