Isnin, 31 Januari 2011

Masyarakat Jahiliyyah: Dulu, Kini dan Selamanya

Dalam peristiwa hijrah ke Habsyah kali kedua yang berlaku pada Bulan Syawal tahun ke-5 Nubuwwah (Kenabian) yang disertai oleh 83 kaum Muslimin dan 19 kaum Muslimat, berlaku sebuah dialog diantara Raja Najasyi (Habsyah) dengan Ja’afar bin Abi Talib (sepupu Nabi) iaitu ketua rombongan kaum Muslimin. Dialog menarik ini berlaku rentetan dari tindakan pihak kafir Quraisy di Kota Makkah yang mengutus 2 orang wakil mereka iaitu Amru bin Al-Ash dan Abdullah bin Abi Rab’iah ke Habsyah bagi memprovokasi Najasyi agar menghalau umat Islam keluar dari negaranya.

Ketika berdiri dihadapan Najasyi, penguasa Nasrani (Kristian) yang adil melaksanakan pemerintahan dan seorang yang benar-benar mengetahui isi kandungan Kitab (Injil), Ja’afar memberikan penjelasan yang sangat hebat dan mengagumkan meliputi gambaran bagaimana kondisi masyarakat Arab di tengah Kota Makkah sebelum kedatangan Islam, latar belakang Nabi Muhammad s.a.w dan apa intipati ajaran Islam yang diserukannya. Penjelasan yang diiringi dengan tangisan oleh Najasyi dan para Menterinya ini adalah seperti berikut:

“ Wahai Raja! Dulu kami adalah pemeluk agama Jahiliyyah. Kami menyembah berhala-berhala, memakan bangkai, berbuat zina, memutuskan tali persaudaraan, menyakiti jiran dan yang terkuat diantara kami, menindas yang lemah. Begitulah gambaran kami dahulu sehinggalah Allah mengutus seorang Rasul dari kalangan kami yang kami ketahui nasabnya, kejujurannya, amanahnya dan kesucian dirinya.

Beliau menyeru kami kepada Allah untuk mengesakannya dan menyembahNya serta meninggalkan penyembahan kami dan bapa-bapa kami terhadap batu dan patung. Beliau juga memerintahkan kami untuk bercakap jujur, melaksanakan amanah, menjalin hubungan kekeluargaan, berbuat baik kepada jiran, menghormati hal-hal yang disucikan dan darah. Beliau melarang kami berzina, berkata palsu, mengambil harta anak yatim dan menuduh wanita-wanita suci. Beliau memerintahkan kami untuk menyembah Allah semata-mata, tidak mensyirikkanNya dengan sesuatu apa pun, memerintahkan kami mengerjakan solat, mengeluarkan zakat dan berpuasa. (Ja’afar menyebut beberapa ajaran Islam yang lain).

Lalu kami membenarkan, beriman dan mengikuti beliau atas apa pun dari agama Allah. Lalu kami menyembah Allah semata, tidak menyekutukan sesuatu dengaNya, kami mengharamkan apa pun yang diharamkan ke atas kami, menghalalkan apa pun yang dihalalkan kepada kami. Lalu kaum kami memusuhi kami, menyiksa kami dan menimbulkan cubaan terhadap agama kami dengan tujuan untuk mengembalikan kami kepada penyembahan terhadap patung, tanpa diperbolehkan menyembah Allah, agar kami menghalalkan berbagai macam keburukan seperti dahulu.

Setelah mereka menekan kami, berbuat sesuka hati, mempersempit gerak kami dan menghalangi kami dari agama kami, maka kami pun pergi ke negeri tuan dan memilih tuan daripada orang lain. Kami gembira mendapat perlindungan tuan dan kami tetap berharap agar kami tidak dizalimi di sisi tuan, wahai Raja!

Apakah engkau boleh membacakan sedikit ajaran dari Allah yang dibawa (Rasulullah)? “tanya Najasyi. “Ya” jawab Ja’afar. Lalu Ja’afar membacakan dan menghafaz dari Kaf Ha’ Ya’ Ain Shod…..(Surah Maryam). Demi Allah, Najasyi menangis sehingga membasahi janggutnya, begitu pula para Menterinya sehingga janggut mereka basah dengan air mata tatkala mendengar apa yang dibacakan kepada mereka. Lalu kata Najasyi, “ sesungguhnya ini dan yang dibawa oleh Isa (Nabi) benar-benar keluar dari satu jalan. Pergilah kalian berdua. Demi Allah! Aku tidak akan menyerahkan mereka kepada kalian berdua dan sama sekali tidak!”

Inilah sebahagian dari dialog agung yang berlaku antara 3 pihak ini iaitu Najasyi, wakil kafir Quraisy dan wakil kaum Muslimin. Dalam hal ini, yang ingin penulis bicarakan adalah mengenai gambaran masyarakat Arab Jahiliyyah yang disampaikan oleh Ja’afar bin Abi Talib.

Kalimah “jahiliyyah” diambil dari kata “jahala, yajhalu, jahlan” yang membawa pengertian “bodoh, dungu, tidak berilmu pengetahuan dan melakukan tanpa pengertian. Namun disudut istilah, para ulama’ mempunyai definisinya yang pelbagai.

Syed Quthb di dalam bukunya “Ma’alim Fit Thoriq” (Petunjuk Sepanjang Jalan) menjelaskan: “ jahiliah adalah pengabdian diri oleh manusia atau dalam erti kata yang lain, pengabdian sepenuhnya tidak kerana Allah.”

Muhammad Quthb di dalam bukunya “Jahiliyyah Fi Qarni ‘Isyrin” (Jahiliyyah Abad 20) menjelaskan: “ jahiliyyah bukanlah terbatas kepada waktu, tempat, suasana, tetapi jahiliyyah adalah kerana tidak mengambil syariat Allah s.w.t sebagai cara hidup. Dalam erti kata yang lain kerana menolak hidayah Allah atau menentang hukum Allah.”


Ertinya, masyarakat Arab pada waktu tersebut digelar Arab Jahiliyyah bukan kerana kebodohan, sebab mereka sebelumnya sudah mempunyai tamadun yang sangat hebat seperti orang-orang Saba’ yang telah berjaya membina empangan Ma’arib yang sangat terkenal dalam sejarah. Mereka digelar jahiliyyah kerana mengambil jalan hidup selain dari yang ditetapkan oleh Allah.

Kesimpulannya, masy
arakat jahiliyyah itu ada dimana-mana tanpa terikat dengan negara tertentu atau tempoh masa tertentu yang kejahiliyyahan itu merangkumi pelbagai hal baik disudut aqidah, ibadah, ekonomi, politik, social dan seumpamanya.

Sumber Rujukan:
1) Sirah Nabawiyyah : Sheikh Shafiyurrahman Al-Mubarakfuri
2) Manhaj Usrah Pas – Peringkat Ta’arif 2.

Tiada ulasan: