Selasa, 22 Jun 2010

Pelajar Pengajian Islam pula bakal jadi sasaran

Isu militant di Malaysia sepertinya belum reda dan sejuk sepenuhnya. Dato’ Seri Najib Tun Razak kelihatan bermati-matian bersama Menteri Dalam Negeri, Dato’ Hishamuddin Tun Hussein mempertahankan akan adanya ancaman gerakan militant Jama’ah Islamiah (JI) yang didakwa oleh Ketua Pembangkang di Parlimen, Dato’ Seri Anwar Ibrahim sebagai isu yang sengaja diada-adakan untuk mengalih perhatian rakyat terhadap permasalahan besar Negara. Beliau menyatakan sedemikian pada Hari Khamis yang lalu dan dibantah oleh PM dan Menterinya pada Hari Ahad kelmarin.


Watak utama yang berperanan sebagai ‘Rambo’ bagi menuntaskan pergerakan kelompok ini dan perancangan mereka adalah Ketua Polis Negara, Musa Hasan. Berita beberapa buah kuil akan dijadikan sasaran serangan Jama’ah Islamiah (JI) pun digembar-gemburkan di media massa. Antara yang dikatakan bakal diserang adalah Kuil Hindu di Batu Caves, Selangor. Soalnya, jika hal ini masih bersifat maklumat yang sedang diselidiki, untuk apa sudah diwar-warkan kepada media? Apakah pihak pemerintah dan pihak keselamatan bodoh atau tidak tahu dampak yang bakal berlaku apabila hal ini didedahkan sedemikian rupa sebelum penyelidikan atau penelitian dapat memastikan kesohihahan hal ini? Apakah tidak bimbang keresahan atau ketegangan antara penganut agama Hindu terhadap umat Islam menjadi masalah?


Dalam melaksanakan misi memerangi teroris, pemerintah Indonesia juga menaikkan nama Jama’ah Islamiah (JI). Sampai saat ini, keberadaan kelompok ini masih kelihatan bersimpang siur. Entah siapa Amirnya (ketuanya), tidak dapat dipastikan. Yang hanya mampu diberitakan di media apabila ada beberapa watak utama seperti Dr.Azhari, Noordin M.Top, Dulmatin dan lain terbunuh, hanya disebut “tokoh-tokoh utama JI maut”. Apakah JI ini benar-benar asli ditubuhkan oleh ‘alumni-alumni’ jihad dari Afghanistan atau Filipina pun masih tidak jelas. Atau JI ini sengaja ‘dihidupkan dan dibela’ agar terus hidup supaya dapat dijadikan modal utama sang pemerintah dalam misi memerangi pergerakan-pergerakan Islam?


Saya mengemukakan pertanyaan-pertanyaan ini kerana saya juga ada membaca buku-buku mengenai bagaimana mudahnya pihak intelijen menyerap masuk ke dalam gerakan-gerakan sebegini diseluruh dunia Islam, bahkan di Indonesia ini sahaja, sudah berapa banyak pergerakan yang didirikan atas nama Islam, namun ternyata yang mendirikannya adalah para intelijen. Lalu mereka melakukan pelbagai penyelewangan atau tindakan-tindakan radikal dan mengatasnamakan Islam. Akhirnya Islam dijadikan sasaran kecaman.


Baiklah, ini bukan topic perbahasan utama saya. Saya hanya ingin mengajak pembaca berfikir sejenak mengenai isu militant yang sedang bising di Malaysia saat ini. Pertanyaanya, mengapa setiap kali muncul isu terorisme atau keganasan, seringkali yang dijadikan perhatian adalah pelajar agama dan institusi agama? Anda baca kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Seri Jamil Khir Baharom:


“Di Mesir terdapat hampir 6,000 pelajar kita yang sedang mengikuti pengajian dalam pelbagai bidang terutama agama dan perubatan, sudah tentu mereka terdedah dengan pelbagai aliran dan fahaman perjuangan serta pergerakan atas nama Islam.


"Namun, kita mempunyai pegawai-pegawai yang sentiasa mengawasi dan berkerjasama dengan pelbagai pihak agar pelajar kita tidak terlibat dengan sebarang gerakan yang melampau," katanya”. Beliau diminta mengulas kebimbangan kemungkinan para pelajar terutama yang mengikuti pengajian di beberapa negara terutama Mesir, Jordan dan Syria terpengaruh dengan pergerakan ekstrem termasuk kumpulan militan Jemaah Islamiah (JI).


Bukan sahaja beliau, salah seorang kakitangan kerajaan Malaysia di Mesir, Khairi Jalalluddin, juga berani mengeluarkan kenyataan sedemikian di FBnya sebagaimana dituturkan oleh Sdr. Muhammad Mujahid bin Ir Haji Mohammad Fadzil di blognya http://ibnuirfadzil.blogspot.com. Beliau menulis “Jihad yang sering disalah ertikan oleh puak militan JI atau nama lamanya Ikhwan Muslimin”.


