Ahad, 31 Ogos 2008

Perkara Pelik Saat Ramadhan di Tanah Airku..

1) Pemimpin-pemimpin negara bercakap nampak sedikit islamik. Contohnya : "sempena kedatangan ramadhan ini, marilah kita sama-sama mendekatkan diri kepada Allah " dan lain-lain.

2) Menteri-menteri wanita menutup sedikit rambutnya yang terkeluar terlalu banyak.

3) Pemberita di kaca TV nampak sedikit ayu dengan mengenakan tudung.

4) Pertandingan, anugerah-anugerah muzik, konsert dihentikan.( mungkin Avril Lavigne last : )

5) Artis berpenampilan sopan dan tidak menjerit-jerit.

6) Bacaan Al-Qur'an, motivasi-motivasi agama diperbanyakkan dibulan ini.

7) Minggu pertama, masjid penuh sehingga ke beranda untuk Solat Tarawikh.

8) Kadar menghisap rokok dalam sehari berkurangan.

9) Remaja lelaki dan wanita malu berduaan diatas motor, bersentuhan tangan dan menepuk-nepuk peha. ( tak semua ).

10) 10 malam terakhir, masjid akan lengang dari 5 shof kepada 1 shof kerana kesibukan menghias rumah, membeli baju anak-anak, mencari buluh lemang dan menggelek tepung.

11) Jam 4.00 pagi semua rumah cerah, bimbang tidak sempat bersahur.

Selepas Ramadhan...

1) Ucapan pemimpin " sebagai rakyat disebuah negara yang sedang membangun,kita mesti bersatu padu membela bangsa demi untuk kemajuan negara kita " dan lain-lain.

2) Tudung menteri pun hilang ditiup angin ribut.

3) Pemberita akan muncul dengan rambut berat ke kiri atau ke kanan dan dada yang terbuka.

4) Konsert Jom Heboh,anugerah-anugerah akan kita teruskan setelah kita bercuti selama sebulan ," kata pengacara TV.

5) Pentas akan dipenuhi makhluk-makhluk melompat dan menjerit-jerit, tampar menampar dan usik mengusik.

6) Bacaan Al-Qur'an jam 5-6 pagi tika masih ramai insan diselubungi selimut tebal dan motivasi menjelang jam 12 malam.

7) Masjid akan tinggal imam, tok bilal, beberapa makmum asal.

8) Rokok akan mula dihisap selepas solat subuh dan akan dihentikan 5 minit sebelum tidur.Sekurang-kurangnya 10 batang sehari.

9) Makhluk asing akan berpelukan diatas motor tanpa mengira jantina, hilang malu walau dihadapan ustaz sendiri dan adegan gosok-menggosok bermula.

10) Rumah cerah jam 7 pagi, hampir waktu masuk pejabat, pergi kerja tak sembahyang Subuh takde masalah..

Lain-lain,saudara kaji dan tambahlah sendiri...:)

Ya Allah, jadikanlah Ramadhan ini, Ramadhan yang terbaik bagi kami dan masyarakat kami. Mudah-mudahan kepelikan ini tidak akan berlaku lagi. Engkau masukkan kami ke dalam bulan ini dengan penuh rahmat, maka keluarkanlah kami dari bulan ini dengan perubahan dan keampunan.

Sabtu, 30 Ogos 2008

Perkataan Indonesia - Malaysia

Bersama Ibu Sawiyah dihadapan rumah yang disewakan kepada kami di Desa Blang Krueng, Kecamatan Baitussalam, Kabupaten Acheh Besar, Nanggroe Acheh Darussalam.
Desa = Kampung
Kecamatan = Kawasan
Kabupaten = Daerah
Nanggroe / Provinsi = Negeri

26 Disember 2004 : Kiamat Kecil Bagi Warga Acheh !

“ Anak ibu masih berumur 13 tahun ketika dihanyutkan air. Dia seorang perempuan, cantik rupa parasnya. Sampai hari ini tidak diketahui hanyut kemana. Kami tidak ketemu mayatnya ‘’cerita Ibu Sawiyah, pemilik rumah sewa yang kami diami petang Khamis kira-kira selepas waktu Asar dalam keadaan nada yang sangat sebak. Ibu Sawiyah baru sahaja keluar dari rumah yang kami duduk ini sehari sebelum kami memasukinya dan sekarang berada di rumah baru mereka yang merupakan sumbangan pentadbiran pejabat suaminya kepada seluruh pekerja pejabat tersebut yang dilanda Tsunami.

Saat kami tiba dirumah sewa ini, Bapak Dahliar sedang sibuk mengemas, mengelap lantai dan mengecat dinding yang sudah tertanggal sedikit catnya. Bagi kami, rumah ini sudah sangat kemas, bersih dan cantik untuk kami tinggal seramai 17 orang dan beberapa orang sahabat dirumah lain. Tapi, melihat kepada layanan dan kesibukan Bapak Dahliar dan Ibu Sawiyah mengemaskini seluruh persekitaran rumah, sudah cukup untuk kami membuat kesimpulan awal bahawa warga Acheh yang majoriti berbangsa Melayu dan beragama Islam ini amat menitikberatkan soal meraikan tetamu. Jiran-jiran amat mudah melemparkan senyuman tatkala mengetahui kami hadir dari Malaysia. Namun, tidak dinafikan, manusia yang bermasalah ada di mana-mana. Bak kata seorang tetangga kami tika kami tiba “ hati-hati nak, dompet mesti dijaga betul-betul. Ibu hanya maklum saja ‘’.
Air melimpahi paras pagar ini dan Ibu Sawiyah berpaut ditiang tengah rumah tersebut yang berwarna putih.
Penduduk sekitar kebanyakannya bukan penduduk asal disitu. Mereka dari Medan dan lain-lain yang berhijrah ke kampung ini selepas tragedy Tsunami 04. Walaupun Ibu Sawiyah seperti tidak mahu kisah silam ini diingat lagi, namun atas ketekunan kami mendengar, akhirnya dia meneruskan kembali penceritaan bah besar tersebut. “ Anak ibu yang perempuan ini pun hanyut dan tersangkut di pokok dihadapan sana. 1 jam selepas air mengalir tenang, kami jumpa dia dalam keadaan sudah pengsan tertelan air hitam ( belerang ). Beberapa hari dia duduk di rumah sakit ( hospital ) Medan untuk rawatan. Seorang lagi telah meninggal dunia, tidak diketemui ‘’.

Kami cuba ingin mengambil gambar anak perempuan Ibu Sawiyah dengan Bapak Dahliar, tetapi dia tidak mahu. Kata bapanya “ dia malu bergambar ‘’. Rupanya bukan dia seorang sahaja begitu, sekitar jam 8.15 malam , datang seorang tetangga menziarahai kami dan bertanya khabar. Namanya Ibu Siswati. Sengaja dia ziarah untuk menawar perkhidmatan menyediakan makanan berbayar kepada kami sekiranya perlu. Kami hanya bersetuju untuk menerima perkhidmatannya dalam bulan Ramdhan ini dulu. Agak sukar untuk bergerak mencari kedai makan dengan kenderaan yang tidak ada khasnya diwaktu malam. Hampir waktu pulang, kami merakamkan gambar mereka. Kelihatan anak perempuannya yang masih kecil tunduk dan agak malu. Terfikir kami, mungkin inilah didikan ibu bapa mereka kepada anak-anak perempuan. Tapi di Malaysia, anak-anak kecil sudah diajar melompat-lompat, menyanyi dan menari dikaca televisyen tanpa segan silu.

‘’ Kamu lihat pagar rumah ini. Air yang datang tinggi dari pagar itu. Bapak lari keluar rumah dan ibu tidak sempat. Sebaik tiba diluar, seluruh kampung dikelilingi air macam lautan. Ibu lari semual ke dalam dan terpaksa berpaut ditiang rumah yang tengah itu selama 15 minit. Seluruh tubuh tenggelam. Tangan hampir terlepas dari memeluk tiang akibat kaki ibu sangat kesejukan. Alhamdulillah, Allah masih sayang, dia Maha Kaya. Umur ibu masih panjang. Jika 5 minit lagi tenggelam dalam air, mungkin ibu sudah tidak ada. Kamu bayangkan air sangat deras hanya 3 minit sehingga 5 minit boleh meranapkan sebuah kampung. Kampung ini penduduknya mati hampir 300 orang. Di Malaysia, Pulau Pinang hanya 300 orang satu negeri. Ini baru satu kampung. MasyaAllah. Allah masih beri peluang kita bertaubat dari dosa ‘’.

Entah mengapa hati kami terasa begitu kerdil dan ketakutan mendengar pengalaman dahsyat ini. Bayangkan mereka yang mengalaminya. Tidak hairanlah, penduduk Acheh menganggap Tsunami itu umpama kiamat ! Hari ini pembangunan di Acheh sangat pesat. Rumah-rumah, bangunan-bangunan, masjid-masjid masih banyak yang sedang dibangunkan. Kebayakannya rumah-rumah batu yang kelihatan masih baru. “ Ini rahmat dan rezeki dari Allah selepas Tsunami. Ini rumah asal ibu. Tidak runtuh, hanya pagar rumah sahaja yang rosak ‘’ tambah Ibu Sawiyah. Rumah kayu, habis hanyut. Mayat-mayat bergelimpangan dan tersangkut dimerata tempat.

“ Ini bala’ dari Allah, ‘’kata Ibu Sawiyah apabila kami meminta komentar darinya mengenai pelbagai pandangan masyarakat mengenai tragedy ini. “ Acheh sudah tidak seperti dulu. Sekarang ramai orang luar. Mereka ini datang dengan pelbagai budaya dan cara. Jadi pengaruhnya merebak disini ‘’. Tapi, beberapa hari kami disini, kami cukup terpegun dengan penampilan wanitanya baik kecil atau besar. Semua mereka bertudung dengan baik walaupun berseluar jeans dan menaiki motor. Baru kami tahu rupanya memakai tudung telah dikuatkuasakan di wilayah Acheh ini oleh pemerintah Acheh. Sekarang pemerintahnya orang-orang Gerakan Acheh Merdeka ( GAM ). Kerajaan telah berdamai dengan mereka 3 tahun yang lalu dengan disaksikan wakil-wakil antarabangsa.

Alhamdulillah, Ramadhan hampir tiba. Masjid dan surau hanya 3 minit berjalan kaki. Untuk sampai ke kampus mengambil masa sekitar 10-15 minit merentasi rumah-rumah kampung, kebun-kebun nyior dan permatang serta sedikit sawah padi. InsyaAllah, kita bertemu lagi.
Kami melintas permatang yang dipenuhi pokok kelapa yang banyak untuk pergi ke kampus.

Kuburan mangsa Tsunami dimana-mana hatta dihadapan dan belakang rumah sendiri.

Kuburan besar mangsa Tsunami: enam depa panjang dan dua depa lebar. Ibu ini kehilangan beberapa anaknya.

Sekitar 196 orang dikuburkan dalam kuburan besar ini.

Acheh dikelilingi bukit dan gunung ganang.

Indahnya ciptaan Allah bagi yang mengerti.

Gunung Seulawah.

“ SALAM PERJUANGAN. SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN & RAMADHAN
AL-MUBARAK ‘’

Rabu, 27 Ogos 2008

Berakhirnya ‘ jihad ‘ Shahrizat Jalil di Permatang Pauh !

Laungan takbir memecah kesunyian malam di kamar-kamar mahasiwa Malaysia di bumi Acheh, Indonesia malam 26 Ogos semalam. Berita kemenangan besar Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh mengalahkan calon Barisan Nasional dan calon bebas sudah dijangkakan oleh banyak pihak termasuk pemimpin UMNO sendiri yang tidak yakin mereka akan menang. Jumlah undi sebanyak 31,195 yang diraih oleh Anwar berbanding calon BN yang hanya mendapat 15,524 undi cukup untuk menutup keangkuhan Barisan Nasional yang mendabik dada bahawa mereka sahaja yang layak mentadbir negara, boleh memberi keamanan kepada rakyat dan menjaga kestabilan politik Malaysia.

Sekitar pertengahan bulan Ogos yang lalu, Timbalan Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Dato’ Seri Shahrizat Jalil telah mengeluarkan kenyataan dalam satu majlis di Pulau Pinang bahawa “ pilihanraya Permatang Pauh adalah satu jihad kerana kita menghadapi seorang individu yang bercita-cita tinggi mencapai impiannya dan kejayaan peribadi “. Kenyataan ini sudah tentu disasarkan kepada Anwar Ibrahim yang dianggap berjuang untuk kepentingan peribadi untuk menjadi Perdana Menteri.
Hari pertama kenyataan ini keluar di dada akhbar, sebahagian besar rakyat Malaysia sudah tentu ketawa dan geli hati serta memaki hamun Shahrizat. Manakan tidak, seorang individu yang tidak berminat dengan Islam tiba-tiba boleh mengeluarkan ‘seruan jihad’ di Permatang Pauh. “ Hayya bil jihad ya ustazah Shahrizat “ ! Saya cukup yakin, pendokong gerakan Islam di Malaysia tentu masih mengingati dosa-dosa ‘ Mujahidah Shahrizat’ ini.

Dalam isu tangkapan beberapa remaja wanita Melayu di kelab malam The Zouk di Jalan Ampang beberapa tahun yang lalu kerana terlibat dengan minuman keras dan seks, beliaulah yang menjadi pembela terkehadapan sehingga sanggup memaki hamun penguatkuasa JAWI. Tatkala, timbul isu IFC dan murtad, beliaulah yang menjadi pembela dengan alasan hak asasi manusia. Dengan aurat yang terdedah, dada yang tidak dipelihara dan rambut yang terbuka, beliau sanggup melaungkan ‘jihad’ ? Benarlah firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 44 : “ adakah kamu memerintahkan manusia melakukan kebaikan, sedangkan kamu melupakan dirimu sendiri, padahal kamu membaca Al-Kitab. Adakah kamu tidak beraqal ? “
Dengan gabungan padu Shahrizat dan Dato’ Najib, serangan peluru berpandu dilancarkan dengan kelajuan yang sangat tinggi menyerang Anwar. Bermula dengan isu liwat meliwat, agen negara asing, pengkhianat negara, membahayakan bangsa Melayu dan sebagainya. Saya bukanlah penyokong fanatik Dato’ Seri Anwar sehingga membelanya melampau-lampau. Tapi isunya adalah masalah fitnah dan sumpah menyumpah sehingga mempermainkan agama tidak ditakuti sedikitpun oleh pemimpin UMNO mengenai natijah yang bakal mereka terima.
Alhamdulillah, kejahatan pasti akan terzahir juga .‘Imam’ Ramlang Porigi akhirnya dengan penuh perasaan bertanggungjawab mengakui bahawa beliau dipaksa untuk menjadi saksi di dalam majlis ‘sumpah mubahalah’ dari Saiful oleh pegawai khas Dato Najib. Adegan sumpah menyumpah berlanjutan sehingga Dato’ Najib turut serta menjadi pelakon utamanya. Dengan menyebut nama Allah, beliau mengaku dihadapan jama’ah masjid di Permatang Pauh bahawa dia tidak mengenali Altantuya. Najib oh Najib…rakyat Malaysia sedang menunggu gambar kamu dengan Altantuya di Paris terkeluar seperti yang diakui oleh sepupu Altantuya, Amy.

Tahniah Dato' Seri Anwar. Jangan lupa, jutaan manusia mengharapkan anda dapat menyelamatkan Islam di Malaysia dan berusaha ke arah pelaksanaannya. Selamat Islam, maka bangsa dan negara akan selamat ! Yakinlah.

Selasa, 26 Ogos 2008

Catatan Perjalanan : Dari Kuala Lumpur - Nanggroe Aceh Darussalam


Alhamdulillah,ana dan 110 lagi sahabat-sahabat dari KIAS selamat sampai ke bumi Serambi Makkah, Aceh Darussalam jam 5 petang setelah mengambil masa selama 1 jam penerbagan dari Terminal LCC Kuala Lumpur. Pengalaman kali pertama naik kapal terbang amat membimbangkan. Dalam kapal terbang, ana duduk bersebelahan Ust Zahari dan Danial Kamal ( sahabat Kias ). Dada mula terasa sesak dan kepala terasa pening dan badan mengecil rasanya bila kapal terbang mula naik sedikit menegak dan diwaktu ingin mendarat. Kata Ust Zahari " bayangkan bagaimana sesaknya dada Nabi bila diangkat sehingga langit ke-7 dalam peristiwa Isra' Mi'raj.

Pelukan bersama ayah dan ibu masih terasa.Kehangatan air mata ibu di KL masih dirasai. Maklumlah hampir setahun lebih terpaksa berpisah. Apakan daya, kami ditahan dari menuju ke bumi Anbiya' oleh regim di Malaysia. Midah-mudahan, IAIN Ar-Raniry menjadi pengganti yang terbaik walaupun ana yakin ianya tidak mungkin dapat disamakan dengan Al-Azhar yang sepatutnya kami pergi pada bulan 10 ini.

Sahabat-sahabat dari USIM sanggup berkorban masa mengiringi kami di airpot KL. Hati terasa sangat berbangga bila melihat sahabat-sahabat dari KIAS yang turun dari Kota Bharu untuk turut menghantar. Ust Dzulkhairi ( presiden Gamis ) yang tiba disaat akhir cukup menambahkan semangat kepada kami dengan ungkapan-ungkapan dan kata-kata penuh pengharapan. Ya ! kami wakil kalian di bumi Indonesia.InsyaAllah.
Setibanya di bumi Acheh, tertera perkataan : Sultan Iskandar Muda Airport. Kelihatan proses pembinaan giat dijalankan di Airport berkenaan. Kata seorang pekerja disitu, "airport ini tidak dilanda Tsunami". Ia jauh dari kawasan pantai. Amat menarik di kawasan pembinaan ini terdapat papan tanda bertulis : Waktu itu sangat berharga, tetapi nyawa tidak dapat dibeli. Mungkin di Malaysia "utamakan keselamatan". Kami menunggu ketibaan beberapa buah bas milik IAIN Ar-Raniry yang datang menjemput. Akh Mujiburrahman ( warga Acheh yang belajar di KIAS ) yang banyak mengurus. 3 buah bas tiba dengan beberapa mobil ( macam Helux lebih kurang ).

Pada waktu malam, kami menginap di asrama kepunyaan IAIN buat beberapa hari sebelum kami berpindah kerumah sewa. Selepas menunaikan solat jama' Maghrib dan Isya', semuanya terbaring kepenatan menunggu ketibaan nasi bungkus setelah beberapa jam menahan kelaparan. Atas kapal terbang, roti sandwic dan air milo panas harganya RM10.00. Bila dipelawa pramugari, semuanya tak nak beli. Apalah korang..pening kepala pramugari tengok budak-budak tak pernah naik kapal terbang. Nasib kamulah pramugari berskit merah dan kelopak mata berwarna-warni...

Untuk makluman, waktu di Indonesia lewat 1 jam dari Malaysia. Kami kena tukar no tel barulah selepas ni. Ayah di Pahang tel, terpaksa ana minta berhenti.Bukan apa, ana yang angkat tel pun habis juga duit RM 2.00 dalam masa 10 saat. Tunggulah tukar no dulu sahabat-sahabat di Malaysia ye..Malam tadi semua sahabat nyenyak tidur jam 10. Ana dan Danial ( bekas student Pulau Melaka ) mula melawat kawasan. Jalan-jalan, cari makan. "Nasi goreng, ayam dan air milo dingin ( ais ) bayarannya 19,000 pak untuk dua orang". Hah , 19 ribu ? Ya, rupiah. Mungkin RM 8.00. 1000 rupiah bersamaan RM0.40. 10,000 rupiah sekitar RM4.00. Lain-lain, antum kira sendiri. Kami juga terpaksa belajar memahami bahasa orang Acheh. Dalam filem Indonesia yang ditayang di Malaysia, kebanyakannya filem itu dari Jakarta. Jadi, bahasa mereka mudah difahami berbanding Acheh. Mesti antum minat tengok kan filem Bawang Putih Bawang Merah, Anakku bukan Anakku, Sholehah >>:)

Acheh sebuah wilayah yang Gabenornya dipegang oleh orang-orang Gerakan Acheh Merdeka ( GAM ). Ana masih tertanya-tanya mengenai sejarahnya. InsyaAllah, nanti kita kongsi bersama. Sekelilingnya penuh dengan bukit bukau dan gunung ganang. Antaranya gunung Seulawah.Wilayah Acheh pula mempunyai beberapa Kecamatan ( daerah ). IAIN Ar-Raniry berada di kecamatan Syiah Kuala. Disini Partai Keadilan Sejahtera (PKS) sudah bertapak sebagai partai Islam.

Teringat dulu, sebelum datang ke Indonesia, seringkali sahabat-sahabat dan ahli keluarga menyatakan kebimbangan terhadap masalah Islam Liberal di Indonesia yang menular dengan dahsyat. Maka tidak hairanlah, kalau pelajar dari Malaysia yang pulang kadang-kadang mereka ini bergerak bersama UMNO. Sekitar jam 10.30 malam tadi, hadir 3 orang pelajar lama Malaysia berbual-bual.Tapi malang, disebalik berkongsi pengalaman tentang suasana di Acheh, rumah sewa dan sebagainya, mereka tidak semena-mena bertanya " demo isap rokok dok ? demo kena try rokok Acheh, sedap sikit. Lepak-lepak kedai kopi. Arghh, tak boleh pakai betul senior ni.


Takpelah,hati ana cuba memujuk, " mungkin seorang dua je kot yang bermasalah, mudah-mudahan ada abang-abang lama yang boleh menjadi pembimbing. Kami tidak tahu mengenai latar belakang persatuan pelajar-pelajar Malaysia di sini. Mungkin berhaluan Islamik atau sebaliknya. Mudah-mudahan kalian bukan penggerak kelab UMNO disini.

Hari ini ( Selasa ), beberapa pensyarah yang mengiringi kami bermesyuarat dengan pihak pentadbiran disertai beberapa wakil mahasiswa Kias. Kuliah akan dimulakan pada tarikh 8 Sept 2008. Dalam bulan Ramadhan lah. Alhamdulillah, dapat juga bertemu dengan kedai internet ini. Berapa ribu pulak la kena bayar: ) Kami disini sedang menunggu-nunggu perkembangan keputusan PRK Permatang Pauh yang bakal dikeluarkan malam ini. InsyaAllah, Saiful Bukhari dan Najib akan bertukar menjadi sesumpah selepas ini :). Salam perjuangan.

* gambar adik2 bekas Ma'ahad Sas, Jengka. Kiri: Abdul Basar. Kanan: Ahmad Muhibbin. Sekarang kedua2nya di USIM. Kanan sekali:Sahabat mereka.

Ahad, 24 Ogos 2008

Menjelang Sambutan Kemerdekaan Ke-51 : Para Mujahid Tanah Melayu Yang Dilupakan !

Makam Dato' Dol Said ( Penghulu Naning )
Dol Said ( Penghulu Naning )

Beliau berjihad menentang tentera kuffar British di kawasan Naning , Negeri Sembilan berikutan tindakan pihak kuffar mengambil alih kawasan Naning pada tahun 1832 dan memasukkannya ke dalam jajahan Melaka. Kebangkitan penghulu Dol Said dan ummat Islam berlaku pada tahun tersebut.

Dato' Maharaja Lela

Sekitar tahun 1826 , pihak kuffar British berjaya menguasai Pulau Pinang, Seberang Perai, Singapura dan Melaka. Pada tahun itu juga penjajah kuffar Siam mengambil dan menguasai Negeri Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pattani ( wilayah ummat Islam di Thailand ). Negeri Perak terselamat dari penjajahan Siam ketika itu sebelum dirampas semula beberapa tahun kemudian akibat krisis perebutan kuasa dikalangan raja-raja Melayu.

Akhirnya tercetuslah Perjanjian Pangkor pada 20 Februari 1874 antara pihak kuffar British dengan beberapa Raja Melayu yang merupakan detik permulaan penghakisan kuasa raja-raja Melayu. Raja-raja Melayu hanya berfungsi dalam urusan agama dan adat istiadat Melayu sahaja. Urusan pentadbiran negeri dibawah pihak British. Bermulalah era penerapan idealisme sekular.Akhirnya J.W.W Birch dilantik menjadi residen Inggeris pertama di Perak.

Gelombang kebangkitan jihad digerakkan oleh ummat Islam dan dibawah kepimpinan Dato’ Maharaja Lela, J.W.W Birch akhirnya berjaya dibunuh di Pasir Salak pada tahun 1876.
Dato' Bahaman ( Orang Kaya Semantan )

Negeri Pahang tidak terkecuali dari penjajahan musuh Islam ini. British memasuki Pahang pada tahun 1888 sehingga menimbulkan kemarahan pembesar-pembesar Pahang termasuk Dato’ Bahaman. Gerakan jihad mula dilancarkan dibawah pimpinan Dato’ Bahaman, Tok Gajah ( Imam Rasu-bapa Mat Kilau ) dan Mat Kilau dengan melancarkan serangan ke atas polis British di Lubuk Terua , Temerloh pada tahun 1891. Serangan berikutnya pada tahun 1892 merebak ke Kuala Lipis, namun gagal mengahalau kuffar British sehingga memaksa mereka berundur dan berlindung di Kelantan dan Terengganu.

Ketika di Terengganu, Sultan Zainal Abidin III memberikan perlindungan kepada mujahid-mujahid dari Pahang ini. Turut memberikan perlindungan ialah Tok Ku Paloh, ulama’ yang menjadi penasihat Sultan Zainal Abidin. Beliau memberi pendidikan agama dan menerapkan kefahaman jihad kepada mereka pada tahun 1894. Ketika di Kelantan, mereka dilindungi oleh Sultan Mansur Syah.

Pada tahun tersebut, mereka pulang ke Pahang dan menggerakkan jihad menggempur Balai Polis British di Kuala Tembeling. Kubu British di Jeram Ampai berjaya ditawan selama 4 bulan. Namun, serangan balas pihak kuffar mengakibatkan mereka kembali semual ke Terengganu dan Kelantan. Tok Gajah akhirnya meninggal dunia di Terengganu.

Pada bulan April 1895, angkatan tentera British di bawah Hugh Clifford menggerakkan seramai 250 orang tentera untuk memburu mereka di Terengganu. Namun, mereka gagal.
Mat Kilau

Anak kelahiran Kg.Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut ini adalah merupakan anak kepada Tok Gajah ( Imam Rasu ) yang dilahirkan pada tahun 1865 / 1866. Ummat Islam di Pahang bangkit dengan ledakan jihad menghadapi British pada tahun 1890 berpunca dari tindakan melampau pihak kuffar yang mengambil alih tugas pembesar-pembesar negeri untuk mengutip cukai dan hasil dari rakyat.

Selepas meninggalkan Pahang dan berlindung di Terengganu dan Kelantan bersama Tok Gajah dan Dato’ Bahaman, akhirnya pada tahun 1895 beliau ditangkap pihak kuffar Siam dalam perjalanan ke Kota Bharu. Mat Kilau melawan dan cedera teruk dipukul sehingga pihak Siam menyangka beliau telah mati dan akhirnya menyerahkan ‘jenazah’ Mat Kilau kepada Sultan Kelantan. Akhirnya Mat Kilau yang masih hidup diarahkan melarikan diri oleh Sultan. Namun upacara gimik pengebumian Mat Kilau tetap dilakukan menggunakan batang pisang sebagai jenazah di Bunut Payung, Kota Bharu.

Berita ‘kematian’ Mat Kilau disiarkan secara meluas di dada akhbar Inggeris di Singapura ( The Straits Times dan Free Press ) pada 22 Oktober 1895 dengan tajuk “ Ketua Penderhaka Jatuh ke Tangan Siam “. Akhbar The Press pula melaporkan : “ Mat Kilau melawan dan dipukul , cedera teruk di muka dan kepala, mati dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu kerana hilang banyak darah “.

Dalam ‘pelarian’ tersebut, Mat Kilau terpaksa menukar nama beberapa kali dan namanya yang terakhir ialah Mat Siam iaitu sekitar tahun 1930. Beliau pernah beberapa kali singgah di kampung asalnya, Pulau Tawar dengan menyamar sebagai peniaga dan orang luar. Rakyat Malaysia dikejutkan dengan berita pada 26 Disember 1969 apabila seorang lelaki tua membuat pengisytiharan sebagai Mat Kilau di Masjid Pulau Tawar, Jerantut pada hari Jumaat.

Akhirnya kerajaan Negeri Pahang terpaksa menubuhkan satu suruhanjaya pada 8 Januari 1970 untuk menyiasat kesahihan dakwaan tersebut. Hasilnya, pada 6 Ogos 1970 Menteri Besar Pahang ketika itu mengisytiharkan bahawa dakwaan tersebut adalah benar. Taqdir Allah, 4 hari selepas itu Mat Kilau meninggal dunia di usia 123 tahun dan sempat memiliki kad pengenalan dengan nama : Mohamad bin Ibrahim – 204 4778. Mat Kilau sempat mengikuti sambutan kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 di Padang Masjid Negeri , Kuantan.

Masjid Lama Kg Pulau Tawar.


Tok Janggut –

Gerakan jihad di Kelantan bermula ekoran penjajahan kuffar British pada tahun 1903. Kelantan diserahkan kepada British oleh penjajah kuffar Siam melalui perjanjian Bangkok secara sepenuhnya pada tahun 1909. Beberapa tahun kemudian, Tok Janggut atau nama sebenarnya Hj Mat Hasan bin Munas kembali ke tanah air setelah berada di Makkah hampir 10 tahun untuk menuntut ilmu. Beliau dikatakan pernah berhubung dengan mujahid-mujahid di Pahang sebelum berangkat ke Makkah.

Ledakan jihad berlaku pada tahun 29 April 1915 melalui serangan pejuang Islam ke atas British di Pasir Puteh. Tekanan dari pihak kuffar memaksa Sultan Mohammad IV untuk mengisytiharkan Tok Janggut dan pengikutnya sebagai penderhaka. Pada 3 Mei tahun tersebut, seramai 239 tentera British bergerak dari Singapura dan tiba di Kelantan pada 5 Mei.

Serangan pihak British disasarkan ke kawasan Pasir Puteh pada 8 Mei 1915. Tok Janggut dan Engku Jeram Besar telah menyiapkan pasukan jihad untuk menghadapi mereka. Rumah Khatib Abu Bakar yang merupakan teman seperjuangan Tok Janggut digeledah dan beliau gugur sebagai syahid pertama. Pertempuran sengit berlaku di Kg.Dalam Pupoh, Jeram yang mengakibat Tok Janggut, Tok Abbas dan Tok Hussein gugur sebagai syuhada’. Engku Jeram Besar pula berjaya mealarikan diri ke Remand dan 14 lagi pengikut Tok Janggut diburu serta rumah mereka dibakar. Tok Janggut yang pernah menjadi hulubalang di istana Jeram sebelum ke Makkah akhirnya diheret mayatnya dari Pasir Putih ke Kota Bharu dengan disaksikan oleh ummat Islam di sepanjang jalan yang mengalirkan air mata.

Tok Janggut mendapat semangat jihad berikutan fatwa dari Sheikhul Islam Kerajaan Turki Uthmaniyyah ketika itu yang menyebut
“ Jihadi Ekbar Fardi Ayn ke atas British demi mempertahankan setiap inci bumi umat Islam ! “.

Tok Janggut digantung dengan kejam di Kota Bharu.

Wajah seorang mujahid Islam yang gugur dalam perjuangan.

Sheikhul Islam-Sheikh Mustafa Sabri Afendi ( 1869-1954 )
Mufti Kerajaan Turki Uthmaniyyah


Tok Ku Paloh ( ulama' penasihat Sultan Zainal Abidin )

Tok Ku Paloh yang bertugas sebagai penasihat agama kepada Sultan Terengganu meninggal dunia pada tahun 1917 iaitu 2 tahun selepas pembunuhan Tok Janggut di Kelantan. Sultan Terengganu pula meninggal dunia setahun selepas pemergian Tok Ku Paloh.

Ummat Islam Terengganu menunggu ketibaan Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong yang menyerah diri kepada Sultan Sulaiman untuk dihukum buang negeri ke Makkah.

Haji Abdul Rahman Limbong –

Campur tangan pihak British dalam urusan pentadbiran Terengganu pada tahun 1919 khasnya mengenai cukai dan urusan tanah menimbulkan semangat anti penjajah dikalangan ummat Islam. Beberapa orang penduduk tempatan telah disaman kerana dituduh menceroboh tanah kerajaan.

Gelombang kebangkitan ummat Islam berlaku pada tahun 1921 dibawah pimpinan Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong mendesak British supaya mengahpuskan dasar-dasar pentadbiran yang membebankan ummat Islam. Perjuangan yang lebih drastik berlaku pada tahun 1925 dengan dikerahkan sekitar 300 orang para mujahid berkumpul di Kuala Telemong. Mereka bergerak dibawah pimpinan para ulama’ di Terengganu.

Pada 22 April 1928 , pencerobohan tanah rakyat terus berlaku di kawasan Tersat dan Dungun yang mencetuskan kebangkitan rakyat di situ dengan melancarkan jihad. Tanggal 19 Mei 1928, golongan petani berkumpul di rumah Lebai Hasan di Kuala Por seramai 400 orang dan 200 orang berkumpul di rumah Encik Ismail lengkap dengan peralatan untuk berjihad.

Pada 21 Mei 1928, bangunan kerajaan di Kuala Berang ditawan oleh ummat Islam yang sebahagian besar adalah golongan petani. Serangan balas berlaku mengakibatkan 11 orang gugur syahid. Selepas itu Tuan Guru Hj Abdul Rahman Limbong ditangkap dan diserahkan kepada Sultan Sulaiman untuk dibuang negeri atas arahan penjajah kuffar kepada pihak istana. Beliau akhirnya dibuang negeri ke Makkah dan meninggal dunia di sana.

Untuk para pejuang kemerdekaan, kalian bangkit bukan sekadar membela bangsa, tetapi menggerakkan jihad untuk masa depan ummat Islam - Al-Fatihah.



Sabtu, 23 Ogos 2008

Gambar-Gambar Majlis Konvokesyen KIAS Kali Ke-10 - 21 Ogos 2008

2 insan yang menjadi motivator dalam mengendalikan urusan perjuangan.Mereka cukup memahami diriku. Terima kasih Pok Su Li dan sahabatku, Akh Azzar.

Khurafat segelintir pihak yang beranggapan "kesibukan berpersatuan mengabaikan pelajaran" berjaya dipecahkan oleh Akh Mujiburrahaman yang dinobat sebagai graduan Kias terbaik 2008 dengan anugerah Tok Kenali.Tahniah sahabatku !

Kiri: Ustzah Salamah ( kakak ipar ) dan kak Hafizah. Dihadapan : Baju Merah-Abdullah Al-Munzir dan beraksi pelik, Salman Al-Adli. Anak saudaraku.

Abah yang banyak berkorban dan berdoa untuk kejayaan anak-anaknya.

Muqaddimah


Salam perjuangan dan ahlan wa sahlan kepada semua sahabat-sahabat yang ku kenali atau tidak yang sudi mengunjungi blog ini. Sekalung penghargaan diucapkan kepada Akh Yusri Safian, bertungkus lumus membantu menyiapkan blog ini untuk saya yang memang tidak tahu cara nak buat blog.

InsyaAllah, sedikit masa lagi artikel-artikel menarik akan terbit di blog ini.Mudah-mudahan ianya menjadi alat atau wasilah dakwah bagi kita semua.

Sebarang pandangan, cadangan dan komentar untuk penambahbaikan blog ana ini, boleh disalurkan kepada email : arruhuljadid_86@yahoo.com.