Isnin, 30 Mac 2009

Mahasiswa : Jangan jadi alat pembangkang ! jadi alat Umno dibenarkan…

Mari baca dengan penuh kekhusyukan, betapa enaknya mahasiswa terang-terangan dijadikan alat Umno melalui pertubuhan haramnya iaitu Nadi Umno. Dalam masa yang sama, mereka menuding jari dan melemparkan tuduhan bahawa Pmram alat pembangkang, bahkan sampai hilang kewarasan meminta Pmram yang sudah mencapai umur 70 tahun ini diharamkan. Baca sejarah panjang Pmram sebelum anda mohon diharamkan. Perhatikan sumbangan mereka kepada mahasiswa Malaysia. Soal, bekas-bekas anggota Pmram pulang, lalu bersama Pas, itu hak mereka hasil dari pemahaman mereka terhadap ilmu yang dipelajari.


Mahasiswa Negeri Pahang boleh terlibat sebagai alat parti politik ?


1) Dato’ Seri Adnan Yaakob (Peng.Badan Perhubungan Umno Pahang) dilantik sebagai penaung Badan Perhubungan Kelab Umno Pahang-Mesir melalui surat bertarikh 03 April 2007 oleh S.U Badan Perhubungan Kelab Umno Pahang-Mesir sesi 2007/2008.


2) Tuan Haji Abdul Razak bin Hj Abdullah (pegawai pembantu tadbir Yayasan Pahang di Kaherah) dilantik sebagai penasihat 1 Badan Perhubungan Kelab Umno Pahang-Mesir melalui surat bertarikh 05 April 2007 oleh S.U Badan Perhubungan Kelab Umno Pahang-Mesir sesi 2007/2008.


3) Badan Perhubungan Kelab Umno Pahang-Mesir sesi 2007/2008 melalui surat bertarikh bulan April 2007, melalui S.U nya dan disokong oleh Peg. HEP Yayasan Pahang di Kaherah, Haji Abdul Razak, mengirim surat memohon sumbangan kewangan bernilai RM 18,000 bagi keperluan Badan Perhubungan Kelab Umno Pahang-Mesir kepada Dato’Seri Adnan Yaakob.


4) Badan Perhubungan Kelab Umno Pahang-Mesir sesi 2007/2008 melalui surat bertarikh 20 April 2007 melalui S.U nya dan disokong oleh Peg. HEP Yayasan Pahang di Kaherah, Haji Abdul Razak, mengirim surat memohon peruntukan kewangan bagi segala gerak kerja Badan Perhubungan Kelab Umno Pahang-Mesir kepada Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan Negara Timur Tengah, Kelab Umno Republik Arab Mesir, Kaherah.


5) Kelab Umno Pahang menganjurkan Lawatan Sambil Belajar ke Sinai 2008 tanggal 14, 15 & 16 Feb 2008 bertemakan ‘Martabat Bangsa Gemilang’ dan menjadikan mahasiswa/wi Pahang sebagai sasaran peserta serta ahli Kelab Umno Pahang. Program dinaungi oleh Nadi Umno Malaysia Republik Arab Mesir (Numram).


6) Badan Perhubungan Negeri Pahang Kelab Umno Kaherah menganjurkan Perkelahan di Ein Sokhna tanggal 23 Jun 2007 yang disertai oleh 40 orang mahasiswa yang terdiri dari ahli Kelab Umno Pahang dan mahasiswa Pahang.


7) Kelab Umno Pahang-Mesir sesi 2007/2008 menganjurkan Kursus Keterampilan Protokol dan Tata Tertib Majlis yang dibuka kepada mahasiswa/wi Pahang dan sesiapa sahaja yang berminat tanggal 14 Julai 2007 bertempat di Dewan Malaysia Abbasiah Cairo.


8) Kelab Umno Pahang-Mesir sesi 2007/2008 menganjurkan Kejohanan Bola Tampar Piala Yayasan Pahang yang dibuka kepada mahasiswa/wi Pahang dan pasukan-pasukan jemputan Negeri tanggal 22-24 Julai 2007 bertempat di Dataran Kompleks Haiyyu Asyir.


