Sabtu, 6 Februari 2010

Aktivis Mahasiswa Teruskanlah Demonstrasi !

Ketika berbicara dan berkongsi pengalaman dengan sahabat-sahabat di Aceh yang merupakan aktivis Kesatuan Aksi Mahasiswa Muslim Indonesia (KAMMI) Cabang Aceh, ketuanya, Sdr.Muaz menyebut “demonstrasi mahasiswa memberi kesan yang besar dalam merubah regim yang memerintah”. Beliau menceritakan detik awal bagaimana regim Suharto ditumbangkan pada 21 Mei 1998 hasil tangan gerakan mahasiswa yang jumlahnya puluhan ribu orang.


Beliau menegaskan, KAMMI bukan lagi berbicara isu-isu yang bersifat kekampusan. Tetapi dilatih menjadi golongan yang berfikir keras, bijak merencana, berani berbicara dan mengeluarkan pendapat, dilatih bertemu para pemimpin negara atau tokoh-tokoh masyarakat, dilatih bagaimana menggerakkan massa melalui demonstrasi dan sebagainya. Pokoknya, penekanan KAMMI kepada anggotanya tertumpu secara khusus ke wilayah politik. Adapun, di peringkat kampus, sudah bertebaran gerakan dakwah kampus yang menggerakkan perekrutan dan pentarbiyahan.


“Kami tidak menyangka bahawa regim Suharto berjaya diturunkan pada tahun 1998 dan KAMMI berjaya mendeklarasikan penubuhan Partai Keadilan Sejahtera (PKS). Alhamdulillah, kami diberi waktu oleh Allah untuk berjaya 10 tahun lebih awal dari target kami yang sebenar” jelas beliau. Kini, kebanyakan anggota Parlimen PKS adalah mereka yang sudah dilatih dengan dunia politik sejak bersama KAMMI.


“Suatu hal yang penting, kita (gerakan mahasiswa) mesti bersifat merakyat…iaitu turun ke bawah, menyelami permasalahan rakyat, suarakan isu-isu mereka, soal kemiskinan, masalah rumah dan sebagainya..menangi hati rakyat. Ketemu para petani, warga desa…akhirnya mereka yang bersama kita ketika turun ke jalan raya pada tahun 1998”. Sebelumnya, rakyat bawahan turun berdemo ala mereka. Amukan dan sebagainya. Namun, bagi gerakan mahasiswa, aksi kita bukan seperti tindakan rakyat, tetapi kita langsung berdiri dihadapan pagar bangunan Parlimen. Di satu sisi, kita telah berjaya mendapatkan dokongan rakyat..akhirnya Mei 1998, kita turun dengan semua lapisan masyarakat. Gerakan mahasiswa kita gabungkan sahaja untuk peringkat awal. Tidak kira mereka berideologi sosialis, komunis, haluan kiri atau kanan..gabungkan sahaja. Selepas regim berjaya ditumbangkan, iya..kita terus dengan perjuangan kita..Islam”


Beliau agak terkesan apabila mendengar khabar teman-teman dari seberang iaitu Malaysia yang bukan sahaja masih minimal dalam memperjuangkan isu rakyat, namun masih dalam tempoh tekanan dan penipuan di peringkat university lagi, bahkan sampai FRU di hantar masuk ke kampus membelasah mahasiswa. Kata beliau, bantahan mesti diteruskan. Jangan hentikan demonstrasi. Gerakkan dari kecil menjadi besar. Bagi KAMMI, senjata ampuh bagi menghadapi regim adalah dengan demonstrasi dan ternyata perubahan besar yang berlaku di Indonesia saat ini sejak 1998 adalah hasil demonstrasi. Beliau juga menekankan keperluan gerakan mahasiswa menguasai media.


Saya kira, ada benarnya teori yang beliau kemukakan ini. Kita boleh menerima kekalahan dalam pilihanraya kampus, namun biar dengan jalan yang benar. Maka, demonstrasi demi demonstrasi di peringkat kampus yang menghadapi beberapa permasalahan dalam pilihanraya baru-baru ini, mesti diteruskan. Jangan hentikan sehingga ada perubahan. Kemuncaknya, gabungkan semua aktivis ini menjadi sebuah gelombang yang besar yang bergerak di tengah kota raya, Kuala Lumpur. Saya yakin, pimpinan mahasiswa Malaysia sudah memikirkan dan merencanakannya. Biarkan anda digelar,mahasiswa tidak matang atau apa pun! Teruskan demonstrasi !

Tiada ulasan: