Sabtu, 30 Mei 2009

Misi Menyelamatkan Generasi Muda

Lebih 3 jam saya duduk bersama dengan beberapa teman-teman mahasiswa & mahasiswi yang berasal dari Jengka yang kebetulan pulang bercuti. Kali ini, kami menggerakkan ‘Brainstoming’ bersama yang agak berat. Dengan memanfaatkan sebaik mungkin kaedah ‘memerah otak’ ini dengan menggunakan pendekatan mencari kekuatan, kelemahan, peluang dan ancaman (SWOT) , kami merencana satu misi besar. Misi ‘menyelamatkan generasi muda’ dikawasan Felda Jengka yang meliputi Felda Jengka 1 sehinggalah Felda Jengka 25. Sudah tentu, area ‘bandar’ adalah target terawal kerana ia adalah ‘pusat anak muda’.

Wasilah bagi melaksanakan misi ini, kami persetujui untuk menggerakkan semaksima mungkin seluruh mahasiswa yang berasal dari Jengka dibawah satu gabungan atau kesatuan mahasiswa Muslim Jengka. Ianya sebuah tugas yang berat dan memerlukan perencanaan yang sangat teliti, marhalah demi marhalah, kajian dan penilitian sehinggalah pergerakan dakwah yang dipelopori oleh anak muda dari kampus yang mensasarkan generasi muda sebagai mad’u ini bisa dimulai seawal 2010. InsyaAllah.

Pagi ini, kami memulakan perbincangan. Antaranya bagaimana bentuk kesatuan mahasiswa ini, kita mahu masyarakat sekitar mengenali kita sebagai gerakan apa samada perjuangan pendidikan atau dakwah atau tumpuan social atau kebajikan dan sebagainya, bagaimana cara mem’publish’kan kewujudannya nanti, apakah pendekatannya, adakah wujud model mana-mana pergerakan yang boleh dicontohi, apakah ia bebas, bagaimana mahu menghimpunkan seramai mungkin mahasiswa dari Jengka untuk bergabung bersama kesatuan yang akan dibina ini, apakah ada pertubuhan yang boleh kami lakukan kejasama dan sebagainya. Memang menyakitkan kepala berfikir pekara sebegini. Namun, keyakinan kami tegas bahawa mahasiswa adalah golongan anak muda yang terdidik yang sangat memahami jiwa generasi muda hari ini dan merekalah yang perlu segera turun ketengah ummah muda ini mendampingi mereka dengan pelbagai cara.

Semua ini dilakukan berikutan pemerhatian kami terhadap keadaan generasi muda baik yang berada disekolah menengah atau sudah melepasi alam persekolahan disekitar Jengka yang agak parah dan makin parah. Bukanlah mahasiswa golongan terbaik segala-galanya. Kami juga mengharapkan agar teman-teman yang berasal dari tempat ini dan masih berstatus mahasiswa baik pengajian Islam atau tidak dan mempunyai fikrah yang baik untuk membantu gerak kerja ini agar dapat bersama apabila ianya berjaya dibentuk satu waktu nanti. Kini segala-galanya masih dalam proses pembikinan dari semua sudut yang terpaksa melalui beberapa marhalah yang tersusun.

Kami juga mengharapkan teman-teman mahasiswa dikawasan lain bisa mengusahakan yang lebih baik di tempat mereka dan juga bisa memberikan pandangan pada kami dalam tempoh yang masih lama ini. Emailkan kepada saifulislam_gema@yahoo.comsalam perjuangan.

Jumaat, 29 Mei 2009

Pahit getir saudara baru dalam Islam

8 tahun yang lalu pemuda India lingkungan 30-an ini melafazkan kalimah Syahadah dihadapan Al-Fadhil Ust Shahril Azman bin Abdul Halim Al-Hafiz, Mudir Ma’ahad Tahfiz Ar-Rahimiyah, Bandar Jengka yang kini diamanahkan sebagai Ketua Dewan Pemuda Pas Kawasan Kuala Krau, Pahang dan Tim.Ketua DPP Pahang (2009-2011). Rumah Al-Fadhil Ust Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man di Rantau Perintis, Bandar Jengka sering diziarahinya, tujuan menuntut ilmu dan meminta pelbagai nasihat sebagai saudara baru dalam Islam.

Jika mendengar dia berbicara, pasti orang tidak menyangka pemuda berkulit hitam manis ini adalah bangsa India. Bahasa Melayunya fasih sekali. Manakan tidak, terlalu lama beliau hidup dikelilingi masyarakat Melayu.

Diawal pengisytiharan keIslamannya, tekanan dari keluarga khasnya ibu bapa sangat menguji ketabahan beliau. Dimaki hamun, dimarahi dan dihambur pelbagai kata sudah lali baginya. Namun, prinsipnya yang tegas dan jelas membuatkan ibu bapa dan ahli keluarganya yang lain akhirnya akur dengan pendiriannya. Walaupun telah menjadi seorang Muslim, namun saat ibu bapanya sakit dan terlantar dihospital, beliau tetap datang menziarahi kerana meyakini beliau juga mempunyai hak dan kewajipan sebagai seorang anak. Bahkan apabila berlaku kematian neneknya sendiri, beliau tetap mengambil cuti dari bekerja semata-mata ingin menghadiri rumah neneknya itu. Dengan tidak berkopiah, beliau terus masuk ke bilik menghadap mayat neneknya, bahkan apabila ahli keluarga lain bertungkus lumus memikul tong-tong air ( dengan pelbagai jenis adat ), beliau turut memikul tong berisi air tersebut. Katanya “ bagi saya memikul air untuk memandikan mayat, itu tidak bermasalah, yang masalah apabila mengikut adat-adat lain seperti wajib memakai kain putih sebelum mengangkat air ditambah dengan jampi mentera yang syirik..maka, yang itu saya tidak sertai”.

Beliau yang kini masih bekerja di kilang ALPS, Bandar Jengka mengakui sedikit kekecewaannya terhadap sikap dan salah faham segelintir umat Islam terhadap saudara baru. Sebagai contoh katanya, ada seorang temannya yang kematian bapa. Lalu apabila bertemu dengan seorang ustaz, temannya itu diminta untuk datang menziarahi sahaja dan tidak dibenarkan masuk untuk melihat mayat bapanya apatah lagi menyentuh jasadnya bapanya yang bukan Muslim itu. Beliau yang turut hadir pada hari kematian bapa temannya itu terkejut melihat temannya hanya termenung dibawah pokok dihadapan rumah tanpa masuk ke dalam. Lalu dia terus bertanya puncanya. Setelah diterang, beliau pun faham apa yang sedang berlaku dan terus mengarahkan juga temannya itu masuk ke dalam. “ kamu duduk diluar, ini bukan dakwah..masuk ke dalam itu yang jadi dakwah..” Sedikit pertengkaran kecil berlaku antara beliau dan ustaz yang memberi arahan pada temannya itu.

Tambah beliau “ Alhamdulillah..saya ini memang jenis mudah bergaul..jadi tidak ada masalah untuk bersama orang-orang Melayu Islam..mereka mudah menerima saya”. Namun, beliau juga tidak menafikan antara masalah yang sering berlaku adalah sikap saudara baru itu sendiri yang selepas memeluk Islam, sukar untuk beramah mesra dengan orang Melayu, mengasingkan diri…dan juga sikap orang Melayu yang sering menjadikan saudara baru merasa terasing…biasalah kadang-kadang masalah bahasa..dan sebagainya…” Beliau juga merasa hairan apabila disebut Islam, seolah-olah Islam itu kepunyaan Bangsa Melayu sahaja.

Bahkan, beliau merasa sedikit kecewa setelah masuk Islam, barulah beliau tahu penggunaan nama ‘Abdullah’ kepada bapa yang tidak masuk Islam, tidak perlu pun. Kata beliau, “ Ikrimah pun masih binkan bapanya iaitu Abu Jahal”. Isu ini pernah dibahaskan dan dipersetujui oleh Tn.Guru Nik Abdul Aziz pada tahun lepas kerana melihat isu menukar nama bapa menjadi Abdullah menjadi antara masalah yang merumitkan non-Muslim untuk memeluk Islam. Padahal, menggunakan nama bapa yang asallah menyebabkan ianya menjadi dakwah kepada ibu bapa tersebut apabila melihat keterbukaan Islam.

Saudara baru ini juga mengakui bahawa setakat ini, lebih daripada 30 orang non-Muslim yang berjaya ‘dipegang’ olehnya dengan matlamat untuk diIslamkan. Seronok dan bangga kami mendengarnya. Ust Farid Ravi, Shahkirit, Lim Joi Soon dan Ust Farhan Abdullah (Mudir Ma'ahad Tahiz di Sabah) adalah orang-orang yang beliau sering menjalinkan hubungan dalam menggerakkan dakwah kepada non-Muslim. Beliau kini aktif bersama mereka melalui program-program pengajian ‘Perbandingan Agama’ melalui sebuah pertubuhan saudara baru yang saya kurang ingat namanya.

Kemesraan jelas terpancar diwajah pemuda berbangsa India ini. Beliau lantas menghulurkan kepada saya sekeping CD yang berisi penuh dengan pelbagai jenis program Power Point, kertas-kertas kerja dan sebagainya mengenai sejarah-sejarah semua agama, perbandingan-perbandingan dan yang berkaitan setelah mengetahui saya berada dibidang Ushuluddin. “Kalau kamu mahu bantu kami, hubungi sahaja saya..bagus kamu dalami Ushuluddin..”

Beliau yang agak tertarik dengan helaian kertas yang saya edarkan kepada ahli jama’ah surau di Felda Sg.Tekam Utara, Jerantut ketika kuliah Maghrib malam tadi mengenai Konsep Syahadah & Tuntutannya , lantas bertanya “ boleh saya ambil kertas ini ? saya mahu gunalah…bagus isinya..ini yang penting..kadang-kadang selepas kita mengIslamkan orang..kita tidak ajar dia apa itu tuntutan Syahadah dan kewajipan-kewajipan terhadap Syahadah…ini yang masalah..” Saya hanya menjawab “ maaf bang…kertas ini ringkas sangat..saya pun ringkaskan dari sebuah buku..”

Alhamdulillah, kebetulan buku yang saya ringkaskan itu terdapat didalam beg yang saya bawa. “ Ambillah buku ini bang..saya ada lagi dirumah..maaflah..buku ini diterbitkan oleh PAS ..yang diguna untuk proses tarbiah dalam Pas..” Beliau hanya tersenyum dan mengambil buku itu sambil melihat tajuk-tajuknya yang bermula daripada Bab Aqidah, Syahadah, Perkara Membatalkan Syahadah, Islam dan Ciri-Cirinya dan lain-lain. Dihadapan kulit buku berwarna ungu itu tertera tulisan “ terbitan Lajnah Tarbiah PAS Pusat..peringkat Ta’arif..

Setelah agak lama berbual dengan beliau selesai solat Isya’ disurau berkenaan, saya mohon izin untuk pulang sambil berpelukan dengannya. Kata-kata semangat dan harapan darinya menusuk kelubang telinga saya supaya terus belajar.

Anak muda yang menukar namanya daripada nama India kepada nama ‘Muhamad Azizi Iqmal saling bertukaran email dan no tel untuk saya hubungi. Teman-teman pembaca boleh melayari blog peribadinya : http://iqmal-slaveofallah.blogspot.com atau menghubungi beliau melalui email azizi.iqmal@yahoo.com atau g-mail sorgam3@g-mail.com

Mudah-mudahan Allah membantu beliau dan seluruh saudara baru untuk melebarkan sayap dakwah keseluruh Malaysia. InsyaAllah.

Khamis, 28 Mei 2009

Perkongsian: Tips-Tips Kuliah dihadapan ibu-bapa

Setelah menyampaikan kuliah Maghrib di Masjid Ketari, Bentong semalam berkisar mengenai peringatan-peringatan Allah diakhir zaman, petang tadi sekali saya diamanahkan menyampaikan Kuliah Mingguan untuk muslimat ( makcik – makcik ) di Felda Jengka 16. Rasanya sudah kali ke-3 saya bersama ibu-ibu yang merupakan muslimat Pas dicawangan ini. Kali ini dihadapan sekitar 20 orang ibu-ibu dibawah markaz yang sedang dalam pembinaan. Perbahasan mengenai ‘Konsep 2 kalimah Syahadah & Tuntutannya”.

Awalnya agak kekok untuk saya berhadapan dengan mereka. Kuliah dihadapan pelajar atau mahasiswa berbeza dengan kuliah secara khusus dihadapan muslimat apatah lagi kaum ibu. Agak rumit, tetapi menyeronokkan. Rumit kerana ibu-ibu adalah golongan yang telah berumur. Maksudnya , mereka orang-orang tua. Jadi, tidak semua perbahasan ilmu boleh disampaikan secara umum kepada mereka. Untuk menceritakan soal tarbiah, fikrah dan seumpamanya perlu dikurangkan sedikit. Konsep dakwah adalah da’ie wajib memahami tahap pemahaman dan pemikiran mad’u. Seronok kerana kebiasaannya ibu-ibu tumpuannya sangat bagus.

Namun, saya juga terus berusaha untuk membuang ‘khurafat’ yang mengatakan golongan wanita khasnya ibu-ibu tidak boleh menerima tajuk-tajuk kuliah berkisar tentang tarbiah, aqidah, perjuangan dan sebagainya dan hanya mampu menerima pengisian berbentuk kewanitaan seperti hokum Fiqh semata-mata.

Kita mesti memecahkan kepercayaan ini kerana mana mungkin ilmu Allah terbatas kepada sesuatu kaum sahaja dan satu kaum lagi tidak boleh menerimanya. Ya, benar ! Mungkin wanita kurang atau sedikit sahaja yang menceburkan diri atau berusaha memahami urusan kepimpinan, dakwah, tarbiah dan perjuangan, namun saya juga yakin ibu-ibu ini juga bisa menerima bab-bab ini. Yang penting adalah soal ‘uslub’ iaitu bagaimana teknik atau cara penyampaian kita khasnya dalam tajuk-tajuk yang agak ‘berat’ ini.

Antara yang saya boleh kongsi sedikit dengan teman-teman pembaca sekalian yang akan atau mungkin sudah berada ditengah masyarakat dan sering berperanan sebagai pengkuliah khasnya, tips-tips ini boleh diguna pakai :

1) Sebaik-baiknya, jika kita kuliah kali pertama disesebuah tempat, maka perkenalkan sedikit latarbelakang diri secara ringkas selepas Muqaddimah. JANGAN TERPERINCI dari A sampai Z. Cukup pengenalan umum sahaja. Berhati-hati dalam memperkenalkan sesuatu yang tidak perlu disampaikan kepada umum.

2) Apabila menyampaikan kuliah dihadapan ibu-bapa (orang tua) khasnya dikampung-kampung yang mungkin tahap ilmu mereka agak rendah, maka jangan menyampaikan kuliah terlalu ilmiah. Ilmiah pada maksud saya adalah, elakkan menyampaikan terlalu banyak pandangan-pandangan ulama’ itu dan ini. Apabila berbicara soal hokum, cukup nyatakan satu sahaja pandangan ulama’ yang lebih rojih (kukuh) khasnya yang kita amalkan. Jangan sebut “ ini pandangan ulama’ ini..yang ini pula begini…yang itu pula begitu..jadi, pakcik pilihlah mana-mana yang pakcik mahu..” .Ucapan sebegini tidak wajar kerana ibu bapa sebegini lebih suka mengikuti apa yang diamalkan oleh pengkuliah tersebut. Maka nyatakan apa yang kita amalkan dan sebab kita mengamalkan yang itu.

3) Apabila sampaikan tajuk-tajuk yang sedikit ‘berat’ , maka pastikan suara kita jelas, bahasa kita jelas dan mudah difahami dan penjelasan kita tidak terlalu ringkas dan acuh tidak acuh dalam menghuraikannya. Jangan sampai ibu bapa ‘tidak senang’ dan bertambah kusut mendengar penyampaian anda.

4) Apabila ingin menambah minat ibu bapa, selitkan contoh-contoh berbentuk cerita-cerita ( Nabi, sahabat, ulama’ dan sebagainya ) atau pengalaman-pengalaman kita. Mendengar kisah-kisah sebegini kurang membosankan mereka.

5) Waktu kuliah jangan terlalu lama. Elakkan kuliah dihadapan ibu bapa melebihi tempoh 1 jam. 45 minit adalah masa yang sudah baik. Apabila melihat ibu bapa atau sesiapa sahaja mad’u kita majority sudah ‘duduk tak senang’ , bergerak kesana kemari, gelisah dan sejenisnya, maka usahakanlah berhenti segera mungkini kerana reaksi-reaksi tersebut menandakan pendengar sudah bosan dan terasa terlalu lama. Kesimpulannya, ‘jangan syok sendiri’.

6) Jangan gunakan bahasa-bahasa atau istilah-istilah yang terlalu tinggi kecuali jika anda menghuraikannya. Penyampaian dihadapan ibu bapa dikampung-kampung santai-santai sahaja, jangan terlalu ‘skima’ dan terikat dengan buku / kitab.

7) Seboleh-bolehnya, usahakan agar memandang keseluruhan wajah-wajah ibu dan bapa sepintas lalu. ( Jangan tenung sorang-sorang ye..:) Melihat mereka seolah-olah kita menghargai dan kita senang dengan mereka. Ini bab sikologi sahaja. Sebagaimana kita berbual dengan sahabat sendiri, lalu dia menjawabnya dengan tidak memandang muka kita, kita tentu merasa tidak senang.

Adapun, menyampaikan kuliah dikawasan bandar, dihadapan golongan terdidik seperti pensyarah, guru-guru atau pegawai kerjaan, kita bincang dalam bab lain.InsyaAllah. Saya rasa itu sahajalah yang dapat saya sampaikan sekadar perkongsian pengalaman peribadi. Boleh diterima dan boleh ditolak. Ambillah yang anda rasakan baik. – Salam perjuangan..jumpa lagi:)

Rabu, 27 Mei 2009

Antara harapan & amanah

Beberapa hari berada di Kelantan, kami sempat bersama dengan beberapa individu-individu penting dalam rangka membincangkan hala tuju dakwah dan perjuangan Islam di Malaysia khasnya yang melibatkan pergerakan mahasiswa selain dari membantu urusan kehadiran bakal-bakal mahasiswa baru dari Kias yang akan melanjutkan pengajian ke IAIN Ar-Raniry. Makluman terkini yang kami terima, Jordan telah membuka peluang kepada mahasiswa Kias untuk melanjutkan pengajian kesana bermula tahun ini dan Madinah kemungkinan tahun hadapan. Inilah usaha-usaha yang terpaksa dilakukan oleh kolej-kolej Islam sebagai alternative selepas pembatalan Mou Al-Azhar.

Ketika kami bertemu Ust Dzulkhairi, Pres.Gamis di Kota Bharu, Ahad yang lalu, sambil minum berhampiran Masjid Muhammadi, kami langsung bertanyakan khabar mengenai idea beliau yang disampaikan melalui artikel diblognya seminggu yang lalu untuk menggerakkan konvensyen gabungan antara mahasiswa diseluruh kolej-kolej Islam di Malaysia. Subhanallah. Idea beliau dan Gamis sangat kami hargai. Rencananya, mahasiswa dari seluruh kolej-kolej Islam menjadi suara yang kuat bersama Gamis dalam menyuarakan isu-isu berkaitan kepentingan ummah. Mahasiswa dari kolej-kolej Islam persis ulama’ muda dibelakang Gamis. Walaupun masih diperingkat perancangan, kita harapkan ada kampus-kampus ini yang bersedia dan sanggup menerima pelawaan Gamis untuk menjadi tuan rumah jika konvensyen ini diterima pelaksanaannya.

Beliau turut berkongsi sedikit sebanyak perkembangan terkini aktiviti-aktiviti Gamis seperti konsert mega yang bakal diadakan sekitar Jun ini di Stadium Shah Alam. Ini meupakan lembaran baru dalam usaha Gamis memperkenalkan alternative kepada hiburan Islam yang digerakkan oleh mahasiswa. InsyaAllah. Sedikit sebanyak mengenai perkembangan dunia Indonesia dan kemahasiswaannya turut kami kongsi bersama beliau disamping harapan-harapan yang tinggi menggunung dari beliau kepada mahasiswa Islam yang disuarakan.

Semalam (Isnin), dalam perjalanan pulang dari rumah seorang sahabat di Kelantan bersama seorang Ust yang agak aktif didalam Dewan Ulama’ Pas Kelantan, terus saya mencungkil pandangannya mengenai perkembangan Pas dan politik Malaysia. Antaranya mengenai kenyataan Ust Nik Abduh tentang ‘kerja-kerja bodoh dalam Pas’ yang disiar melalui artikel diblognya serta kenyataan terbaru dari Ust Mohamad Daud Iraqi (Ketua Dewan Ulama’ Pas Pusat) mengenai kewujudan budaya menggunakan wang didalam pemilihan pimpinan Pas dibeberapa peringkat. Alhamdulillah, saya semakin jelas mengenai kondisi yang sedang berlaku. Cukup sebagai pengetahuan sahaja yang saya tidak akan sampaikan disini. Saya hanya mampu berdoa agar Allah terus melindungi Pas dari sesiapa sahaja yang mempunyai kepentingan-kepentingan agar Pas benar-benar dilihat sebagai Gerakan Islam, bukan parti politik untuk menghadapi Umno semata-mata.

Sekitar waktu Asar, kami yang singgah di kedai buku Jaffar Rawas ditengah Kota Bharu bertemu dengan YB Ust Abdullah Yaakob, Adun Air Lanas, Jeli. Beliau masih mengingati kami yang pernah mengadakan program keluarga angkat dikawasan beliau pada tahun lepas seramai lebih dari 100 mahasiswa tahun 2 dan 3. Selepas diajak minum bersama di hadapan hotel Ansar sambil berkongsi pengalaman pengajian diAceh, kami diajak mengikuti sebuah program anjuran kerajaan negeri. Kami sangat senang dengan wakil rakyat Pas di Negeri Kelantan. Mereka mudah ditemui dimana-mana dan tidak ‘mahal’ untuk duduk bersama siapa sahaja diwarong. Y.B Solahudin Ayob juga kelihatan minum di sebuah warong berhadapan hotel Ansar dan malamnya beliau menaiki bas di Jalan Hamzah, KB Mall untuk pulang ke KL. Saya menanti-nanti untuk melihat YB Umno menaiki bas...

Jam 05.15, kami memasuki Hotel Raudah mengikuti majlis perasmian Sukarelawan Pendidikan Rakyat yang dirasmikan oleh Dato’ Ahmad Yaakob (TMB). Turut menyampaikan ucapan Al-Fadhil Ust Abu Bakar Chik sebagai ‘pembawa’ idea perancangan ini. Sukarelawan ini bertujuan menggerakkan usaha menyelamatkan anak-anak muda di Negeri Kelantan dari budaya-budaya tidak sihat seperti Mat Rempit, kegiatan jenayah dan sebagainya dengan metode mendekati mereka membawa nasihat.

Malamnya, kami bertolak pulang ke kampong asal masing-masing setelah selesai menguruskan beberapa tugasan. Akhir minggu ini mungkin kami berpeluang menonton lagi suasana menarik di airport LCCT, KL iaitu orang-orang bertopeng putih pasca selesema babi. Kasihan..babi pun kena selesema. Kalaulah babi berkumpul beramai-ramai mencari ubat selesema di klinik……Islam sahaja penyelesaian masalah ini. Jangan angkuh bila Allah sudah syariatkan sesuatu perkara.

Sabtu, 23 Mei 2009

Kuliah Ust Taib Azamudin

Kondisi di tanah air hari ini agak parah, kritikal dan memeningkan. Baik kemelut rampasan kuasa di Perak yang berakhir dengan kegelisahan dikalangan rakyatnya terhadap status MB, reputasi mahkamah sebagai elemen penting dalam perundangan yang kian bercelaru dek campur tangan pihak penguasa yang gila, permasalahan ummah yang semakin meruncing dan 1001 jenis kekacauan dan keributan lain. Maka setiap detik waktu, muncullah orang-orang baik individu atau berkumpulan yang muncul ditengah-tengah badai kekacauan ini akhirnya mendabik dada mengaku mereka adalah ‘BENAR’ dan berada dipihak yang ‘BENAR’.


Al-Fadhil Y.B Ust Taib Azamudin ( Ahli Parlimen Baling / bekas Imam Masjid Negara ) mengambil inisiatif yang baik dan tepat pada waktunya, membahasakan permasalahan ini dalam Kuliah Maghribnya pada malam tadi yang bertajuk ‘BENAR’ di sebuah masjid di Gombak ketika saya menumpang teduh dirumah seorang teman.


Antara isinya adalah:


1) Benar adalah apa yang mendorong kita untuk mengerjakan kebaikan. Benar adalah bersumber dari iman. Orang yang bermasalah imannya, maka bermasalahlah sudut kebenarannya. Antara peringkat benar : sidqatullisan ( benar pada lidah / ucapan ), benar pada tindakan dalam segenap aspek kehidupan. Ukuran benar atau tidak tindakan itu adalah tindakannya benar-benar selaras dengan kehendak Islam. Maka barulah ia boleh mengaku dia golongan ‘BENAR’.


2) Antara kesilapan ibu bapa pada hari ini adalah, mereka sering menyebut kepada anak-anak yang ingin menyambung pengajian : “ belajarlah tinggi-tinggi…balik nanti mudah dapat kerja..” Ini adalah ucapan yang bermasalah. Kita telah rosak niat daripada belajar sebagai tuntutan ibadah menjadi belajar sebagai alat mencari pekerjaan dan penghidupan. Padahal dengan ilmu itu nantilah, rezeki itu Allah berikan tanpa kita merosakkan niat dengan belajar untuk kerja.


3) Orang berilmu atau sesiapa sahaja mesti menjaga soal halal haram khasnya dalam urusan makan dan minum. Cuba sedaya upaya ‘memberatkan tulang’ daripada makan sesuka hati atau ‘ikut dan’ sahaja dimana-mana kedai tanpa mempedulikan soal bagaimana solatnya si peniaga, akhlaknya, pengetahuannya tentang toharah ( penyucian )…bagaimana kita boleh makan dikedai orang yang kita ketahui tidak menjaga solat atau tidak solat, orang yang tidak tahu urusan toharah..maka, inilah antara punca iman kita menjadi bermasalah..kebenaran sukar diterima..makanlah dikedai orang yang kita jelas urusan ibadahnya, menjaga solatnya, tahu kemana wang rezekinya dibelanjakan..maka,para ulama’ jarang kelihatan makan dikedai-kedai melainkan dirumah mereka sendiri hasil tangan mereka sendiri..


4) Perkembangan dakwah Islam di Malaysia sangat mengejutkan, tetapi membanggakan. 15 tahun dahulu, kita tidak terfikir orang Hindu, Buddha dan sebagainya boleh dekat dengan umat Islam. Kini, mereka sudah berani bertemu Tn.Guru Nik Abdul Aziz untuk mendengar penjelasan-penjelasan tentang Islam..bahkan anggota Kelab Penyokong PAS mencecah angka 30,000 orang. Puluhan tahun UMNO memerintah Malaysia, mereka gagal memperkenalkan ‘izzah Islam kepada Non-Muslim kerana pelbagai kebimbangan, kepentingan… pada hari kiamat tidak ada alasan lagi untuk kita mengatakan kesukaran kita memperkenalkan Islam kepada mereka..kerana kita telah berada dalam keadaan yang cukup mudah pada hari ini..paling mudah, praktikkan Islam pada kehidupan kita..maka, akhirnya non-Muslim akan melihatnya..walaupun mungkin mereka tidak segera mengucapkan syahadatain, tetapi cukup dengan mereka faham dulu ajaran Islam.


Inilah sedikit sebanyak isi-isi penting yang masih saya ingat daripada kuliah beliau walaupun dalam keadaan yang agak ‘berat mata’ keletihan sedikit.

Khamis, 21 Mei 2009

Kelab Umno bukan keperluan kami.

RESPON TERHADAP USAHA-USAHA PENUBUHAN KELAB UMNO DI ACEH


Muqaddimah :


Sejak kebelakangan ini, saya melihat terdapat usaha-usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak baik dari dalam Indonesia mahupun luar (Malaysia) untuk menubuhkan Kelab Umno di Aceh sebagaimana kewujudannya di tempat-tempat lain di Indonesia seperti di Jakarta, Medan dan sebagainya.


Sehubungan itu, saya selaku Pengerusi Biro Dakwah & Pembangunan Insan – Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia Cabang Aceh (PKPMI-CA) bagi sesi 2009 / 2010 ingin memberikan sedikit respon (maklum balas) terhadap usaha-usaha ini. Berikut adalah kenyataannya :


1) Untuk makluman, di Indonesia telah ada pertubuhan yang menaungi pelajar-pelajar Malaysia yang dikenali sebagai Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Malaysia-Indonesia (PKPMI) termasuk wilayah Nanggroe Aceh Darussalam.


2) Di Aceh, PKPMI-CA baru sahaja dirasmikan penubuhannya tanggal 30 Okt 2008 oleh TYT Dato’ Zainal Abidin Zain, Duta Besar Malaysia ke Indonesia di Hotel Hermes pada Majlis Sambutan ‘Idul Fitri 1429.Majlis perasmian penubuhan PKPMI-CA turut disertai oleh Dr. Junaidi Abu Bakar , Pengarah Jabatan Penuntut Malaysia (JPM) di Indonesia.


3) Maka, usaha-usaha yang cuba dilakukan oleh beberapa pihak tersebut untuk menubuhkan Kelab Umno di Aceh yang seandainya berjaya, akan menyebabkan berlakunya beberapa hal. Berikut saya nyatakan hal-hal atau permasalahan yang sangat saya bimbangi akan berlaku :


i) Pelajar Malaysia yang kini menuntut di Aceh iaitu di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Ar-Raniry hanya berjumlah 140 orang sahaja. Semua mereka adalah anggota rasmi kepada pertubuhan PKPMI-CA. Maka, seandainya Kelab Umno ditubuhkan di Aceh, perkara pertama yang akan berlaku adalah perpecahan dan keretakan hubungan harmoni di antara pelajar-pelajar Malaysia disini akan berlaku hasil dari kewujudan blok-blok politik tersebut.


ii) Kewujudan Kelab Umno nanti dibimbangi akan menimbulkan keresahan dikalangan mana-mana mahasiswa sehingga tidak mustahil akan munculnya mahasiswa yang akan menggagaskan idea penubuhan kelab-kelab parti politik lain seperti Kelab PAS, Kelab PKR dan seumpamanya sebagai bentuk perlawanan. Maka, natijahnya, perpecahan antara pelajar Malaysia disini akan terus marak.


4) Adapun, jika beberapa tahun kedepan nanti, bilangan pelajar Malaysia di Aceh ini bertambah sekalipun, saya merasakan sudah cukup dengan kewujudan PKPMI-CA untuk menaungi mereka kerana PKPMI juga adalah pertubuhan rasmi yang sah dan berada dibawah naungan Kedutaan Malaysia di Indonesia sendiri.


5) Maka, saya tegas menyatakan bahawa kewujudan Kelab Umno di Aceh adalah tidak menjadi sebuah keperluan yang mendesak kepada pelajar Malaysia disini. Namun, saya sangat berlapang dada sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin memberikan bantuan kepada pelajar-pelajar Malaysia disini baik berupa bantuan kewangan kepada pelajar atau bantuan kewangan kepada program-program pelajar, PKMPI-CA sedia menerima dan memanfaatkan sebaik mungkin apa-apa sumbangan tersebut tanpa perlu melalui pertubuhan seperti Kelab Umno untuk menyalurkan bantuan atau apa-apa peruntukan.


6) Saya merasakan cukuplah dengan kewujudan kelab-kelab Umno di wilayah-wilayah lain di Indonesia yang jelas telah memberikan impak yang sangat buruk untuk kesatuan dan perpaduan antara pelajar-pelajar Malaysia disini. Walaubagaimanapun, sekiranya terdapat individu-individu dikalangan pelajar Malaysia disini yang cenderung kepada mana-mana parti politik di Malaysia samada Umno, Pas dan sebagainya, itu adalah hak mereka sebagai golongan terdidik yang bijak menilai dengan syarat tidak menimbulkan kekacauan terhadap pelajar-pelajar Malaysia yang lain.


7) Untuk akhirnya, sekali lagi saya menyatakan bahawa, buat masa dan tempoh ini, sekiranya diberi pilihan atau tawaran untuk diwujudkan Kelab Umno disini, ianya tidak menjadi priority bagi kami kerana PKPMI-CA sudah wujud dan saling berusaha menjalinkan kerjasama dengan PKPMI di-wilayah-wilayah lain di Indonesia demi memelihara kebajikan pelajar-pelajar Malaysia.


Untuk itu, semua pihak diharap dapat mengambil dan memberi perhatian yang serius mengenai kesan kewujudan Kelab Umno di Aceh nantinya jika ia ditubuhkan.


Terima kasih,


Muhammad Fadhlullah Ismail

Pengerusi Biro Dakwah & Pembangunan Insan (PKPMI-CA)

2009 / 2010


Catatan: Berikut adalah website PKPMI-Pusat http://www.pkpmipusat.com/index.html

Ahad, 17 Mei 2009

11 Noktah Penting Dari Pres.Gamis Untuk Mahasiswa Kolej Islam

GERAKAN ULAMA MAHASISWA

Saya pernah memasang impian. Ia tidak pernah surut sehinggalah sekarang. Saya ingin membentuk satu kesatuan antara semua kolej Islam yang ada di Malaysia.

Dulu saya mengharapkan agar muslimat memiliki gerakan tersendiri. Secara dalaman ia adalah Gamis namun ia menggunakan platform lain secara luaran. Saya menyatakan pengharapan saya itu kepada Rafidah dan lain-lain.Mereka berjaya melaksanakannya dan akhirnya mereka menubuhkan Sigma dengan gagasan MP3.

Mengapa perlu kesatuan antara semua kolej Islam di Malaysia. Saya ingin menyebutkannya dan saya mengharapkan agar semua menilainya dan memberikan pandangan.

Pertama, saya ingin sekali melihat kesatuan wujud kalangan pelajar agama dan mereka tidak terpisah dengan blok kampus dan kenegerian. Maka ketika itu tiada lagi KIAS mahupun Insaniah ataupun Kuis, sebaliknya yang ada hanyalah satu kesatuan.

Kedua, ini adalah kesatuan kalangan ulama mahasiswa. Selama ini Gamis hanya memberikan respon dari sudut politik banyaknya tetapi tidak dari sudut keagamaan dan hujjah yang baik. Maka diharapkan ulama mahasiswa ini akan merancakkan suasana yang ada.

Ketiga, saya ingin melihat para ulama mahasiswa bekerja bersama dalam satu gelanggang sebagai satu latihan kepada mereka. Kelak, merekalah yang akan mewarisi tempat-tempat keagamaan dalam negara termasuklah Mufti dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Keempat, saya ingin membuktikan kepada masyarakat bahawa mahasiswa boleh juga memberikan respon dari sudut keagamaan dengan hujjah yang baik. Ilmu tidak menurut kepada kadar umur.

Kelima, saya juga mengimpikan agar mereka menjadi solution terbaik dalam memberikan pandangan terhadap permasalahan remaja yang kian tunggang-langgang.

Keenam, diharap dengan kesatuan ini, akan menjadi satu force dan front yang akan menjadi badan pendesak atau penasihat kepada kerajaan dalam menyelesaikan masalah Islam di Malaysia. Maksud saya, menurut kaca mata anak muda.

Ketujuh, mereka akan menjadi penasihat agama kepada Gamis agar dengan itu keberkatan akan sentiasa mengiringi Gamis. Bahkan merekalah yang diharapkan dapat menyemai kekuatan ruhiyah kalangan ahli Gamis dan menjadi penegur dan penasihat.

Kelapan, saya ingin sekali mereka berasa lebih bertanggungjawab untuk menjadi solution terhadap permasalahan yang wujud. Maka dengan rasa tanggungjawab yang tinggi itulah akan menyuburkan gerakan anak muda Islam.

Kesembilan, saya ingin menimbulkan rasa gerun kepada musuh Islam. Betapa kalangan anak muda yang ada sekarang, mereka sudah bersedia untuk mengisi ruang keagamaan dan mendidik anak bangsa menjadi penganut Islam yang baik.

Kesepuluh, saya mahu mereka mengisi ruang kekosongan yang ada dalam gerakan ulama. Merekalah yang akan ke depan untuk memberikan press statement, pressure group secara profesional, membuat penulisan dan sebagainya.

Kesebelas, mereka yang akan menambahkan kekuatan gerakan Islam yang sedia ada. Bayangkan jika gerakan ulama mahasiswa yang biasanya agresif membantu gerakan yang lain, maka kekuatan itu bertambah layaknya bagaikan “nurun ‘ala nur”, atau cahaya atas cahaya.

Saya sudah menghubungi beberapa pimpinan besar kolej-kolej Islam dan merancang untuk mengadakan konvensyen bagi penubuhan gerakan baru ini. Saya terasa ingin mencadangkan Kedah sebagai tempat pertemuan kami. Ia pertemuan terbuka, bukannya tersembunyi. Semua bahkan seluruh negara boleh menyaksikannya. Saya tidak menyembunyikan rasa ingin memperjuangkan Islam daripada khayalak bahkan saya ingin menzahirkannya tanpa berselindung lagi.

Maka ketika itu, saya ingin melaungkan kepada mereka, kita tidak pentingkan nama mahupun jawatan, atau gelaran. Saya tidak langsung kisah jika ummah tidak mengenali siapa kita asalkan mereka mengenali Islam. Biarlah nama kita tidak tersohor di dunia asalkan malaikat menyanjung-nyanjung usaha kita. Biarlah kita tidak terkenal asalkan Islam yang terkenal.

“Kita akan menjadi akar kepada sebuah pokok. Orang hanya nampak buah tidak nampak akar. Namun akarlah yang mengukuhkan tunjang pokok”.

Copy dari : http://dzulkhairi.blogspot.com/

Ust Zul Memali : Tahanan 2 X ISA meninggal dunia

Saya menerima pesanan ringkas sebentar tadi dari Malaysia.

Seorang bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri @ Internal Security Act (ISA) yang lebih dikenal sebagai Abg Zul Memali @ Zul Memali kini telah kembali ke rahmatullah. Abg Zul atau nama sebenarnya Ust Zulkifli Ahmad meninggal dunia petang semalam setelah menderita sakit yang agak lama yang dikatakan rentetan dari penyeksaan yang beliau alami didalam tahanan ISA.

Ust Zul ditahan ISA pada tahun 2001 atas tuduhan terlibat dengan rangkaian pengganas KMM (Kumpulan Militan Malaysia) pimpinan Ust Nik Adli bin Nik Abdul Aziz. Beliau yang pernah menuntut ilmu di Pakistan pernah mengambil kesempatan berjihad bersama Mujahidin di Afghanistan pasca penjajahan Soviet Union ketas Afghanistan. Rentetan dari serangan WTC Amerika tanggal 11 Set 2001, maka Amerika mengaitkannya dengan plan dari Usamah bin Laden. Akhirnya semua para Mujahidin yang pernah menerima tarbiah jihad di Afghanistan menjadi mangsa oleh kerajaan-kerajaan pro Amerika dinegara mereka sendiri termasuklah Malaysia.

Ust Zul ‘sengaja’ dibebaskan segera dari ISA oleh pihak keselamatan kerana dibimbangi sakitnya akan menyebabkan kematian di penjara. Maka dia dibebaskan juga.

Kali pertama Ust Zul ditahan dibawah ISA adalah pada tahun 1985 iaitu ketika Peristiwa Memali. Selepas selesai serangan oleh pihak polis, beliau dan beberapa penduduk Memali disumbat ke ISA.

Jenazah Ust Zul selamat dikebumikan jam 11 pagi tadi di kampungnya iaitu Memali, Baling Kedah.

Al-Fatihah Untuk Ust Zul
Mudah-mudahan beliau dikurniakan darjat sebagai syuhada’.InsyaAllah
.

Memburukkan Jama’ah : Punca & Penyelesaian

Ringkasan dari karya : Sheikh Abdul Hamid Al-Bilali.

Dalam konteks Gerakan Islam, ada sebuah penyakit yang sangat terkenal akan bahayanya, namun itulah yang sering berlaku. Ianya disebut النجوى ( An-Najwa ).

Definisi Bahasa: Najwa berarti – berbisik iaitu perbicaraan 2 orang tanpa melibatkan orang ke 3 atau menyembunyikan darinya. Hukum melakukannya adalah haram. (Rujuk Surah Al-Mujadalah: 8-10)

Definisi Istilah: Najwa berarti – perbicaraan sekelompok orang dari sebuah jama’ah (jama’ahnya sendiri) berupa kritikan kepada jama’ah tersebut atau kepada pengelolanya tanpa melibatkan qiyadah lembaga tersebut atau tanpa pengetahuan mereka.

Sabda Rasulullah s.a.w: Jika manusia berkumpul 3 orang ,janganlah 2 orang berbisik tanpa melibatkan orang ketiga. (Muttafaqun ‘Alaih)

Hubungan Antara Pengertian Bahasa & Istilah

Najwa dalam pengertian bahasa adalah menyakiti orang ketiga yang tidak dilibatkan dan menyebabkan keretakan kesatuan ruhani dan amal mereka. Demikian juga yang terjadi saat Najwa secara istilah, sebab hal ini akan mengakibatkan perpecahan, sakit hati dan kesedihan.

Gejala & Tanda-Tanda

- Sekelompok orang dari anggota sebuah lembaga (jama’ah atau pertubuhan) berkumpul dan berbual untuk mengkritik jama’ah dan qiyadahnya atau sebahagian individunya yang menonjol tanpa pengetahuan qiyadah.

- Melakukan perbicaraan-perbicaraan atau perbincangan-perbincangan dluar perbincangan rasmi ( cth: mesyuarat dalam mesyuarat-pen )

- Membentuk kelompok khusus dan menjauh dari jama’ah tanpa pengetahuan personel jama’ah atau qiyadah lembaga tersebut.

Penyebab

1) Qiyadah atau personelnya pernah menolak pendapat atau usulan kelompok atau personel ini.

2) Personel atau kelompok ini memiliki dugaan bahawa qiyadah atau personel jama’ah menolak usulan atau pendapatnya atau berpendapat beza dengannya.

3) Ada seorang tokoh dalam jama’ah yang berbeza pandangan dengan qiyadah, lalu menanamkan pengaruhnya kepada kelompok ini.

4) Tidak mengetahui hukum syar’ie tentang Najwa.

5) Konsep dakwah tentang Najwa dengan segala permasalahannya belum difahami dan tertanam dengan baik.

Penyebab Lanjutan

1) Meniru model lembaga-lembaga politik Barat atau lembaga-lembaga lainnya yang tidak memiliki karakter ‘da’awiyah’ yang akhirnya mengajar agar dalam sebuah lembaga perlu ada kelompok penekan ( presser ), oposan dan lobi.

2) Pemahaman dakwah tentang thiqoh (kepercayaan) kepada jama’ah dan qiyadah dan juga pemahaman tentang iltizam yang akan melemah.

3) Pemahaman syar’ie tentang as-sam’u wat tho’ah dalam keadaan suka atau terpaksa selama tidak bertentangan dengan Islam juga akan melemah.

4) Qiyadah jama’ah bersempit dada terhadap pendapat lain serta tidak membuka peluang mendengar pendapat yang berseberangan.

Solusi

1) Memperluas peluang kemunculan pendapat lain, menambah kesempatan pertemuan antara qiyadah dan pemilik pendapat ‘lain’ agar pintu Najwa dalam jama’ah tidak terbuka.

2) Penekanan nilai tarbawi semenjak awal tentang makna as-sam’u wat tho’ah yang benar menurut syariat serta nilai-nilai dakwah seperti iltizam, thiqoh dan arkanul bai’ah (rukun-rukun bai’ah).

3) Menyelenggarakan pertemuan dengan kelompok Najwa dan mendengar pendapat mereka.

4) Meningkatkan komunikasi antara qiyadah dengan qa’idah untuk membuka ruang tanya jawab dan dialog tentang hal-hal ‘sensitif’ yang boleh muncul dari waktu ke waktu.

Solusi Lanjutan

1) Menyelenggarakan pertemuan dengan semua anggota jama’ah saat muncul satu problem ‘hangat’ yang mengundang banyak pendapat serta menyampaikan info-info secara utuh dari sumbernya secara cepat dan tidak ditunda-tunda.

2) Melakukan cross-check tentang mekanisme penyampaian informasi dari qiyadah kepada qa’idah dan mencheck kebenaran dan keselematan sampainya.

3) Memberikan job (pekerjaan) kepada kelompok Najwa agar mereka memiliki kesibukan dan meminimakan waktu kosong mereka (jika sibuk dengan tugas, mereka tidak sempat berbicara membuka keburukan jama’ah-pen )

4) Memperbaiki hubungan.

Penulis: Mudah-mudahan kita sebagai anggota gerakan Islam dapat mengambil manfaat dari penjelasan Sheikh Abdul Hamid Al-Bilali ini untuk kejayaan Islam.