9) Kelab Umno Pahang dengan kerjasama Nadi (Kelab) Umno Malaysia Republik Arab Mesir (Numram) mengadakan majlis ramah mesra bersama Dato’ Seri Adnan Yaakob dan rombongan Kerajaan Negeri Pahang tanggal 27 April 2007. Buku cenderahatinya dimasukkan lagu rasmi parti Umno.


10) NOTIS Larangan Memakai Niqab (purdah) kepada wanita semasa berada di dalam bangunan asrama Indera Mahkota Pahang. Anda semua dikehendaki mematuhi peraturan ini- Pengurusan Yayasan Pahang / 18 Nov 2007.


Mahasiswa Malaysia boleh terlibat sebagai alat parti politik ?


1) Badan Perhubungan Negara Timur Tengah Kelab Umno Mesir sesi 2007/2008 melalui S.Unya (merangkap Tim.Peng. Kelab Umno Kaherah), Sdr Muhammad Naqzrul Azraf b.Mohd Nazarludin melalui surat bertarikh 01 Mei 2007 telah memohon pembelian bangunan baru Kelab Umno Mesir kepada Dato’ Seri Abdullah Badawi. Bangunan itu adalah bangunan asrama lama kepunyaan Kerajaan Negeri Pahang yang ditawarkan oleh rombongan kerajaan Negeri Pahang yang diwakili oleh Dato’ Hj Munawar Abdul Jalil kepada Kelab Umno Mesir pada 27 April – 01 Mei 2007.


2) Badan Perhubungan Negara Kelab Umno Timur Tengah, Mesir sesi 2007/2008 menganjurkan Lawatan Sambil Belajar ke Matruh Siwa 2007 tanggal 4-7 Julai 2007 bertemakan ‘Martabat Bangsa Gemilang’ dan menjadikan mahasiswa/wi Malaysia sebagai sasaran peserta beserta ahli Kelab Umno Mesir. Program dinaungi oleh Numram.


3) Badan Perhubungan Kelab Umno Sabah sesi 2004/2005 melalui S.Unya, Sdr.Sh.Suhaimi bin Sh.Mia Sin tanggal 25 April 2004 telah menghantar surat kepada Dato’ Musa Hj Aman, pengerusi Badan Perhubungan Umno Sabah untuk melantiknya sebagai penaung Kelab Umno Sabah.


Catatan penulis: Haramkan dulu Kelab Umno yang jelas pertubuhan yang menjadi alat parti politik dan memperalatkan mahasiswa sebagai ahli sebelum menyerang Pmram. Jika Kelab Umno bebas bertemu mana-mana pemimpin parti politik, maka mahasiswa lain juga berhak bertemu dan mendengar ucapan dari mana-mana pemimpin parti politik.


Siapa yang tidak hormati persatuan induk mahasiswa Malaysia di Mesir? Pmram ditubuhkan pada tahun 1930 dan Kelab Umno tanggal 31 Ogos 1982, atas alasan ingin membantu kebajikan mahasiswa. Untuk apa bantu mahasiswa melalui kelab yang jelas kelab politik? Benarkah kebajikan mahasiswa terbela di bawah Kelab Umno?

Ahad, 29 Mac 2009

Suara Pembela PMRAM

oleh Pejuang Kecil
http://najhie.blogspot.com/

Madinah Nasr,26 mac 2009, Seluruh perwakilan yang mewakili semua Badan Kebajikan Anak Negeri dan Dewan Perwakilan Mahasiswa Malaysia seluruh Mesir berikrar akan mempertahankan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) dan naungannya dari diganggu gugat oleh sebarang anasir yang menggugat dan memecah belahkan ahli dan kesatuan.


Mukatamar Tahunan Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) kali ke-76 sebulat suara meluluskan dua usul yang membawa kesepakatan lebih 3000 ahlinya mempertahankan kesatuan PMRAM dari sebarang serangan dan gangguan , 11 Badan Kebajikan Anak Negeri dan 8 Dewan Perwakilan Mahasiswa Malayasia yang bernaung di bawah lembayung kesatuan PMRAM menyatakan sokongan penuh menolak sebarang usaha kotor pihak tertentu untuk menggugat keutuhan solidariti mahasiswa Malaysia di Mesir.lebih kurang 1000 ahli hadir ke muktamar tersebut termasuk 750 perwakilan sepakat menyatakan sokongan padu dan dewan muktamar digegarkan dengan tepukan gemuruh apabila usul-usul tersebut diluluskan.

Walaubagaimanapun Perhimpunan Agung Umno yang dijalankan serentak dengan tarikh Muktamar Tahunan PMRAM memutuskan sebaliknya. PMRAM bukan sahaja ditohmah malah diusul untuk dihapuskan.

Menurut laporan malaysiakini, seorang perwakilan Umno luar negara yang menuntut universiti di Southampton, Britain mengusulkan supaya PMRAM diharamkan. Gesaan itu dibuat atas alasan kononnya ia menyebarkan ideologi politik pembangkang.

Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan juga menggesa biasiswa pemimpin Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) ditarik balik. "PMRAM perlu diharamkan, biasiswa pelajar yang menyertai PMRAM perlu ditarik balik," katanya.

"Apabila pelajar kita tiba sahaja (di Mesir), PMRAM lebih dahulu menyambut mereka di lapangan terbang. "Mereka ini, pegawai- pegawai kita pun takut.


Walaubagaimana pun Presiden PMRAM menegaskan bahawa PMRAM bukanlah sebuah organisasi politik seperti Kelab Umno Mesir yang jelas nama dan gagasan ideologi politiknya adalah dari Umno Malaysia. Namun harus difahami bahawa jelas berbeza diantara berpolitik secara langsung dan mengambil tahu serta menyatakan pandangan dalam sebarang isu termasuk isu politik. Malah kewajipan masiswa menyatakan pandangan dalam sebarang isu adalah suatu kewajaran yang tidak dapat disangkal lagi. Ia bebas untuk diamalkan oleh sesiapa sahaja , dimana-mana sahaja untuk memberikan sikap dan pandangan masing-masing selaku mahasiswa yang prihatin dan bersemangat patriotik.

Jelas, Pmram tidak pernah menamakan diri sebagai organisasi poltik , malah tidak wujud langsung dalam objektif penubuhannya sebarang gagasan politik seperti kelab Umno Luar Negara yang namanya pun sudah jelas membawa aspirasi Umno Malaysia.walaubagaimana pun PMRAM selaku pendokong kepada proses perkembangan kemahasiswaan yang baik tidak mengahalang sesiapa jua dari kalangan mahasiswa termasuk ahli kelab Umno dari menyatakan pandangan dan perbincangan sebarang isu kenegaraan termasuk isu politik Malaysia.

Apakah wakil kelab Umno tersebut sudah hilang pertimbangan sehingga mencadangkan agar PMRAM diharamkan kerana kononnya berpolitik. Sedangkan ia sendiri ahli kelab Umno yang jelas berpolitik. Gesaannya supaya biasiswa pelajar yang meyertai PMRAM ditarik balik tidak lebih dari menunjukkan sikap politik kediktatoran yang berjaya disematkan kedalam setiap pemikiran ahli kelab Umno. Apakah pemikiran yang penuh hasad dan kedengkian ini yang menjadi tunjang kepada gerakan kelab Umno yang membawa aspirasi Umno Malaysia.

Sikap ini bukan sahaja mencerminkan dendam kesumat malah ia adalah lambang betapa tidak profesionalnya mereka setelah gagal mendapat tempat di kalangan mahasiswa Al Azhar yang terkenal sebagai kilang melahirkan pejuang Islam di seluruh dunia. Apakah Kelab Umno Mesir terlalu menikus sehingga sanggup membiarkan wakil Kelab Umno Britain untuk membawa gesaan tersebut yang jelas mencampuri urusan mahasiswa Malaysia Mesir dan amat menyimpang dari dasar kesatuan dan perpaduan yang dicanangkan oleh Umno untuk menyatukan Melayu.

Apakah mereka tidak menyedari bahawa PMRAM adalah sebuah NGO besar Melayu di Mesir yang sah berdaftar dengan kerajaan Mesir.Mengharamkan PMRAM seumpama mengkhianati sebuah khazanah Melayu yang amat bernilai dalam siri sejarah keagungan perkembangan ketamadunan Melayu yang bertaraf antarabangsa.

PMRAM sendiri lebih awal ditubuhkan untuk menanungi rakyat Malaysia sekian lama sebelum tertubuhnya Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah. Malah kesatuan mahasiswa seawal penubuhan PMRAM lah yang menggesa supaya kerajaan Malaysia pada waktu itu mewujudkan sebuah kedutaan di Mesir.

Kini isu pengharaman PMRAM kembali timbul pada Perhimpunan Agung Umno setelah ia pernah disensasikan suatu ketika dahulu oleh menteri yang mengawal Kementerian Penerangan pada waktu itu.

Mantan menteri Umno Zainudin Maidin pernah mengecam PMRAM secara terbuka dalam arus media perdana Malaysia beberapa tahun dahulu. PMRAM diserang bertubi-tubi dengan tuduhan yang tidak berasas sama sekali.Di antaranya PMRAM dituduh mengongkong kebebasan mahasiswa Al Azhar. Malah nama PMRAM pernah meniti di setiap mulut kepimpinan Umno sebagai sasaran kedua yang wajib djatuhkan selepas kerajaan PAS kelantan suatu ketika dahulu.

Usaha pihak pemerintah ini dikuatkan lagi dengan usaha mengutuskan pegawai bagi menjaga setiap premis rumah-rumah negeri bagi menghalang PMRAM dari bergerak aktif di kalangan anak-anak negeri. Bukan sahaja PMRAM dilarang menggunakan dewan rumah-rumah negeri malah lambang PMRAM turut dilarang untuk dipamerkan dalam sebarang iklan dan notis.

Pmram juga pernah ditohmah sebagai pertubuhan haram, pengganas dan presidennya kaki perempuan dalam siri-siri kursus persediaan untuk ke Mesir oleh Biro Tata Negara Malaysia. Apakah perlu kerajaan Malaysia membayar ribuan ringgit kepada petugas-petugas BTN hanya semata-mata untuk memburukkan PMRAM dan mengugut mahasiswa baru dari bergerak aktif bersama PMRAM di Mesir.

Selain kecaman terbuka terhadap PMRAM dan ahlinya,Ia pernah dinafikan hak untuk menggunakan sebarang premis kerajaan Malaysia di Mesir. Malah sehingga kini PMRAM masih lagi dinafikan hak memiliki pejabat dan penggunaan Rumah Melayu (sekarang Dewan Malaysia Abbasiah Kaherah (DMAK) oleh kerajaan Malaysia. Sedangkan umum mengetahui bahawa sejarah menyatakan tanah kawasan terbinanya (DMAK) asalnya adalah kurniaan kerajaan Mesir kepada PMRAM atas kebersamaannya mendokong kerajaan Mesir menghadapi Perang Mesir -Israel. Sebagai catatan umum, termaktub didalam surat perjanjian penyerahan tanah tersebut kepada kerajaan Malaysia ialah hak PMRAM untuk menerima suatu ruang di (DMAK) sebagai pejabat pentadbiran yang dinafikan hingga ke saat ini.

Bukan sahaja PMRAM yang dimangsakan oleh kerajaan bahkan Badan Kebajikan Anak Selangor Mesir(BKSAM) juga pernahkan diharamkan oleh Kerajaan Selangor pimpinan Umno .Pelbagai sekatan yang telah dikenakan terhadap pelajar Selangor yang menyertai PMRAM,zakat disekat dan dipolitikkan, malah kemuncak penganiayaan tersebut ialah segelintir pelajar dihalau serta dihalang untuk menghuni asrama Selangor.Peristiwa yang hampir sama berlaku terhadap Keluarga Penuntut Terengganu (KPT) , hak penggunaan satu ruang di asrama Terengganu sebagai pejabat pentadbiran turut dinafikan.Terkini Badan Kebajikan Mahasiswa/wi Islam Pahang Mesir(BKIMP) pula sedang diancam untuk dibubarkan oleh pihak tertentu.

Perjuangkan hak dan kesatuan mahasiswa Malaysia Mesir
Sekian

Pejuang Kecil
http://najhie.blogspot.com/

9.22 pagi, 1 Rabiul Akhir 1439
Rumah Kedah Hayyu 10, Kaherah, Mesir.


artikel dipetik dari: http://www.tranungkite.net/v8/modules.php?name=News&file=article&sid=4026

Ahad : 29 Mac 2009.

Sabtu, 28 Mac 2009

Umnokah bayar tambang dan pengajian pelajar ke Mesir ?

Dipetik dari: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Saturday/Nasional/20090328063237/Article/index_html

Sabtu: 28 Mac 2009.


Kerajaan diminta pantau pelajar di Mesir.

PENGHANTARAN pelajar ke Mesir perlu dilaksanakan secara berpusat di bawah pengendalian Kementerian Pengajian Tinggi bagi memastikan pelajar dapat dipantau bagi mengelak mereka mudah terpengaruh dengan dakyah persatuan yang dikuasai pembangkang.

Wakil Kelab Umno Luar Negara, Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan mendakwa persatuan pelajar di Mesir, Persekutuan Melayu Republik Arab di Mesir (Pmram) kini mengancam minda dan fikiran pelajar supaya menentang kerajaan.

“Pihak Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di sana tidak lagi mampu memantau pembabitan pelajar dalam gerakan ejen pembangkang ini. Malah, pegawai dan pelajar kita di Mesir juga takut dan tertekan dengan Pemeram akibat tindakan mereka yang antaranya menyekat pelajar daripada tinggal di asrama kerajaan yang dikuasai mereka.

“Ini bukan isu baru tetapi sudah lama disuarakan,” katanya ketika membahaskan usul ucapan dasar Presiden semalam. Wan Md Hazlin juga mencadangkan supaya kerajaan mengharamkan persatuan itu sebagai badan bukan kerajaan (NGO) di Mesir.

“Rundingan perlu segera diadakan bagi menyedarkan pelajar terbabit. Biasiswa dan tajaan pelajar yang menyertai Pemeram juga perlu ditarik balik,” katanya. Sementara itu, bagi mengembalikan kepercayaan generasi muda terhadap Umno, katanya, barisan kepemimpinan baru disaran tidak mengenepikan peranan dan sumbangan idea serta komitmen pelajar sekembalinya mereka daripada tamat pengajian di luar negara.

“Kami juga sentiasa pentingkan aspek agama untuk memastikan jati diri terpelihara. Justeru, rakan kami di Jordan, Syria, Mesir dan Pakistan memohon supaya mereka ditempatkan di barisan depan pembentukan sahsiah terpuji,” katanya.

“Kami yakin usaha mengembalikan kepercayaan anak muda kepada Umno dapat dijayakan dengan ilmu yang ada dan pengalaman berdepan dengan ideologi remaja yang agresif,” katanya.


Komen penulis: PMRAM yang dituduh alat pembangkang, tidakpun menggunakan nama mana-mana parti politik pembangkang. Tetapi mereka bebas pula menubuhkan kelab yang jelas kelab politik iaitu Nadi Umno.Bagaimana kita nak memaksakan ke atas mahasiswa supaya belajar agama mesti jadi Umno, sedangkan yang mereka temui dalam pengajian mereka, Umno itu pewaris gerakan Sekular yang sangat bahaya. Apa budak Umno luar Negara ini ingat, mahasiswa pergi Mesir pakai duit Umno? Mereka anak peneroka, mereka anak penoreh getah, mereka anak pengait sawit, mereka anak nelayan dan pekerja kilang…ingat Umno bayar tambang tiket mereka?


“Jangan jadi Fir’aun dan Kamal Attaturk kedua. Cukuplah sekat orang memahami Islam “


InsyaAllah, saya optimis bahawa kepimpinan baru Pmram golongan bijak pandai beserta ribuan ahlinya yang siap menjadi pejuang berani mati, hadapi ujian, mehnah dan tribulasi ini. Kuatkan semangat, teruskan perjalanan..bersiap taruhkan diri sebagai benteng pertahanan perjuangan Islam. Allah lebih memahami tugasan kalian membantu mahasiswa berbanding Umno dan antek-anteknya di Mesir. Benarlah….disitu bumi Anbiya’..disitu jugalah Fir’an, Qarun dan Haman melahirkan waris…