Saya agak sedikit terusik juga membaca kenyataan singkat beliau ini, bercampur juga sedikit geli hati apabila beliau menyebut ‘nama lain JI adalah Ikhwan Muslimin’. Terusik bukan apa, apabila gerakan militant dikaitkan dengan Ikhwan Muslimin dan Ikhwan Muslimin pula berpusat di Negara Mesir yang disitulah ribuan pelajar Malaysia mendalami agama, ianya fakta mudah untuk pemerintah Malaysia menyulit-nyulitkan atau menghalang pelajar Malaysia ke sana nanti atas alasan bagi mengelakkan terpengaruh dengan pemikiran Ikhwan Muslimin. Bahkan sekarang pun sudah disulitkan pelajar Malaysia untuk ke sana dengan pelbagai alasan.


Geli hati bukan apa, jelas Si Khairi ini tidak memahami sejarah Ikhwan Muslimin dari mana asalnya. Jika kita membaca sejarah gerakan-gerakan Islam di dunia hari ini, kita akan dapati Ikhwan Musliminlah antara gerakan Islam yang masih mengamalkan sikap sederhana dalam menghadapi pemerintah yang memusuhi Islam. Mereka tidak menggunakan pendekatan bersenjata menghadapi pemerintah Mesir. Mereka masih meneruskan pertemuan demi pertemuan, dialog demi dialog dengan pihak pemerintah. Bahkan disaat ada individu-individu yang melakukan aksi-aksi kekerasan bagi menghadapi kezaliman pemerintah secular Mesir, As-Syahid Imam Hasan Al-Banna sendiri mengkritik tindakan tersebut dan mengatakan bahawa “tindakan individu tersebut bukan dari keputusan Ikhwan”. Lalu, bagaimana si Khairi ini ingin mengaitkan istilah militant dengan Ikhwan? Kelompok militant kebiasaannya bergerak secara rahsia dari pimpinan sampailah kepada pergerakan mereka, sedangkan Ikhwan bergerak secara rasmi bahkan saat ini sudah melibatkan diri dengan pilihanraya di Mesir.


Namun, kita tidak pernah menafikan bahawa, adanya beberapa individu yang asalnya anggota Ikhwan, namun tidak senang dengan pendekatan dakwah yang dilakukan oleh Ikhwan dalam menghadapi pemerintah, lalu mereka meninggalkan Ikhwan dan membentuk kelompok baru serta menghadapi pemerintah dengan cara yang agak agresif dan radikal. Maka, ianya tidak boleh dikaitkan langsung dengan Ikhwan, apatah lagi seperti kenyataan Khairi ini “nama lama JI adalah Ikhwan Muslimin”. Jelas! Kenyataan jahat tanpa fakta !


JI tidak ada kaitan dengan Ikhwan Muslimin. JI saat ini dikhabarkan berlegar dibeberap buah negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura, Thailand dan lain-lain. di kalangan mereka ada yang pernah terlibat dengan jihad di Afghanistan, Filipina dan beberapa tempat di Indonesia. Namun, sebagaimana saya nyatakan di awal tadi, pertubuhan ini masih tidak jelas dalam pelbagai hal. ianya perlu dikaji lebih mendalam. ada kemungkinan, di tengah-tengah mereka juga ada intelijen yang sedang berperanan.


Mungkin juga, si Khairi ini tidak dapat membezakan antara Jama'ah Islamiiya (JI) di Mesir, Jamaah Islami di Benua India (Pakistan, Sri Lanka, India, Bangladesh dan Afghanistan) dan Jamaah Islamiyyah di Asia Tenggara yang dikaitkan dengan Al-Qaeda.


Kenyataan Dato’ Seri Jamil Khir juga membimbangkan kita. Idea memantau pelajar-pelajar agama ini idea yang dilaungkan oleh Amerika pasca serangan WTC 2001. Puncanya, di dalam pengajian agama ada mata pelajaran bab JIHAD. Jihadlah yang menakutkan Amerika, Israel dan sekutunya. Lalu, umat Islam pun memantau sesama umat Islam yang belajar mata pelajaran jihad. Akhirnya jihad digambarkan sebagai kegiatan teroris. Lupakah kita bahawa kita dapat beramal dan menjalankan Islam dengan baik pada saat ini adalah kerana hasil jihad orang-orag terdahulu. Maka, mengaitkan jihad dengan keganasan adalah membantu musuh meranapkan Islam! Jika ada individu atau kelompok yang melaksanakan jihad tanpa mengikut aturan dalam Islam, kita tidak pernah mendukungnya. Namun, jika ada yang mengaitkan Islam atau jihad dengan keganasan atau terorisme, kita akan lawan kenyataan mereka ini!


Saya bimbang kenyataan ini kerana ia keluar dari mulut seorang Menteri di bawah kepimpinan Dato’ Najib. Anda kenal Dato’ Najib? Beliaulah yang ketika menjadi Menteri Pertahanan, mengeluarkan kenyataan “SEKOLAH AGAMA RAKYAT SARANG TERORIS!”. Jangan lupa. Jangan lupa. Jangan lupa. Israel sedang berada di Malaysia saat ini menjadi penasihat sang penguasa.

Tiada ulasan: